Monday, December 29, 2014

Lama sudah tidak bersua

Bismillah.

Assalamualaikum.

Sudaah lama kan, saya tidak menulis di sini? Harini saya nak berkongsi satu kekecewaan dengan semua.

Saya kecewa dan sedih dengan rancangan-rancangan televisyen yang berlambak pada hari ini.

Dan saya turut kecewa kerana adakalanya mata saya turut terpaku menonton rancangan yang ada.

Sakitnya perasaan bila kita menyedari lam-lama sensitiviti kita terhadap segala pemaparan maksiat itu semakin terhakis.

Adegan mesra antara pelakon sudah menjadi terlalu biasa, usah dicerita aurat yang tidak terjaga. Juga hukum hakam yang sudah dilanggar sesuka hati. Banyak drama tentang perempuan hamilkan anak orang lain, dan senang-senang sahaja dijadikan lelaki lain sebagai 'bapa sah' anaknya. Tidak langsung dibangkitkan persoalan nasab dan sebagainya di sini.

Jadi kita seolah-olah memberi signal kepada anak-anak yang menonton.

"Tidak mengapa terlanjur, jika kita ada wang, ada lelaki yang sanggup boleh sahaja kita jadikan lelaki lain sebagai penutup aib atau malu."

Ya, persoalan besar yang diangkat ialah MALU kepada orang lain. Tidak lagi persoalan besar yang melibatkan dosa dan pahala.

Dahulu ketika saya kecil apabila menonton rancangan Hollywood ibu bapa mesti ada bersama supaya bila munculnya adegan 'kissing' dan seumpamanya boleh dipastikan dialih ke siaran yang lain.

Tetapi kini, cerita-cerita tempatan pun sangat bahaya. Tidak tahu bagaimana standard untuk meluluskan sesebuah cerita boleh menjadi sebegini longgar.

Harini saya mengeluh dalam keadaan tidak mampu berbuat apa-apa.

Namun pada masa akan datang, saya berharap kita mampu menjadi sebahagian daripada penggerak perubahan.

Bagaimana? Mari kita fikirkan bersama-sama.

Saya sudah jemu menjadi pengkritik yang tidak konstruktif.

Semakin hari umur saya semakin meningkat, dan saya khuatir jika usaha-usaha untuk memulihkan keadaan umat Islam yang sudah semakin kritikal sekarang ini tidak digerakkan langsung.

Jika hari ini kita melihat ramai anak-anak sudah tahu mengenai perkara-perkara berkaitan seks, kita jangan berasa pelik kerana pendedahan tersebut ditayangkan sewenangnya dalam televisyen dan laman sosial yang pelbagai.

Semoga ALLAH mengampuni kelalaian kita semua. Moga diri kita, ahli keluarga kita, zuriat keturunan kita, umat Islam seluruhnya dilindungi daripada perkara sebegini.