Friday, February 8, 2013

Wanita dalam sebuah impian



Bismillah


Selama ini, aku sering tertanya-tanya, siapakah dia jodoh yang ALLAH telah tetapkan buatku? Aku mengimpikan dia sebagai seorang yang soleh. Agar dengan bersamanya, langkah kakiku akan menapak hamper kepada ALLAH. Supaya dengan menjadi temannya di dunia ini, aku akan semakin dekat dengan ALLAH. Dia mencintaiku, dan aku mencintainya. Aku menjaga diriku. Aku tidak pernah bercinta. Aku memelihara diriku sungguh2, kerana sejak sekian lama aku telah didendangkan dengan hakikat bahawa yang solehah akan berada di samping yang soleh, dan begitulah sebaliknya.

Semakin aku dewasa, rasa ingin tahu siapakah dia yang telah dijanjikan buatku itu semakin meluap-luap. Hari demi hari, aku teguh memegang prinsip yang telah dibina. Apa yang dipegang teguh sedari dulu, tidak aku biarkan ia tergugah. Harapanku, ingin aku menghadiahkan hak2 istimewa untuk dirinya. Aku memelihara diriku, agar aku mendapat yang terpelihara. Aku solat di awal waktu supaya aku jua mendapat pasangan yang serupa. Aku bertekad tidak melayan lelaki ajnabi tanpa urusan penting kerana aku ingin mendapat si dia yang juga cukup memelihara pergaulannya.

Namun, semakin lama aku sedar, tatkala mata hati terpaku pada satu hadith yang telah sekian lama aku pelajari. Sentiasa beralun di bibir, dilafaz dalam tazkirah. Ia hadith yang biasa didengar. Hadith pertama dalam himpunan  40 Hadith yang terkenal.
Berkaitan niat, dan tujuan melakukan sesuatu perkara. Hatiku terketuk oleh pesanan Rasulullah bahawa siapa yang melakukan sesuatu kerana ALLAH, maka beliau akan mendapat kasih sayang dan redha ALLAH, tetapi barangsiapa yang melakukan sesuatu kerana manusia atau perkara lain yang selain dari ALLAH, dengan izin ALLAH  beliau akan mendapat apa yang diingininya. Aku terfikir, selama ini aku melakukan begitu banyak perkara niatnya kerana apa?

Ingin mendapat ALLAH, atau ingin mendapat lelaki soleh?
Astaghfirullah. Rupa2nya dalam harapan yang tampak murni dan islamik, aku tertipu dengan mainan nafsu dan syaitan. Pasangan hidup yang soleh adalah salah satu medium sahaja untuk aku mendekati ALLAH, bukannya ALLAH adalah medium untuk mendapatkan pasangan yang soleh untuk hidup di dunia yang fana ini semata-mata
.
ALLAH adalah tujuan hidupku. Menjaga diri kerana menurut perintah ALLAH, menjaga pergaulan kerana ingin meraih redha ALLAH, solat di awal waktu kerana ingin mendapat keredhaan ALLAH  dan segala-galanya adalah kerana ALLAH.  Mungkin ianya sukar kerana tujuan itu tidak terlihat secara nyata. Ia tersembunyi namun kesannya nyata mempengaruhi cara memandang kehidupan ini. Keasyikannya tersembunyi di celahan hati. Subhanallah.
Mendapat pasangan yang baik adalah salah satu jalan mendapat keredhaan, ia bukannya tujuan. Jika tiada pun tidak mengapa. Kerana sesiapa yang memiliki ALLAH di dalam hatinya, dia telah memiliki seluruh kehidupan ini!
Segala-galanya mencukupi. Dan setiap keadaan; baik kurang mahupun lengkap pada pandangan zahir manusia, ia disambut dengan syukur. Allahuakbar. Semoga hati ini kuat untuk memaknakannya dalam kehidupan.