Saturday, September 28, 2013

Katakan padanya, "Pulangkan hatiku!"

Bismillah. Assalamualaikum,

Lately,  fefeeling macam doktor cinta pula. Bukanlah hebat sangat, tetapi banyak pembacaan tentang cinta, berfikir tentang cinta, dan macam-macam lagi berkaitan cinta. Sebab perlu bagi pengisian tentang cinta. Jadi perlulah menyelam ke dasar hakikat cinta untuk benar2 menghayatinya sebelum dikongsikan bersama yang lain.

* sudah 6x  perkataan cinta digunakan.


Cuma satu saya nak kongsikan:

Di tengah2 sibuk berkongsi tentang cinta, terselit satu perkongsian yang menuntut saya bercakap mengenai solat. "Empowering Solah", satu sesi bersama muslimat di Mahallah Zainab uia pj.

Allahuakbar. Saya cuba mencari input2 berkaitan solat.

Ia kelihatan sangat rutin dan biasa dilakukan.

Kadang2, mungkin kita melakukannya secara automatik. Rukun fi'l (perbuatan) sudah berulang-ulang kali dilakukan. Kita boleh melakukannya tanpa perlu berfikir.

Rukun qaul nya  juga begitu. Sudah menjadi kelaziman di lidah. Melainkan bagi yang cuba mengulang hafalan surah di dalam solat.

Adakalanya, ia dilaksanakan sepantas kilat. Zuuupppp. 4 rakaat boleh diselesaikan dengan cekap dalam masa 4 minit. Satu catatan masa yang 'membanggakan'.

Apatah lagi bila tersepit antara kesibukan kuliah, program, serta terkejar-kejar dengan segala tugasan yang lain.

Kita solat, namun ruku'nya pincang

Kita solat namun thama'ninah nya sudah hilang,

Kita solat, namun segala penghayatannya sudah lenyap.

Sujud sekadar memenuhi rukun, namun hati tidak merasa ALLAH dekat.

Takbiratul ihram sekadar memulakan solat, namun ia tidak memutuskan segala ingatan kepada yang selain ALLAH.

Astaghfirullah.

Akhirnya apa sahaja yang tinggal dengan solat kita melainkan satu perbuatan melunaskan tanggungjawab sebagai seorang hamba?

Astaghfirullah. Akhirnya ia tingga menjadi rutin semata-mata tanpa berfungsi sebagai pencegah segala fahsyaa serta mungkar dalam kehidupan.

Namun ia tidak akan jadi begini jika kita melakukan solat dalam keadaan hati mencintai ALLAH.

Orang yang mencintai ALLAH, pasti akan berusaha untuk melakukan solat dalam keadaan yang terbaik.
Merasakan solat itu penting serta sangat perlu dititikberatkan.

Akan menyemak kembali kesempurnaan solatnya, berusaha memperelokkan segalanya.

Orang yang hatinya dipenuhi dengan kebesaran ALLAH, pasti akan terdorong untuk mendalami ilmu fiqh untuk meletakkan diri di landasan yang betul dalam amalan kehidupan.

Orang yang hatinya merasakan ALLAH adalah segala-galanya pasti akan menuntut ilmu berkaitan akhlak untuk diamalkan dalam kehidupan semata-mata kerana ingin mendapat rahmat ALLAH.

Orang yang hatinya sudah sarat kecintaan pada ALLAH pasti akan menuntut ilmu aqidah untuk memperkukuh ikatannya dengan ALLAH.

Orang yang mencintai ALLAH, pasti tidak perlu lagi merasa terpaksa menuntut ilmu agama kerana ia dilakukan dengan rela hati untuk hidup dalam keredhaan ALLAH serta terhindar dari kemurkaanNYA.

Cinta ALLAH adalah kuncinya.

Peliharalah solat untuk mendapatkan cinta ALLAH,
Cintailah ALLAH untuk menghayati solat.

Di saat memenuhi tuntutan ALLAH yang satu ini, katakan pada segala macam keserabutan dunia;

 "Tolong pulangkan hatiku. Aku ingin menyerahkan seluruhnya hanya pada ALLAH."

InshaaALLAH, mudah-mudahan ia menjadi permulaan untuk mencabut cinta serta hati sepenuhnya daripada dunia.



nota: Antara yang perlu kita muhasabah ialah. Tanya pada diri apakah perancangan solat pada hari ini.
 Kita biasa merancang aktiviti harian agar segalanya berjalan dengan baik. Apa kata kita mula    merancangnya dengan meletakkan solat sebagai salah satu aktiviti yang sangat perlu kita rancang sebaik mungkin.

Contoh: kita tahu jadual kelas pukul berapa, rancang lunch sampai pukul berapa dan get ready untuk solat lebih awal dan di mana. Kemudian bila petang apa pula aktiviti kita? Adjust untuk target solat Asar pula. Bila sudah perlu get ready dan di mana boleh solat. Maghrib pula hendak solat di mana? Pusat islam atau surau kolej.

 Untungnya jika dapat solat berjemaah di surau/masjid. InshaaALLAH jika hari2 kita sudah nekad untuk melakukan solat dalam keadaan yang terbaik, ALLAH memberikan jalannya.



Sunday, September 15, 2013

Mari mendekati ALLAH di UiTM Shah Alam

Bismillah. Assalamualaikum.

Hari tu, saya pergi ke Pusat Islam dan terjumpa dua kertas kuning tertampal elok di dinding. Rupanya ia berkaitan pemberitahuan jadual kelas al-Quran anjuran pihak ACIS (dahulunya CiTU) di UiTM.

Allahuakbar.

Air mata terasa ingin luruh.

Ia perkara yang agak sukar ditemui dalam celahan jadual kuliah yang padat.

Sesungguhnya perkara ini tidak sama dengan kelas akademik yang wajib. Ia atas pilihan sendiri sama ada hendak menyertainya mahupun tidak. Apabila peluang telah dibuka sebegini jadi marilah kita sama2 berusaha untuk mengambil bahagian mengikut kesesuaian masa serta aturan urusan.

ALLAH ya ALLAH, moga ALLAH sentiasa membuka hati kita untuk cenderung kepada majlis-majlis ilmu.

Kerana setelah melalui tempoh singkat kehidupan dunia ini, kita akan pulang kembali kepada ALLAH.
Ruginya jika kita tertipu di dunia lantas yang kita bawa pulang bersama ke sana nanti langsung tidak bermanfaat untuk diri sendiri.

Saya ada tangkap gambar jadual tersebut, tapi paham2 jelah kalau saya tangkap gambar. Hasilnya agak menyedihkan. Senget benget.

Jadi saya catittkan maklumatnya di sini:


- Kelas pengajian Al-Quran akan bermula pada 17 September 2013 (Selasa)/ Qasidah & Selawat 23 September 2013.

-Kepada yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di pejabat Unit Pengurusan dan Imarah Masjid, Pusat Islam.

- Kepada pelajar2 yang telah mengikuti kelas ini dari bulan Februari - Julai 2013 yang lalu, boleh terus mengikuti kelas tersebut.

- Untuk makluman Pengajian Al-Quran telah ditukar seperti nama di bawah:

1- Kelas Talaqqi Asas ditukar kepada Kelas Iqra: Tenaga pengajar Ustaz Ismail Hashim

2- Kelas Talaqqi Lanjutan ditukar kepada Kelas Al-Quran . Tenaga pengajar  Ustaz Muhamad Zaki dan Ustaz Mohd Bakri.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi
Unit Masjid 019-2507890? 018-5987890 (Ustz, Mohd Syukri)

Jadual:

Isnin (Bermula 23/9/2013). 

-Kelas Qasidah/ Selawat- Selepas Solat Maghrib di Dewan Muktamar 1.

Selasa: (Bermula 17/9/2013)

- Kelas Iqra' di Bilik mesyuarat 1
- Kelas Al-Quran di Bilik Mesyuarat 2
- Kelas Al-Quran Di Dewan Muktamar 1.

Rabu (Bermula 18/9/2013)

- Kelas Tarannum Asas di Dewan Muktamar 1
- Kelas Hafazan di Bilik Mesyuarat 1

*Semua di atas bermula selepas solat maghrib.
* Buat yang ingin menyertai,  Sila ambil borang penyertaan di Pejabat Unit Pengurusan dan Imarah Masjid)

Jumaat (bermula 20/9/2013)

-Klinik Al-Fatihah di Pejabat Unit Masjid jam 10.00 pg - 12.00 tengahari ( Kedatangan secara walk-in, tak perlu ambil borang dahulu. Datang je terus masuk)

- Kelas Al-Quran (Muslimat Sahaja) di Bilik Mesyuarat 1 jam 12.30 tengah hari - 1.45 ptg. ( Ambil borang penyertaan di Pejabat Unit Pengurusan dan Imarah Masjid)



                                      Kalau gigih, boleh juga baca maklumat terus dari gambar ini.lol.


Selamat berlumba-lumba untuk menuntut ilmu, memperbetul bacaan Al-Quran, dan moga kita nekad untuk menghadirinya terlebih dahulu sebelum memberi alasan.

Lihat dahulu jadual, adjust2 aktiviti serba sedikit. Yang mana rasa boleh sertai, mari kita tanamkan azam untuk benar2 komited. Tolong doakan untuk saya juga. Mari jadi zero alasan untuk perkara kebaikan!

mari kita doakan kesejahteraan buat pihak ACIS yang bertungkus lumus mengusahakan majlis ilmu ini. Ia hadiah tidak ternilai buat kita semua. 

Moga segalanya kita lakukan kerana ALLAH, InshaaALLAH.

Jom sebarkan!


         
                                                                 





Friday, September 6, 2013

Saya mahukan ibu yang lain!

Bismillah. Assalamualaikum.


Dulu waktu kecil, saya selalu berkonflik dengan mama. Sebab saya suka melawan dan merajuk.
 Merajuk pula boleh dikategorikan sebagai hobi.

Apabila ada masa lapang dan terluang, pasti saya akan merajuk!

Mama dan abah sabar.

Tapi kalau bergaduh dengan kak long, mama akan cakap.

"Haaa..nanti mama bagi pisau sorang satu. Gaduh puas puas!"

Tudiaa.. cool, bukan?.

Biasanya akan gaduh dengan kak long sebab berkira nak buat kerja rumah.
Jadi mama dan abah akan bahagikan tugas mengikut kecenderungan masing2.

Kak long pandai menyapu, jadi beliau ditugaskan untuk menyapu sampah dan kemas ruang tamu.
Saya pula 'memikul tanggungjawab' sebagai pembasuh, penyidai serta tukang lipat kain.

Ia menjadi kegemaran sampai dewasa. Kak long dengan menyapu, saya dengan baju-baju.

Kalau saya yang menyapu, tidak akan jadi sebersih kak long.
Kalau kak long melipat baju, tidak akan segigih saya *perasan*.

Gandingan yang serasi.

Hasil lenturan mama dan abah dari kecil.

Dan kalau waktu kecil dulu, abah suka kemas rumah secara berkala. Dan dalam beberapa bulan sekali abah akan melakukan proses 'geledah' bilik kami (saya & kak long).

Waktu tu, pasti hati rasa berdebar-debar. Saya akan duduk di muka pintu bilik dan memerhati.

Bila abah hendak kemas bawah katil, dada terasa dup dap dup dap... Apalah yang abah akan jumpa di bawah sana..

Banyak barang yang disepahkan di bawah katil. Ada bantal, buku, pensil, mainan dan macam-macam. Ia jadi ruangan stor eksklusif. Sebab itu kami resah dan gelisah bila abah hendak membersihkan bilik. Pecahlah rahsia yang tersembunyi di dalam stor khas tersebut.

Hakikatnya, kami (terutamanya saya ) sangat suka menyepahkan barang. Sampai saat abah dan mama kemaskan, pasti  jantung berdetak laju. Habislahhhhh..!!!!!


Terlalu banyak kenangan masa kecil bersama keluarga, terutamanya kedua ibubapa. Saya seringkali berharap dan berdoa agar kenangan2 itu tidak akan saya lupa, kerana ia menunjukkan kasih mama abah yang tidak berbelah bahagi. Kesabaran yang cukup tinggi serta kegigihan yang tidak tertolok bandingnya.

Mama dan abah adalah cahaya hati ini.

Melihat wajah mereka mendatangkan ketenangan.

Mengingati mereka membuahkan kesyukuran.

Mengenang bakti mereka membuat air mata bercucuran.

Akhirnya, anak ini berharap dan terus berharap agar keduanya dapat melihat wajah ALLAH dengan gembira di akhirat nanti. 


Saya tidak pasti, apakah reaksi anda yang membaca tentang secebis tulisan saya pada mama & abah.

Mungkin ada yang berkecil hati. Mungkin hatinya sedang berbisik sayu
"..alangkah bahagia punya ibu bapa yang memahami, yang membahagiakan, yang tidak marah-marah serta tidak melulu menuduh macam-macam."

Mungkin ada yang membentak
.."ibu dan bapa tidak berjaya mendidik saya dan adik-adik. Terlalu sibuk mengejar karier, sedang keluarga di ketepikan. Bahkan ibu dan bapa mengalami masalah. Anak2 tertekan. "

Mungkin ada yang mempunyai masalah keluarga. Mungkin juga tidak.

Ada yang tersepit dalam konflik ibu dan ayah yang sudah tidak serasi. Ada yang tertekan dengan perilaku ibu/bapa sendiri yang kasar serta sukar difahami. Mungkin ada yang terhumban pilu kerana sikap sambil lewa serta tidak bertanggungjawab ibu/ ayah. Mungkin juga ada yang terbelit dengan persoalan mengapa ibu dan bapaku tidak seperti ibu dan bapa orang lain.

Sampai satu saat hati menjerit.."Aku ingin menarik diri dari keluarga ini atau mahukan ibu @ bapa lain yang lebih baik! "

serata

"...alangkah bagus jika ibu dan ayahku seperti ini..." (merujuk kepada seseorang dikagumi yang kita harapkan menjadi ibu/bapa sendiri)


Allahuakbar.
Astaghfirullah.

Mari kita sama2 menghayati istighfar serta memohon kejernihan hati daripada ALLAH, agar pemikiran kembali tenang serta rasional.

Ibu bapa merupakan ketetapan ALLAH. Adakalanya ia juga menjadi ujian.

Kita biasa mendengar anak2 adalah sebagai ujian, namun dalam sesetengah percaturan kehidupan, ibu bapa juga boleh jadi merupakan salah satu ujian dalam kehidupan anak-anak.

Mungkin ada yang sedang menempuhinya. Bersabarlah duhai anak, ibu bapa adalah insan terpenting dalam kehidupan selepas ALLAH dan Rasulullah. Bagi wanita yang telah bersuami, selepas suaminya.

 Bahkan redha keduanya juga merupakan salah satu pra syarat  bagi mendapatkan keredhaan ALLAH.

Pandanglah wajah mereka dengan penuh kasih.

Mungkin marah mereka kerana begitu sayangkan dirimu.
Mungkin bebelan mereka kerasa kerisauan yang tidak bertepian,
Mungkin kesibukan mereka mencari wang kerana inginkan hidupmu selesa,
Dan mungkin juga salah yang mereka lakukan kerana ilmu yang kurang,

Maafkanlah mereka, serta terima lah seadanya.

Mungkin ALLAH ingin menguji kita dengan keadaan mereka. Mungkin mereka memendam masalah yang meremukkan hati.

Jadilah penyejuk mata kepada kedua ibu dan bapa.

Jika mereka marah tanpa sebab (pada pandangan kita), biarkan sahajalah. Tidak perlu diambil hati.

Jika mereka menegur cubalah untuk menerima tanpa melawan,

Jika mereka menyuruh berbuat kebaikan, ikutilah walaupun hati terasa enggan. Pujuklah hati untuk taat.

Jika mereka menyuruh berbuat keburukan, tolaklah dengan penuh hikmah kebijaksanaan.

Ibu serta ayah yang dipinjamkan ALLAH kepada kita pada hari ini adalah yang terbaik buat kita.

Ibu serta ayah orang lain pula pasti yang terbaik buat anak2 mereka sendiri.

ALLAH tidak akan pernah tersilap.

ALLAH adalah Yang Maha Teliti penilaiannya. Maha Pengasih, Maha Penyayang pada hamba2NYA. Pasti segala yang diberikan kepada kita dalam mengharungi hidup yang sementara ini adalah yang terbaik buat kita.

Bergantung pada cara kita menilainya.

Mari lazimi berdoa untuk kedua ibu bapa, serta bertekad untuk menjadi anak soleh yang membawa mereka dekat dengan ALLAH.

Jasa dan bakti mereka tidak akan pernah terbalas walau apapun yang kita lakukan.

Mungkin di pertengahan jalan, ada langkah mereka yang tersilap. Sebagai anak, jangan lari meninggalkan.
Papahlah dengan penuh kasih sayang, ubati luka mereka, dan maralah menuju keredhaan Tuhan. 

Perjuangan menjadi anak yang soleh sentiasa memerlukan kesabaran serta hati yang ikhlas.

Moga sentiasa tabah dan bersyukur wahai anak2 sekalian!


Mama dan abah, moga kita bertemu di syurga!







p/s: Saya juga pernah melalui konflik tersendiri.  Perjuangan menjadi anak yang baik memang tidak mudah, terutama buat yang suka memberontak.

Alhamdulillah wa syukur lillah.

Barangkali kematangan serta petunjuk mencelikkan sedikit hati yang selama ini buta menilai kasih ibu dan ayah yang tidak bertepi. Kalau saya pergi dahulu, moga mama dan abah meredhai pemergianku, jika mama dan abah pergi dahulu, moga diriku dapat menjadi anak solehah yang bermanfaat buat kehidupan akhirat mama dan abah.

Hakikatnya, kita ingin sama2 mengajak ahli keluarga mencari keredhaan ALLAH.