Saturday, June 6, 2015

Monolog seorang atuk

Ketika saya berada di  Darjah Satu,
Saya dipesan oleh orang sekeliling untuk belajar pandai-pandai,
Kata mereka biar periksa hujung tahun saya dapat markah cemerlang,
supaya bila tiba hari anugerah kecemerlangan saya boleh naik pentas,
Supaya ibu ayah saya bangga dengan saya.

Setiap pagi ibu akan kejut saya,
laungnya "bangun!! bangun!! nanti lewat ke sekolah!!"
Saya pun bingkas bangun dan mandi.

Tapi ketika hari minggu,
saya dapat tidur lebih sedikit,
kadang-kadang sehingga jam 10, 11 pagi pun,
emak tidak kisah,
melainkan jika emak ingin mengajak ke sawah,
bergelumang dengan selut bendang. 

Jika tidak, emak tidak kisah pun saya tidur sampai pukul berapa.
Emak tidak kisah sangat jika saya tak bangun Subuh,
Mungkin sebab saya masih kecil.
Mungkin.

Kemudian bila saya naik ke darjah yang lebih tinggi,
Orang-orang sekeliling selalu pesan pada saya,
"belajar rajin-rajin, biar cemerlang dalam ujian!"
Jika bertemu dengan atuk, jiran-jiran dan saudara mara,
mereka akan pesan perkara yang sama.

Ibu dan ayah apatah lagi,
mereka rajin sekali menghantar saya belajar,
dan kadang-kadang saya penat sangat,
saya selalu tidur pada waktu tengah hari,
kadang-kadang, bahkan selalu juga
saya tidak solat zuhur.
Pada waktu malam pula,

Saya terlalu mengantuk dan penat untuk solat Isya',
Emak tidak cakap apa-apa,
tidak juga bertanya.
Sebelum tidur mereka cuma pesan,
"Belajar rajin-rajin, biar dapat cemerlang tau!"
Dan saya tidur dengan bermimpikan keputusan yang gemilang.

Akhirnya setelah berpenat lelah dan berhempas pulas,
saya berjaya mendapat apa yang diidamkan,
terpancar kebanggaan pada wajah ayah dan ibu,
Saudara mara dan rakan-rakan mengucapkan tahniah,
Nama saya dijulang sebagai budak pintar,
Saya bangga sekali.
keputusan PDL adalah kebahagiaan dan kebanggan saya!

Kemudian saya mendapat tempat di sekolah berasrama yang baik,
Apabila pulang ke kampung,
saudara mara, atuk nenek dan ibu ayah selalu berpesan,
"Belajar rajin-rajin, biar dapat cemerlang dalam SRP!"
Saya angguk-angguk dengan penuh keazaman.
Saya mesti cemerlang dalam SRP.

Ibu dan ayah belikan apa sahaja keperluan saya untuk belajar,
setiap kali mereka datang melawat,
saya akan diingatkan akan harapan tersebut,
Cemerlang dalam SRP!

Akhirnya saya mendapat keputusan yang baik,
ibu ayah tersenyum lebar,
dan saya meneruskan pelajaran di peringkat menengah atas.

Kali ini, apabila saya pulang ke kampung,
saudara mara, atuk nenek, dan ibu ayah selalu berpesan,
"Belajar rajin-rajin, biar dapat cemerlang dalam SPVM!"
Ibu ayah menambah skrip,
"Bagi kami bangga dengan kamu, SPVM mesti cemerlang!"

Akhirnya dalam SPVM saya menjadi pelajar yang cemerlang,
wajah saya ceria bersama pelajar-pelajar cemerlang yang lain,
Ibu dan ayah sungguh bangga dengan pencapian saya,
Kata mereka, tidak sia-sia segala pengorbanan selama ini,
matlamat hidup saya sudah tercapai.

Kemudian saya ke universiti pula,
Setiap kali menelefon ayah,
Ayah akan berpesan supaya saya belajar rajin-rajin,
Biar dapat keputusan yang baik,
Buat ibu dan ayah bangga.

Akhirnya pada hari graduasi,
saya benar-benar membuat mereka bangga,
semasa bergambar kenang-kenangan,
ibu dengan air mata yang berlinang,
berbisik pada telinga saya,
"Along sudah capai matlamat along, matlamat ibu dan ayah."
Saya tersenyum, membayangkan kerjaya yang baik menanti di hadapan.

Saya mendapat kerja yang baik,
dikelilingi rakan sekerja yang lain,
kami sering diingatkan untuk meningkatkan kualiti kerja kami,
bos selalu mengulang sebut,
"Kita menuju negara maju!"
Kerja..kerja..dan kerja!!
Biar prestasi kita melonjak naik.

Saya membina keluarga,
dengan dia yang saya cinta,
kami dikurniakan anak-anak,
dan saya mewariskan pesan yang sama.

Pada along, belajar rajin-rajin: biar dapat 4 rata, cemerlang macam papa dahulu,
Pada angah, belajar rajin-rajin; biar cemerlang macam papa dahulu,
Pada uda, belajar rajin-rajin; PMR mesti dapat 8A
Pada achik, belajar rajin-rajin, 5A mesti dalam genggaman.
Pada adik, belajar rajin-rajin, nanti hujung tahun papa nak tengok adik naik pentas.

Dan mereka cemerlang,
naik pentas dengan bergaya,
buat saya rasa bangga.

Kini mereka sudah besar,
saya sudah pencen.

Setiap hari saya akan berulang ke masjid,
Pada waktu ini,
tiada siapa lagi yang menyuruh saya untuk capai itu dan ini.

Hari-hari saya ke sini untuk kuliah zuhur,
kuliah maghrib dan kadangkala,
kuliah Duha.

Ustaz-ustaz suka benar menyebut-nyebut tentang amalan, mati, akhirat, kubur, syurga dan neraka.
Saya akan memilih tiang untuk duduk bersandar,
tetapi lama-lama kebiasaan itu saya tinggalkan,
saya memilih ke depan,
paling hampir dengan ustaz.

Hari-hari saya beriktikaf di surau,
Hari-hari saya dengar pesanan-pesanan,
Anehnya tiada satu pun pesanan-pesanan begini,
pernah diperdengarkan kepada saya ketika saya kecil,
ketika saya muda.

Hakikatnya pada saat dan tika ini,
Segala pesanan-pesanan inilah,
yang saya rasakan paling penting,
untuk menempuh hidup yang abadi.

Pada satu senja yang syahdu,
saya terkenang,
pesan saya pada anak-anak saya.

Sepatutnya saya menambah;

Along, jadilah hamba yang soleh,
Angah, pelihara aurat,
Uda, jadilah insan yang bermanfaat,
Achik, bacalah Al-Quran,
Adik, mari belajar solat, cuba solat dengan baik.

Saya merenung jauh.

Alangkah bagusnya jika,
peringatan-peringatan ini diberikan kepada anak-anak,
supaya mereka biasa hidup seperti 'orang tua',
yang sentiasa merasai mati itu sudah dekat,

Yang akhirnya tahu,
hakikat kehidupan itu terbatas,
akhirat itu sungguh luas.

Dan pada usia ini,
untuk memutar waktu pastilah mustahil,
tetapi untuk mengubah pesan-pesan dan nasihat saya pada anak cucu,
masih berkudrat untuk saya jalankan.

Selepas Isya',
saya bernekad,
nombor along saya dail,
Suara kecil menyambut panggilan,
"Atuk, atuk... atuk nak tahu tak, tadi kan Alisya dapat hadiah paling cemerlang tau... ramai kawan-kawan, cikgu pun semua puji Alisya."

Tekak yang terasa perit, 
saya gagahkan untuk mengeluarkan suara,

" Alhamdulillah, bagus cucu atuk,
 ermm. Alisya, ada belajar solat di sekolah? Alisya sudah pandai solat tak?"


Airmata mengalir perlahan.
Ya ALLAH, izinkan aku memperbetul keadaan! 



~pic's taken from noorizamsabran.com~

Thursday, June 4, 2015

Apakah kebebasan itu kita ertikan pada mendedahkan tubuh badan?

Bismillah.

Haritu saya terbaca satu petikan  mengenai wanita dan kebebasan. Saya terkeliru dengan satu kenyataan yang mengatakan bahawa perbuatan mendedahkan anggota badannya adalah satu manifestasi kebebasan, kita berhak memakai apa yang kita sukai. Orang tidak boleh sewenangnya menghalang.

Sedih, benar-benar sedih jika kita terfikir segala benda boleh kita benarkan atas  nama kebebasan.
Lantas saya tertanya-tanya lagi. Milik siapakah bumi yang sedang kita huni seenaknya ini?

Kadangkala terdetik bimbang akan segala gerakan 'pembebasan wanita', 'menegakkan hak wanita' dan yang seangkatan dengannya. Sejujurnya sebagai wanita, seorang muslimah saya mengakui bahawa di dalam Islam kedudukan wanita telahpun digariskan dengan baik sekali. :)

Tiada isu ketidaksamaan taraf.
Bahkan wanita itu perlu diperlakukan dengan baik dan dipelihara dari kejahatan dan segala syariat yang telah ditimbulkan juga adalah bertujuan untuk kebaikan.

Hanya orang-orang tertentu yang menyatakan Islam mengongkong wanita, lantas mempromosi perbuatan-perbuatan yang jelas bertentangan dengan syariat atas nama Membebaskan Wanita.
Asas perbuatan ini cukup mengarut, yang tidak bebas bukanlah apabila wanita mematuhi syariat, tetapi yang tidak bebas ialah apabila wanita tidak memandang syariat sebagai peraturan hidup yang menyediakan jalan yang cukup indah untuk menjalani kehidupan dengan baik, tenang dan selamat.

Perkara berkaitan 'perjuangan' pembebasan wanita ini telah lama difikirkan. Semakin lama, dilihat semakin ramai wanita berani tampil menyuarakan persoalan dan kemahuan ini. Ia menimbulkan hairan. Hendak bebas apa lagi?

Lainlah jika perjuangan itu solidariti menentang kezaliman terhadap wanita, atau hamba-hamba yang diperlakukan dengan zalim seperti di Mauritania, ataupun untuk membela nasib ibu-ibu tunggal atau para isteri yang dinafikan hak nafkahnya oleh suami, itu soal yang lain.
 Itu soal menentang kezaliman terhadap manusia, terhadap wanita.

Tetapi jika datangnya 'perjuangan' yang berakar dari kefahaman hak-hak wanita perlu ditegakkan dari aspek yang tidak wajar, keliru juga jadinya.

Tidak cukupkah Al-Quran dan sunnah menjadikan kita cukup bebas sebagai seorang insan?

Saya harap kita tidak akan terpengaruh dengan fahaman-fahaman sebegini.

Menang dan disanjung dalam mempertahankan perkara yang salah adalah jauh lebih memalukan jika tidak terpandang oleh manusia dalam usaha mempertahankan hidup berlandas syariat.

Wanita sekalian, jiwa kita akan bebas sebebasnya dengan memperbanyak menuntut ilmu yang membawa kita dekat dengan amal soleh, memandu kita hampir kepada ALLAH.

Kita sebenarnya sudah bebas tanpa perlu mendedahkan walau seinci pun kulit badan kita.

Kerana kebebasan itu sebenarnya bermula dari hati dan minda yang murni,


 Jika kebebasan itu pada mendedahkan tubuh badan, masakan Felixia Yeap lebih memilih untuk berhijab dan bahagia sekarang.

Semoga kita sentiasa dikurniakan hidayah, tetap atas landasan kebenaran. 


Kita akan terpenjara jika tunduk  hawa nafsu dan syaitan. (google pic)