Sunday, August 11, 2013

Kisah seorang perempuan yang bercinta

Bismillah. Assalamualaikum.

Selamat Hari Raya.Taqabbalallah minna wa minkum.


 Kullu 'aam wa antum bi kher.

Sya mohon maaf di atas segala salah dan silap.

Kali ni, saya nak share satu kisah percintaan daripada seorang sahabat.
Kisah ini diceritakan telus darinya. Saya mohon kongsikan di sini untuk kita mengambil pengajarannya.

Btw, Semenjak dua menjak ni i fefeeling macam Dr. Cinta pulak sebab tak habes2 post pasai benda macam ni. Bukan apa, saya rasa ia sangat perlu dikongsi. Luarbiasa kekuatan cinta ini boleh membawa kita menjadi seorang hamba yang taat.



Kisah sahabat 1



" Saya mencintai seorang lelaki. Kami satu universiti. Beliau -pada pandangan saya-  adalah seorang yang baik, tidak begitu kacak, namun punyai pesona yang tersendiri. Apa yang penting, saya sangat menyenanginya, di sebalik setiap kekurangan beliau yang pernah terserlah pada pandangan saya.

Rasa ini aneh. Selama ini, saya bertemu dan berurusan dengan ramai lelaki yang mempunyai kelebihan melangkaui dirinya. Lebih kaya, lebih kacak, mempunyai nama, lebih 'kelihatan soleh', namun hati saya masih tidak dapat beralih daripadanya. Bahkan, ia semakin mendalam hari demi hari.

Namun, saya tiada kekuatan untuk memberitahunya. Tiada kekuatan untuk 'meminang'nya, tiada kekuatan untuk menjadi kawannya di fb. Juga tiada kekuatan untuk mengusir perasaan ini agar hati saya kembali tenteram semula.

 Dua tahun saya memendam perasaan ini. Perasaan bersalah sering mendatangi, namun saya tidak berupaya untuk mengusirnya, membuangnya jauh dari hati. Adakalanya, apabila melihat apa sahaja yang mempunyai walau sedikit perkaitan dengannya, ingatan ini akan terus-menerus teringatkannya. Bahkan pernah hampir setiap detik waktu dalam kehidupan, saya mengenangnya. Mengingatinya tanpa jemu.

Ia sangat memedihkan. Kerana saya ini melalui proses didikan agama. Saya mengetahui batas-batas yang perlu dijaga, termasuklah dalam soal hati. Saya mengetahui bahawa mengingati si dia yang bukan mahram itu perlu ada aturannya. Saya sangat arif bahawa mendekati zina itu ditakrifkan melalui pelbagai cara.

Namun saya buntu. Jiwa adakalanya terasa sesak. Rasa itu terus mengasak.Saya mencintainya sepenuh hati. Jikalau ada nama yang sering diulang sebut didalam doa hingga bercucuran air mata ini membasahi telekung, nama itu adalah nama dia...


Ada ketika, saya akan merinduinya sungguh-sungguh. Saya tidak berhubung dengannya. Tidak pernah saya luahkan rasa yang satu ini pada sesiapa, hatta kepada sahabat perempuan yang paling rapat dengan saya. Saya terlalu malu, dan rasa bersalah tetap juga menyinggah apabila perasaan ini marak bagai dinyalakan oleh cinta yang datang dari hati yang terdalam.

Apa yang boleh saya lakukan, saya akan melihat laman fb nya. Status-status yang dikemaskini olehnya dirasakan seperti sedang berbicara kepada saya. Apabila melihat gambarnya yang tersenyum, saya akan turut gembira dan merasakan kebahagiaan.

Selama bertahun ini, saya menjadi pelawat tetap fb nya. Menatap setiap bait kata yang diutus, seperti tidak siuman merasakan setiap kata-katanya ditujukan khas buat saya. Malunya saya untuk mengakui, namun itulah hakikatnya.

Jika ada nasihat atau saranan daripadanya, pasti saya akan semat di hati sungguh-sungguh, saya akan ingat dan cuba untuk mengamalkannya. Setiap kata-katanya jadi begitu bermakna. Saya akan mengangguk berseorangan di hadapan skrin laptop dan terus cuba mengamalkan apa yang dikatakannya dalam kehidupan. Mujur dia seorang yang baik, maka status-statusnya juga banyak mengajak ke arah kebaikan.

Saya ingat dan aplikasikannya sungguh-sungguh. Kerana saya mencintainya...Saya menghargai apa sahaja yang dipesan olehnya. Rasanya, nilainya pada saya melebihi harta yang saya ada. Barangkali dia juga tidak akan pernah menyangka, ada yang mencintainya sebegini. Adakah dia mempunyai rasa yang serupa? Kadangkala hati ini tertanya-tanya. Namun cepat pula kesedaran meningkah. Dia tidak mungkin sukakan saya, mungkin memandang saya pun tidak. Mungkin sahaja, selama bertahun ini tangan saya seorang yang bertepuk melagukan iramanya. Tetapi tidak dia. Namun rasa ini tidak pernah kisah akan semua itu. Ia tetap setia.

Hinggalah satu saat tiba-tiba ALLAH detikkan dalam hati saya. Di saat saya benar-benar teringatkannya, teringat pesan-pesan di fb nya, dan baru ingin mengamalkan satu pesanan terbarunya. Tiba-tiba saya tersedar, saya ini seolah-olah sudah sangat taksub dengannya. Bagaikan orang yang angau (na'udzubillah), saya benar-benar ingin mengamalkannya, mengikutinya, mentaatinya.

Kerana saya mencintainya.

Bahkan penghayatan saya sangat mendalam membaca statusnya, berbanding membaca hadith nabi serta ayat al-Quran.

Ya ALLAH! Saat itu saya seolah-olah baru sahaja ditampar oleh hakikat, bahawa saya telah melampau dalam meletakkan cinta padanya.

Saya letakkan tangan di dada. Kedua-dua belahnya. Cuba merasai benar-benar perasaan saya. Sesungguhnya, saya telah menzalimi diri saya sendiri. Saya menderanya dengan perasaa cinta yang begitu kuat itu, tanpa memberikan hak yang sebenar padanya. Haknya untuk mencintai ALLAH yang telah menciptakannya.

Saya terfikir, betapa bersungguhnya saya apabila cuba mengamalkan saranan serta pesanannya, namun tidak pernah begitu bersungguh saya mengamalkan apa yang tertulis di dalam hadith dan ayat Al-Quran,

Betapa hati saya bergetar membaca statusnya, tetapi hati saya tidak bergetar begitu ketika mendengar ayat2 ALLAH,

Betapa saya menanti-nanti update terbaru daripadanya untuk mengetahui apa yang ingin disampaikan, tetapi mengapa saya tidak begitu dengan wahyu ALLAH, dengan pesanan Rasulullah?

Jawapannya cuma satu: Cinta.

Dalamnya cinta saya pada dia, menyebabkan saya menghargai apa sahaja yang datang daripadanya. Menghayatinya sepenuh hati. Mengamalkannya sepenuh daya. Mempertaruhkan kebahagiaan seluruhnya.

Astaghfirullah. Saya sedar saya khilaf. Saya mohon keampunan dari ALLAH.

Saya cuba membaca ayat Quran, serta hadith dengan membawa 'rasa' yang sama. Saya ingin mencintai ALLAH dan Rasul, lebih dari mencintai dirinya.

Syukur ALLAH membuatkan saya sedar. Syukur ALLAH tidak mengambil nyawa saya di saat saya masih memeluk rasa yang satu itu. Syukur ALLAH masih sayangkan saya, menyuntim hidayah di saat saya begitu zalim dengn hati sendiri.

Sekarang, rasa itu masih lagi berbaki. Saya masih belum berhenti berharap, mencintai dirinya.

Namun saya cuba mengawalnya, dengan apa sahaja cara yang saya mampu. Mungkin dia adalah jodoh saya, mungkin juga tidak. Untuk memberitahunya, saya tiada kekuatan.

Namun saya yakin tanpa ragu, ALLAH akan beri yang terbaik.

Namun, sekarang saya sedang cuba menyalurkan rasa cinta yang terdalam itu kepada ayat-ayat Al-Quran panduan dari ALLAH yang selama ini saya baca tanpa rasa, hadith-hadith Rasulullah shallalallahu 'alaih wasallam yang sudah lama dihayati tanpa azam dan tekad untuk benar2 saya amalkan.

Saya mohon keampunan dari ALLAH.  Selama ini, status-status fb nya saya letakkan lebih makna berbanding ayat-ayat ALLAH dan pesan Rasulullah, padahal cinta pada dua perkara inilah yang akan bawa saya pada ALLAH!





****Kisah ini ditulis oleh saya, namun inshaaALLAH isinya tidak lari dari kisah sahabat kita ini. Saya sangat value kisah ini kerana ia sangat dekat dan relevan. Persoalannya adalah, bagaimana kita menghalakan cinta dalam kehidupan?

Cinta yang ALLAH anugerahkan inilah, yang menjadi kekuatan kepada para mujahidin untuk mara di medan jihad.

Cinta yang ALLAH anugerahkan inilah, yang menjadi tunjang kekuatan kepada para pejuang agama Islam.

Cinta yang ALLAH anugerahkan inilah, yang menghapuskan ketakutan dalam hati2 umat Islam di palestin untuk mempertahan baitul maqdis.

Cinta yang ALLAH anugerahkan inilah, yang menjadi sumber daya untuk kita mengamalkan segala yang telah ALLAH perntahkan sehabis baik, sesempurna mungkin dengan diiringi kesabaran serta pengharapan.

Ia adalah cinta, namun kisah ini benar-benar buat saya terfikir mungkin yang membuatkan kita memandang kosong kepada helaian mushaf yang dibaca, kerana kite terlupa akan cinta yang belum wujud di dalam hati. Carilah ia... sebelum terlambat..





" Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebutkan nama ALLAH, bergetarlah hati mereka, apabila dibacakan ayat-ayatNYA  bertambahlah iman mereka, dan kepadaNYAlah mereka bertawakkal."       

(Al-Anfal: 2)




 It hurts, when we put it not at the right place. Move it.


~pic by google~

1 comment: