Assalamualaikum.
Setelah sekian lama tak update blog, akhirnya rasa nak tulis dan kongsikan tentang pengalaman bersalin anak pertama pada 23 Ogos 2016 yang lalu bersamaan hari Selasa.
Sebabnya saya suka sangat baca tentang pengalaman ibu-ibu dalam menghadapi proses bersalin jadi saya pun rasa nak tulis jugak lah. Dan seronok juga kan kalau kita rekodkan, nanti-nanti boleh throwback, anak-anak boleh baca juga inshaaAllah.
Jadi beginilah alkisahnya. Kalau diikutkan Estimated due date (EDD) atau tarikh jangkaan bersalin ialah pada 29/8/2016 iaitu Isnin minggu hadapannya. Saya dok berangan kalau-kalau baby dapat lahir pada tarikh 27/8, sama dengan tarikh lahir ayah saya ataupun dapat jadi baby merdeka kalau lahir pada 31/8 hehe.
Tapi rupa-rupanya Allah dah tetapkan bayi lahir pada 23/8/2016, lebih kurang seminggu awal daripada tarikh jangkaan. Alhamdulillah.
Sehari sebelum tu memang ada keluar sedikit chocolate stain tapi saya ingat biasa sahaja, sebab bukan darah berlendir atau pecah ketuban. Lagipun saya tiada rasa sakit apa-apa lagi. Cuma sepanjang hari tu saya standby juga kemas-kemas rumah kalau memang dah masanya saya bersalin kan.
Sampai ke malam, chocolate stain masih appear tapi saya rasa biasa sahaja. Call juga mama tanya dan mama kata kalau tak sakit takpe. Sampai malam tu dah rasa sakit sikit macam sengal-sengal dan saya perasan kiraan pergerakan bayi juga belum cukup 10 kali walau dah pukul 12.
Masa tu saya dah mula cuak sikit tapi tidur jelah dulu. Esok tu saya ingat nak pergi cek di Klinik Kesihatan yang dekat dengan rumah tu je. Pagi esoknya waktu suami-bersiap-siap nak ke pejabat saya dah mula rasa sakit, tapi tak sangka pulak rupanya itu kontraksi. Yelah sebab kali pertama kan, jadi saya ingat sekadar sakit perut 'main2' aja. haha.
Bila bagitau suami, suami tanya nak dia temankan ke klinik ke. Tapi saya rasa mungkin takde apa-apa. Jadi dengan yakinnya saya menolak pelawaan suami. Lepas suami keluar, dalam jam lapan lebih saya ke KK. Dan bila sampai KK dan beritahu yang gerakan bayi kurang pada hari semalamnya, mereka minta saya terus ke hospital sebab katanya mereka pun tak boleh buat apa-apa. Hanya check sahaja.
Jadi saya pun bergegas ke Hospital Kajang sebab paling dekat dengan rumah. Bila sampai ke hospital pulak biasalah sangat sesak dan parking penuh jadi saya decide untuk terus jelah ke Hospital Islam Az-Zahrah di Bangi sebab memang rancang nak bersalin di situ.
Sampai sahaja di Hospital saya terus bagitau nurse tentang pergerakan bayi dan mereka terus lakukan prosedur untuk CTG Scan dan periksa bukaan. Waktu ni saya rasa berdebar sebab selalu dengar cerita yang kata sakitnya bila 'diseluk' nak periksa bukaan.
Dan bagi saya, memang agak sakit tapi takdelah terlalu sakit. Cuma rasa tak selesa. Selepas hampir 20 minit, nurse datang check bacaan jantung bayi dan kata bacaan tak cantik. Ah sudah.. Saya waktu tu rasa menyesal pula sebab tak endah untuk pergi hospital sebaik sahaja sedar yang bayi kurang aktif bergerak semalam. Dalam hati berdoa supaya janganlah apa-apa yang buruk menimpa bayi dalam kandungan.
Kemudian setelah bacaan diambil lagi, nurse bagitau memang bacaan jantung tak cantik dan sebenarnya kontraksi dah ada. Waktu tu baru saya tahu rupa-rupanya sakit perut saya tu adalah kontraksi. Bukaan pula dah 2-3 cm. Then ada nurse yang agak senior (menurut pengamatan saya) maklumkan yang saya perlu masuk wad dan diinduce untuk bersalin selewatnya malam ini.
Tudia aih. Saya pun memang terkejut dan tak sangka. Dalam kepala teringat cadar yang ada dalam mesin basuh di rumah belum sempat sidai sebelum pergi. haha. Kiranya saya memang pergi hospital untuk bersalin terus lah ni!
Waktu tu jam 10 lebih pagi. Saya telefon suami dan maklumkan. Mujur semua barang dah memang sedia ada dalam kereta. Suami pun balik pada waktu tu juga dan saya terus dibawa masuk ke bilik, tukar baju yang disediakan pihak hospital.
Kemudian nurse datang dan masukkan ubat untuk buang air besar dan sejurus selepas itu berlarilah saya ke tandas. Rupanya kesan dia serta merta! Saya sempat pesan pada suami supaya bawalah apa-apa makanan untuk dimakan termasuklah kurma sebab saya lapar sangat. Lepas tu saya call mama bagitau situasi saya wktu tu. Mama sempat pesan jangan nangis sebab saya memang mudah cuak kalau bab sakit2 ni.hehe.
Hampir sejam selepas tu suami pun sampai dengan adik ipar, cik yayah dan kami makan dulu. Cik yayah sempat lagi bungkuskan bihun tomyam yang dimasak sendiri. Saya pulak dah hampir hilang selera, tapi makan juga nasi dan kurma sebab nanti nak bersalin mesti perlukan tenaga dan saya telan lagi beberapa biji kurma. Nasi lauk ayam percik tu suami habiskan.
Kemudian suami pergi masjid untuk solat zuhur dan saya solat di dalam wad sahaja. Untuk bersalin kalini, kami ambil pakej yang disediakan. Kalau ikut pakej tu biliknya adalah bilik share berdua, tapi disebabkan waktu tu bilik berdua tengah penuh dan tiada kekosongan, jadi saya menumpanglah sementara di bilik perseorangan atau single room. Best jugak lah kan, sebab lebih selesa untuk saya solat dan 'melayan' sakit kontraksi yang dah mulai kerap.
Habis sahaja solat, dan suami kembali ke bilik nurse pun datang pasangkan drip untuk masukkan air. Itu untuk proses induce. Saya pun tak berapa faham sangat waktu tu tapi saya ikutkan sahaja yang penting bayiku selamat. Tak lama lepas tu sakit dah mula datang dengan lebih kerap. Waktu itu saya ingat pesan mak mertua supaya jangan berhenti membaca doa Nabi Yunus. "Laailahailla anta subhanaka inni kuntu minadzolimin". Saya genggam tangan suami dan mencatat kekerapan kontraksi dalam minda.
Kemudian nurse datang dan bagitau yang saya dah boleh ke Labour Room dan ditolak menaiki wheelchair ke sana. Waktu dalam labour room tu,sakin kontraksi semakin menyengat. Nurse ada pelawa saya untuk ambil pain killer melalui suntikan, tapi saya enggan dengan alasan saya lebih takut sakit disuntik berbanding dakit kontraksi. Jadi saya rela tahan je dulu.
Mak mertua pun ada datang dan masuk sekejap. Bila tengok muka mama rasa sayu sangat. Wanita inilah yang merasai sakit dan berjuang untuk bersalinkan suami saya. Mama pesan supaya tak henti membaca doa Nabi Yunus. Thank you mama! Bila mama keluar suami pula masuk. Waktu inilah saya akhirnya tak tahan sangat dan minta disuntik dengan pain killer.
Lepas sahaja dapat injection, saya rasa semakin lali. Heaven sangat rasa waktu tu sebab rasa sakit beransur reda dan saya rasa feel sangat nak tertidur. Dalam mamai-mamai, saya menghayati bacaan Al-Quran yang dibacakan oleh suami. Waktu ni saya rasa tenang-setenangnya. Allahuakbar.
Akhirnya saya terlelap sebelum kembali terjaga oleh sakit kontraksi yang jauh lebih menyakitkan.
Kemuncaknya adalah selepas suami pulang dari solat maghrib dalam jam 7 lebih. Waktu ni memang kesakitan yang dialami sangatlah luar biasa. Allahuakbar. Betullah orang kata rasa sakit macam nak putus pinggang. Waktu ni bukaan masih lagi pada kadar 6cm tapi saya rasa sakit sangat dan banyak kali rasa nak meneran.
Tapi doktor dan nurse ingatkan supaya jangan teran lagi sebab bukaan masih lagi 6cm. Saya diingatkan supaya membaca doa nabi yunus setiap kali terasa sakit. Mula-mula saya baca perlahan-lahan, tapi sebab sakit sangat semakin lama semakin kuat sampai rasa macam nak baca menjerit aja. Syukur suami ada di sebelah, pegang tangan, dan ada ketikanya saya cengkam bahu dia kuat-kuat hehe.
Waktu ni juga nurse offer untuk sedut gas dan saya cuba buat. Sedut sedalamnya untuk redakan kesakitan setiap kali kontraksi menjelma, tapi takdenye sebab setiap kali saya macam tak boleh kawal diri rasa macam tak berfungsi je benda tu padahal saya memang tak cuba tarik nafas sedalamnya.
Akhirnya nurse datang dan tolong percepatkan bukaan. Alhamdulillah. Saya pun tak pasti dia buat macam mana tapi setiap kali kontraksi mereka akan tolong segerakan bukaan. Waktu ni sangat-sangatlah genting. Saya rasa nak meneran sangat-sangat tapi masih belum boleh lagi.
Saya mneggeletik kesakitan. Rasa macam ikan yang meloncat-loncat bila tercampak ke darat je. Waktu tu pulak terdengar jeritan-jeritan dari ibu di labour room yang berdekatan. Memang kuat dia menjerit sampai saya rasa gerun agak-agak lepas ke tidak saya nak meneran nanti. Akhirnya telinga menangkap suara bayi menangis. Waktu tu sempat lagi busybody ambil tahu keadaan 'jiran' bilik sebelah.
Alhamdulillah maknanya bayi dia selamat lahir. Sikit masa sahaja lagi ni giliran saya pula. Saya tak tahan nak meneran ni! Akhirnya Dr. Rusinahayati standby di depan katil dan kata saya dah boleh teran. Waktu ni saya pun teran sekuatnya.Suami di sisi banyakkali ingatkan supaya jangan angkat punggung. Sebab kalau angkat punggung nanti koyak banyak. Doktor pula pesan supaya teran di perut dan jangan teran di muka. Dan teran beberapa kali, akhirnya Alhamdulillah bayi keluar dan tiba-tiba sahaja dalam kelelahan yang amat, ada satu tubuh kecil yang indah diletakkan di dada saya. Subhanallah!
Betullah kata orang, hilang segala sakit. Dan memang pun sebab time kontraksi akhir tu yang sangat-sangat sakit sehinggakan waktu uri dikeluarkan dan saat dijahit pun macam tak rasa apa-apa sangat lagipun saya asyik dok jeling baby yang dah diletak atas katil dia (benda tu orang panggil katil ke apa tak tahulah. haha). Dan saya menyaksikan juga suami mendukung bayi kami dan azankan serta iqamat. Subhanallah indahnya masa tu. Alhamdulillah.
Baru lahir. |
Selepas siap jahit dan doktor tekan-tekan perut sedikit untuk keluarkan lagi darah, saya pun disorongkan kembali ke bilik. Malam tu mama, abah dan kak long sampai. Mama dan abah dari Jengka. Lepas tu ibu dan bapa mertua serta adik-adik ipar pun tiba. Semua happy je muka menyambut si kecil ni. :D
Bersama abah. Terima kasih abah! |
Bersama atok dan nenek. Muka saya selebet sungguh waktu ni! |
Malam tu mama teman saya di bilik. Nasib baik ada mama sebab saya memang tengah tak berdaya sangat. Pertama kali nak bangun ke bilik air pada malam tu pun dipapah oleh suami. Mama cakap nak bangun kali pertama lepas bersalin ni memang kalau boleh biar ada orang yang papahkan sebab kita akan rasa pening dan seperti di awang-awangan.
Malam tu saya tak boleh tidur sangat. Asyik dok jeling je baby yang diletakkan di atas stretcher di sebelah katil saya. Alhamdulillah. Rasa macam tak percaya lagi tau waktu tu. Subhanallah.
Esoknya saya boleh discharge sebab baby pun dah berak dan kencing, dan keadaan emak dan bayi pun okay. Saya rasa bersyukur sangat sebab ada suami dan keluarga yang sangat menyokong dan banyak membantu. Waktu ini terasa ikatan kekeluargaan semakin erat dan saya lebih menghargai keluarga yang Allah pinjamkan ini. Dan betullah, bila kita sendiri dah merasai pengalaman mengandung dan bersalin kita akan lebih menghargai ibu yang melahirkan dan membesarkan kita.
Benarlah firman Allah taala dalam surah Luqman ayat 14 :
"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu."
Ya Allah, semoga saya dapat menjadi seorang anak dan ibu yang baik. Memelihara anugerah dan amanah yang dititipkan Allah ini sebaik mungkin dan mendidiknya menjadi manusia yang bermanfaat serta tattkan Allah.
Lepas ni InshaaALLAH saya nak sambung tulis tentang pengalaman pertama menjadi ibu dan berpantang pulak lah. :)