Sunday, February 8, 2015

Melampaukah diriku?

Bismillah.

Saya suka membaca dari kecil lagi. Dahulu kan bahan bacaan terhad. Waktu itu majalah yang popular ialah mastika. Mama dan abah suka beli mastika. Jadi saya akan baca dari kulit ke kulit.

Tapi kalau buku pelajaran tu, tak pernah pula begitu. hehe.

Kalau di perpusatakaan sekolah, saya suka pinjam buku-buku penyiasatan macam Siri Salma, Penyiasatan Hadi dan yang seangkatan dengannya. Kalau tak pergi sekolah agama, balik je sekolah terus baca atas katil. Habis baca satu buku, tidur sampai masuk waktu Asar.

Waktu hari raya di rumah tok pula akan duduk terperap dalam bilik mak tih dan baca novel-novel mak tih yang banyak. Ngantuk tidur. Bangun-bangun dengar riuh rendah rupa-rupanya ada sedara mara datang. Lepastu mula rasa malu dan serba salah. Nak keluar pi salam ke tidak? Nanti mesti kantoi tidur sebab tiba-tiba datang salam perkenalan setelah sekian lama mereka bertandang. So, duduk jelah dalam bilik. Baca lagi. Hari raya jadi hari yang syok sebab boleh baca novel banyak-banyak sampai jenuh.

Bila besar sikit, dah pandai beli buku sendiri. Apabila dengar tentang KLIBF ketika di Tingkatan 5 rasa teruja sangat nak pergi. Abah dan mama baik sangat. Cuba penuhi keinginan saya. Satu malam abah beritahu saya boleh ke sana dengan Cikgu Rohani. Naik bas ekspres. Wah, seronoknya bukan main lagi!


Rasanya inilah Pesta Buku yang saya pergi. 2010.


Saya ingat lagi dengan bersemangatnya pakai jubah hitam tudung warna ungu. Hari itu jadi hari bersejarah buat saya. Hari pertama kali ke Pesta Buku. Mama bagi empat ratus ringgit untuk beli buku. Saya habiskan kesemuanya untuk buku termasuk dua keping cd tilawah kanak-kanak. Sampai sekarang buku-buku itu masih ada. Saya tulis tarikh beli di bawah barisan nama.

Setiap buku ada ceritanya tersendiri.

Sekarang, apabila sudah banyak sangat benda lain nak dibuat membaca bukan lagi menjadi agenda yang paling kerap dilakukan. Masa yang ada untuk membaca sangat terhad. Jadi, apabila ada masa terluang untuk membaca, saya akan guna sebaik mungkin. Kadang-kadang bukan mudah juga untuk menumpukan perhatian dengan adanya whatsapp dan facebook. Tumpuan mudah terganggu. Bukan terganggu sahaja, tetapi teralih terus.

Alih-alih daripada tujuan asal untuk membaca, sudah bertukar kepada membalas whatsapp sahaja. Sedih betul. Kesal pun ada kalau yang berbalas-balas itu bukan tujuan penting pun.

Saya sangat suka untuk menghabiskan masa sehari suntuk di perpustakaan. Saya boleh baca apa sahaja yang saya mahu. Sampai satu saat saya jadi sangat kedekut dengan masa yang dipinjamkan.

Perpustakaan Intec adalah antara perpustakaan kegemaran. 
Sekarang sudah cat merah semua :)


Apabila masa untuk membaca sudah semakin terhad kerana banyaknya urusan-urusan lain, saya jadi sangat menghargai masa luang yang ada untuk menikmati pembacaan. Sampai jadi 'ekstrim' pula rasanya.

Saya jadi sangat berkira dengan masa yang ada. Masa yang ada kalau boleh janganlah dikacau oleh sesiapa. Sebab saya banyak lagi nak baca ni.

Akhirnya saya tersedar yang saya sudah jadi melampau pula.

Apabila ilmu yang diperolehi dari pembacaan tidak diberi ruang untuk diamalkan sebaiknya.

Bagaimanalah ilmu mengenai memenuhi jemputan dapat diaplikasi kalau sampai saya menolak jemputan demi jemputan untuk duduk di dalam bilik baca?

Bagaimanakah saya ingin menjiwai pesan nabi mengenai keutamaan  melunaskan hajat orang lain jika permintaan mereka sering diiketepikan atas alasan saya perlu utamakan masa ini untuk pembacaan saya?

Bagaimanakah saya ingin hidup bermasyarakat dan berakhlak dengan akhlak yang baik jika bersua pun saya enggan kerana ingin terus duduk bersendirian membaca dan terus membaca?

Input nya mungkin menderu masuk, tetapi outputnya tidak kelihatan.
Ia bagaikan tersangkut dalam diri sendiri. Tiidak mendatangkan hasil dari pembacaan iaitu pengamalan ilmu yang terbias dalam kehidupan.

Jadi sekarang saya cuba untuk adjust kembali perkara ini.

Biarlah apa kebaikan yang diperolehi dari pembacaan dapat diaplikasi.

Kuncinya ialah bersederhana.


Benar ianya tidak salah bahkan sangat baik untuk diamalkan namun ia tidak sampai menafikan diri dari kewajipan-kewajipan yang lain terutamanya dalam kehidupan bermasyarakat.

Tidak juga salahnya pada banyaknya membaca itu, tetapi ia berkaitan pengurusan kehidupan. Persoalan ke manakah akhirnya hasil pembacaan itu membawa kita perlu sentiasa diteliti dan difikirkan kembali. Biarlah konsepnya menjadi begini:

Dari lembaran kertas ke dalam sebuah kehidupan.

Mungkin buku boleh memberi saya gambaran mengenai perhubungan yang baik sesama manusia,
Tetapi kemanisannya hanya dapat dirasa dengan benar-benar hidup sesama mereka.

Akhirnya biarlah apa yang dibaca memberi manfaat buat diri dan orang lain agar tidaklah ia kekal hanya sebagai teori yang berlegar dalam minda, tetapi aplikasinya terpakai dalam menjalani kehidupan ini. 

Kesimpulannya, jom baca dan amal! :)