Friday, September 6, 2013

Saya mahukan ibu yang lain!

Bismillah. Assalamualaikum.


Dulu waktu kecil, saya selalu berkonflik dengan mama. Sebab saya suka melawan dan merajuk.
 Merajuk pula boleh dikategorikan sebagai hobi.

Apabila ada masa lapang dan terluang, pasti saya akan merajuk!

Mama dan abah sabar.

Tapi kalau bergaduh dengan kak long, mama akan cakap.

"Haaa..nanti mama bagi pisau sorang satu. Gaduh puas puas!"

Tudiaa.. cool, bukan?.

Biasanya akan gaduh dengan kak long sebab berkira nak buat kerja rumah.
Jadi mama dan abah akan bahagikan tugas mengikut kecenderungan masing2.

Kak long pandai menyapu, jadi beliau ditugaskan untuk menyapu sampah dan kemas ruang tamu.
Saya pula 'memikul tanggungjawab' sebagai pembasuh, penyidai serta tukang lipat kain.

Ia menjadi kegemaran sampai dewasa. Kak long dengan menyapu, saya dengan baju-baju.

Kalau saya yang menyapu, tidak akan jadi sebersih kak long.
Kalau kak long melipat baju, tidak akan segigih saya *perasan*.

Gandingan yang serasi.

Hasil lenturan mama dan abah dari kecil.

Dan kalau waktu kecil dulu, abah suka kemas rumah secara berkala. Dan dalam beberapa bulan sekali abah akan melakukan proses 'geledah' bilik kami (saya & kak long).

Waktu tu, pasti hati rasa berdebar-debar. Saya akan duduk di muka pintu bilik dan memerhati.

Bila abah hendak kemas bawah katil, dada terasa dup dap dup dap... Apalah yang abah akan jumpa di bawah sana..

Banyak barang yang disepahkan di bawah katil. Ada bantal, buku, pensil, mainan dan macam-macam. Ia jadi ruangan stor eksklusif. Sebab itu kami resah dan gelisah bila abah hendak membersihkan bilik. Pecahlah rahsia yang tersembunyi di dalam stor khas tersebut.

Hakikatnya, kami (terutamanya saya ) sangat suka menyepahkan barang. Sampai saat abah dan mama kemaskan, pasti  jantung berdetak laju. Habislahhhhh..!!!!!


Terlalu banyak kenangan masa kecil bersama keluarga, terutamanya kedua ibubapa. Saya seringkali berharap dan berdoa agar kenangan2 itu tidak akan saya lupa, kerana ia menunjukkan kasih mama abah yang tidak berbelah bahagi. Kesabaran yang cukup tinggi serta kegigihan yang tidak tertolok bandingnya.

Mama dan abah adalah cahaya hati ini.

Melihat wajah mereka mendatangkan ketenangan.

Mengingati mereka membuahkan kesyukuran.

Mengenang bakti mereka membuat air mata bercucuran.

Akhirnya, anak ini berharap dan terus berharap agar keduanya dapat melihat wajah ALLAH dengan gembira di akhirat nanti. 


Saya tidak pasti, apakah reaksi anda yang membaca tentang secebis tulisan saya pada mama & abah.

Mungkin ada yang berkecil hati. Mungkin hatinya sedang berbisik sayu
"..alangkah bahagia punya ibu bapa yang memahami, yang membahagiakan, yang tidak marah-marah serta tidak melulu menuduh macam-macam."

Mungkin ada yang membentak
.."ibu dan bapa tidak berjaya mendidik saya dan adik-adik. Terlalu sibuk mengejar karier, sedang keluarga di ketepikan. Bahkan ibu dan bapa mengalami masalah. Anak2 tertekan. "

Mungkin ada yang mempunyai masalah keluarga. Mungkin juga tidak.

Ada yang tersepit dalam konflik ibu dan ayah yang sudah tidak serasi. Ada yang tertekan dengan perilaku ibu/bapa sendiri yang kasar serta sukar difahami. Mungkin ada yang terhumban pilu kerana sikap sambil lewa serta tidak bertanggungjawab ibu/ ayah. Mungkin juga ada yang terbelit dengan persoalan mengapa ibu dan bapaku tidak seperti ibu dan bapa orang lain.

Sampai satu saat hati menjerit.."Aku ingin menarik diri dari keluarga ini atau mahukan ibu @ bapa lain yang lebih baik! "

serata

"...alangkah bagus jika ibu dan ayahku seperti ini..." (merujuk kepada seseorang dikagumi yang kita harapkan menjadi ibu/bapa sendiri)


Allahuakbar.
Astaghfirullah.

Mari kita sama2 menghayati istighfar serta memohon kejernihan hati daripada ALLAH, agar pemikiran kembali tenang serta rasional.

Ibu bapa merupakan ketetapan ALLAH. Adakalanya ia juga menjadi ujian.

Kita biasa mendengar anak2 adalah sebagai ujian, namun dalam sesetengah percaturan kehidupan, ibu bapa juga boleh jadi merupakan salah satu ujian dalam kehidupan anak-anak.

Mungkin ada yang sedang menempuhinya. Bersabarlah duhai anak, ibu bapa adalah insan terpenting dalam kehidupan selepas ALLAH dan Rasulullah. Bagi wanita yang telah bersuami, selepas suaminya.

 Bahkan redha keduanya juga merupakan salah satu pra syarat  bagi mendapatkan keredhaan ALLAH.

Pandanglah wajah mereka dengan penuh kasih.

Mungkin marah mereka kerana begitu sayangkan dirimu.
Mungkin bebelan mereka kerasa kerisauan yang tidak bertepian,
Mungkin kesibukan mereka mencari wang kerana inginkan hidupmu selesa,
Dan mungkin juga salah yang mereka lakukan kerana ilmu yang kurang,

Maafkanlah mereka, serta terima lah seadanya.

Mungkin ALLAH ingin menguji kita dengan keadaan mereka. Mungkin mereka memendam masalah yang meremukkan hati.

Jadilah penyejuk mata kepada kedua ibu dan bapa.

Jika mereka marah tanpa sebab (pada pandangan kita), biarkan sahajalah. Tidak perlu diambil hati.

Jika mereka menegur cubalah untuk menerima tanpa melawan,

Jika mereka menyuruh berbuat kebaikan, ikutilah walaupun hati terasa enggan. Pujuklah hati untuk taat.

Jika mereka menyuruh berbuat keburukan, tolaklah dengan penuh hikmah kebijaksanaan.

Ibu serta ayah yang dipinjamkan ALLAH kepada kita pada hari ini adalah yang terbaik buat kita.

Ibu serta ayah orang lain pula pasti yang terbaik buat anak2 mereka sendiri.

ALLAH tidak akan pernah tersilap.

ALLAH adalah Yang Maha Teliti penilaiannya. Maha Pengasih, Maha Penyayang pada hamba2NYA. Pasti segala yang diberikan kepada kita dalam mengharungi hidup yang sementara ini adalah yang terbaik buat kita.

Bergantung pada cara kita menilainya.

Mari lazimi berdoa untuk kedua ibu bapa, serta bertekad untuk menjadi anak soleh yang membawa mereka dekat dengan ALLAH.

Jasa dan bakti mereka tidak akan pernah terbalas walau apapun yang kita lakukan.

Mungkin di pertengahan jalan, ada langkah mereka yang tersilap. Sebagai anak, jangan lari meninggalkan.
Papahlah dengan penuh kasih sayang, ubati luka mereka, dan maralah menuju keredhaan Tuhan. 

Perjuangan menjadi anak yang soleh sentiasa memerlukan kesabaran serta hati yang ikhlas.

Moga sentiasa tabah dan bersyukur wahai anak2 sekalian!


Mama dan abah, moga kita bertemu di syurga!







p/s: Saya juga pernah melalui konflik tersendiri.  Perjuangan menjadi anak yang baik memang tidak mudah, terutama buat yang suka memberontak.

Alhamdulillah wa syukur lillah.

Barangkali kematangan serta petunjuk mencelikkan sedikit hati yang selama ini buta menilai kasih ibu dan ayah yang tidak bertepi. Kalau saya pergi dahulu, moga mama dan abah meredhai pemergianku, jika mama dan abah pergi dahulu, moga diriku dapat menjadi anak solehah yang bermanfaat buat kehidupan akhirat mama dan abah.

Hakikatnya, kita ingin sama2 mengajak ahli keluarga mencari keredhaan ALLAH.

1 comment: