Tuesday, October 27, 2015

Pernahkah kita benar-benar kesunyian?



Pagi itu saya dan rakan-rakan dikejutkan dengan satu berita sedih. Ibu sahabat kami yang telah bertahun-tahun berjuang dengan penyakit kanser akhirnya dijemput menghadap Ilahi. Ketabahan ibunya sering dikagumi. Terus-terusan berikhtiar untuk sembuh tanpa putus asa. Wajahnya putih bersih saat menghembuskan nafas terakhir. 

“Innalillah wa inna ilaihi raajiun. Mari kita pergi melawat keluarganya. Jam 11 kita bertolak ke Melaka.”

Kami merancang demikian. 

Harapannya agar kami sempat bersama-sama menunaikan solat sunat jenazah dan menyaksikan majlis pengebumian arwah. Lebih penting, hati kami meronta ingin bertemu dan memeluk sahabat yang sedang bersedih. Menjelang tengah hari kami sudah pun sampai ke Kampong Kandang. 

Rupanya rumah nenek rakan yang juga merupakan ibu arwah sangat berdekatan dengan tanah perkuburan. Syukur, kami sempat menunaikan solat jenazah sebagai hadiah terakhir buat ibu kepada sahabat yang dicintai. Selanjutnya kami turut serta melangkah ke tanah perkuburan, menyaksikan saat-saat akhir sebelum jasad dikebumikan dan berpisah selamanya dengan ahli keluarga di atas dunia. 

Tatkala mayat dikebumikan, saya berada beberapa meter dari liang lahad. Mata menyoroti satu persatu wajah ahli keluarga allahyarhamah. Mereka kelihatan tenang, redha akan pemergian satu-satunya isteri, ibu dan anak yang dikasihi. Sambil menunggu urusan pengebumian selesai, saya melihat di sekitar kawasan tanah perkuburan tersebut. Baru saya sedar, sudah terlalu lama diri ini tidak menjejaki kubur. Seringkali hanya memandu sahaja melepasi tanah perkuburan sambil mengucap salam buat arwah. 

Tanah perkuburan tersebut masih lagi dilitupi banyak pepohon hijau menjadikan kawasan tersebut sangat redup, seredup perasaan kami tika itu. Kami berteduh bawah naungan redup pepohon sambil hati tidak berhenti melantunkan doa dan pengharapan supaya rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan mendapat keampunan serta rahmat ALLAH. Perlahan-lahan hati menginsafi betapa sunyinya hidup di alam barzakh. Sentiasa sendiri tanpa berteman. 

Mata melihat-lihat  lagi di sekitar tanah perkuburan. Masih banyak ruangan yang kosong. Batu nisan yang terpacak atas kuburan lain terdapat dalam pelbagai rupa dan bentuk. Ada yang menggunakan batu sungai, ada yang ditmpah khas beserta tulisan khat yang cantik dan ada juga yang sudah begitu lusuh diiselaputi debu-debu tanah. Hakikatnya, bagaimana rupa bentuk batu nisan dan hiasan kubur (jika ada yang melakukannya) tidaklah mempengaruhi bagaimana keadaan roh kita di alam kubur. Hati digigit oleh perasaan pilu dan sebak, membayangkan bagaimana agaknya diri akan bersendirian. Saat berada di alam barzakh tiada siapa  yang akan menemani. Ibu yang merupakan teman paling rapat buat seorang anak juga tidak dapat bersama menenangkan anaknya jika ketakutan di alam tersebut. Rakan taulan yang biasanya menemani dan setia saat susah dan senang juga tidak akan ikut bersama.

Saat itulah, diri terkenang betapa pentingnya untuk kita sentiasa sedar dan meningkatkan amalan yang boleh membantu ketika berada di alam kubur. Tiada manusia yang dapat menentukannya, melainkan ALLAH semata-mata. Kerana kasih dan rahmatNYA, Dia memberikan panduan buat hambaNYA untuk diusahakan di atas dunia. 

Al-Quran akan menjadi rakan  di dalam kubur buat yang akrab dengannya di atas dunia.  
Solat sunat akan membuatkan ruangan kubur bercahaya buat yang selalu mengerjakannya ketika jasad masih bernyawa.
Amal soleh yang dikerjakan ketika hidup akan menjadi penentu kepada lancar gagap roh menjawab soalan munkar dan nakir. 

Allahuakbar. 

Jiwa berasa sangat gusar dan takut apabila terkenang bagaimana nanti diri ini yang akan ditinggalkan sendiri di dalam tanah. Jika tidak diusahakan amal di atas dunia alangkah ruginya kita. Tika itu tiada lagi amal soleh yang boleh diusahakan. Tempoh bekerja telah tamat, tinggal menuai hasilnya sahaja. 

Bacaan talkin dari ustaz sangat menggegarkan jiwa. Benarlah, ia peringatan buat yang hidup. Telinga menangkap esak tangis saat ayat demi ayat dibacakan. Nyata ramai yang berkongsi rasa yang sama. Benarlah hadir ke kuburan itu sangat mengingatkan anak adam akan detik kematian yang hampir, mendekatkan jiwa dengan akhirat dan mengalirkan keinsafan dalam jiwa yang kontang terbuai oleh dunia. 

“Ya ALLAH, kuatkanlah kami untuk beramal selagi nafas masih ada. Kasihanilah kami Ya Allah, janganlah kami terpesona dengan dunia yang sementara sehingga mengabaikan akhirat yang abadi selamanya.Kami mohon agar diluaskan rahmatMU ke atas kami. Ampunilah segala dosa-dosa kami ya ALLAH.”

Tatkala kaki melangkah keluar dari tanah perkuburan, mata kami masing-masing berkaca. Tidak hanya kerana berkongsi kesedihan rakan yang telah kehilangan ibunya, tetapi lebih-lebih menginsafi bagaimana kehidupan sendiri nanti di alam yang sunyi terpisah dengan dunia. 
Saat roh kita terpisah dari jasad, ada yang bergembira, ada yang bersedih. Biarlah orang lain bersedih sedang kita gembira-

gembira untuk bertemu dengan ALLAH, yang menjadi sumber ketaatan kita ketika hidup di dunia.
Kurniakanlah kami petunjukMU Ya ALLAH. 


"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." 

(Ali Imran : 185)


Renungilah pula ayat ini. Perhatikan bagaimana setiap tindak tanduk dan amalan akhirnya dipaparkan kembali serta dibalas dengan setimpal.


 Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan (serta membalasnya) ."

(Al-Jumu'ah: 8) 





~deviantart~






Al-Fatihah buat ibu sahabat saya. Seorang isteri, anak dan ibu yang sangat dikasihi ramai. Moga tenanglah rohnya di sana. Al-Fatihah.

Monday, October 12, 2015

Histeria di sekolah

Teringat cerita omputih zaman dulu2. haha





Satu malam yang hening, jeritan bertempik di laluan berbumbung yang menghubungkan asrama lelaki dengan bangunan sekolah. Sebaik dimaklumkan tentangnya saya bergegas ke sana. Rupanya seorang pelajar Tingkatan 1 sudah pun terjelopok ke lantai laluan tersebut sambil dikelilingi rakan-rakannya. Ketika itu para pelajar sedang bergerak ke bangunan sekolah dari asrama untuk prep malam.


Pelajar perempuan tersebut menjerit dengan begitu kuat sekali. Saya bimbang pelajar lain yang melalui jalan tersebut dan mendengar jeritannya turut terpengaruh dan join menjerit sama.

"Ini tak boleh jadi!"

Mata menyoroti muka pelajar terbabit. Jeritannya lain, bukan seperti orang histeria. Ini lebih kepada buat-buat. Hati mula membuat telahan. Lantas saya duduk dan memegang wajahnya sambil memanggil namanya berkali-kali.

Tiada respon. Jeritannya berterusan. Pelajar perempuan makin ramai melalui laluan tersebut, berpusu-pusu. Ada antara mereka yang menjenguk-jenguk, ada yang berlalu dengan pantas.

Lantas saya mengambil keputusan nekad. Jeritan ini harus dihentikan!

Saya terpaksa menampar wajahnya. Syukur, jeritannya berhenti. Benarlah rasanya, ini bukan kerasukan jin. Mungkin lebih kepada rusuhan perasaan atau lemah semangat. Kami membawa adik tersebut ke tempat lain.

Ada satu ketika di sekolah, kami melalui ujian histeria dan rasukan. Ada beberapa orang pelajar yang selalu dirasuk dan keadaan ini berlanjutan untuk satu tempoh masa yang agak lama. Pada ketika itu saya menjadi ketua pelajar perempuan di sekolah jadi kes-kes begini perlu ditangani tidak mengira masa apatah lagi jika waktu itu berada di asrama dan di luar waktu persekolahan.

Waktu itu masih belum ada pengawal keselamatan yang ditugaskan khas untuk mengawasi asrama pelajar perempuan. Apabila ada kejutan kes yang tidak terduga kami akan menghubungi ustaz untuk membantu dan melihat keadaan pelajar terbabit. Kadang-kadang ustaz tak dapat hadir. Yelah, bukannya ustaz macam doktor on-call yang boleh tiba bila-bila masa kan.

Jadi kami diajar untuk melakukan beberapa rawatan yang sangat asas, cukup sekadar meredakan keadaan. Saat itu memang pelbagai perasaan bercampur baur. Berdebar-debar, risau, runsing dan cemas segalanya bersatu dalam diri. Tetapi Alhamdulillah lama kelamaan dan apabila semakin kerap kejadian seumpamanya berulang perasaan dapat dikawal dengan baik. Syukur kepada ALLAH.

Biasanya kejadian histeria ini bermula lewat petang. Tiba-tiba sahaja kami mendengar jeritan dari salah satu bilik. Waktu tu biasanya dah agak, mesti ada kes ni. Kami pun turun dan bawa pelajar tersebut ke bilik sakit, asingkan dia dari pelajar lain dan mulalah kami mebaca beberapa ayat suci Al-Quran, doa serta zikir yang telah diajarkan oleh ustaz. Kemudian akan ada serangan yang lain menyusul menimpa pelajar lain.

Pernah satu hari, saya duduk di dalam surau mengawasi pelajar yang sering kena rasuk. Seingat saya ketika itu adalah waktu senggang antara Isya dan Maghrib. Tika itu adalah saat-saat kemuncak kejadian sebegini di sekolah kami. Hampir setiap hari ada sahaja yang dirasuk. Ekstrem juga pergerakannya saat tidak sedarkan diri, jadi kami ambil langkah berjaga-jaga dengan mengawasi pelajar yang memang biasa 'kena'.

Sedang kami berada di dalam surau, tiba-tiba lampu terpadam dan pembesar suara tertutup.

 Keadaan bertukar sepi, senyap sunyi.

Rupanya  bekalan elektrik terputus.

Saya masih duduk di sebelah pelajar tersebut. Hati berasa tidak enak. Mulut melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran yang diajarkan sebagai ayat pendinding.Saya menjeling pandang ke arah pelajar yang duduk di sebelah saya. Dalam kegelapan, saya lihat beliau sudah lain macam. Tegak semacam ja.

"Adus, ini sudah gawat". Bisik hatiku.

"Kau baca apa tu?"

Ah sudah...dia dah bunyi..dia dah bunyi...

Saya meneruskan sahaja bacaan. Dalam hati memang berdebar-debar. Buatnya dilepuk aku. Tak ke naya. Waktu tu saya sudah tak mampu memandang wajahnya.

Tapi syukur dia diam sahaja sambil mendengus dan menderam-deram. Waktu itu saya hanya standby kalau dia lari. Biasanya kami akan kejar. Ada juga yang lari sampai ke padang di bahagian asrama. Satu ketika kami kejar seorang pelajar ni untuk menangkapnya kerana dia sudah lari sampai ke padang. Kami bimbang kalau dia terus masuk ke dalam kawasan hutan (atau ladang getah tak ingat dah). Bila sampai ke padang, beliau mula agresif dan merentap tudung saya. Habis semua jahitan dari bawah dagu hingga ke hujung tudung (tudung labuh bulat yang berjahit tengah) terkoyak. Akhirnya kami dapat bawa dia ke asrama.

Macam-macam lagi kejadian histeria yang ditempuhi satu ketika dahulu. Saja ja saya cerita di sini untuk tatapan saya kembali pada masa akan datang. Bukan bertujuan nak tunjuk terror ke apa. haha. sebenarnya waktu histeria di sekolah dulu tu ustaz yang core person, kami ni bantu pegang-pegang saja. Itupun mula-mula ketq lutuit jugak. Lama-lama bila dah terlalu kerap baru kami terbiasa.

Kesian sebenarnya pada mereka yang kena ni. Ujian dari Allah. Ada yang cedera, lebam-lebam badan pun ada. Satu waktu tu, pelajar ni tiba-tiba agresif dan mula menyerang. Ketika tu saya sendirian dalam bilik di tingkat 3  dengan dia. Orang lain tengah ada perjumpaan dengan warden di bawah. Saya takda pilihan melainkan lawan balik. Dipendekkan cerita akhirnya beliau pengsan. Bila tengok wajahnya ada kesan lebam. Kesian betul dan sampai sekarang masih rasa bersalah bila ingat balik. Mujur tak dituduh membuli.

Apapun, mudah-mudahan kita terhindar dari yang demikian. Kalau ada kawan-kawan kita yang dirasuk ke, kita pula janganlah dok tuduh macam-macam. Contohnya kita sangka dia ni tak jaga amalan, tak jaga kebersihanlah, banyak masalah lah, saka mak, saka rimau dan sebagainya. Ya, memanglah mungkin ada antara sebab yang mendatangkan serangan ini pada mereka tapi lebih baik kita fikir yang murni-murni sahaja, ini ialah ujian buat mereka dan doakan mereka. :)

Kalaupun ada perkara yang boleh kita teladani kita ambil dan faham-faham sahajalah jangan jadi joyah pi canang keburukan orang sana-sini. Faham?

Contohnya ada seorang budak ni kita memang tahu dia ni pengotor. Satu hari dia kena histeria. lepas tu kita dengan bakat Detektif Conan pun mula merangka hipotesis kepada kes yang berlaku. Kita kata, haaa tulah, pengotor lagi patutlah 'benda' tu pi kat diaaa *muka penuh perasaan + suspen*

Takmo macam itu ya. Cukuplah menjadi peringatan buat diri kita dan doakanlah dia. Itu ujian buat dirinya, juga kita untuk bersangka baik padanya dan membantu setakat mana yang kita mampu.

Dan di asrama atau kolej biasanya memang ada terjadi kes-kes begini. Terutama bila menghampiri final exam. Mungkin juga sebab stress dan tekanan yang melampau. Sebab itu disarankan sangat pergilah ke surau. Jangan kedekut masa nak pulun sangat study sampai taknak peruntukkan sedikit pun masa untuk ke surau. Pergilah, di sana inshaaALLAH kita akan dapat ketenangan dan mudah-mudahan keberkatan dari ALLAH ta'ala.

Kalau dulu-dulu di Surau Mawar selalu diingatkan kepada hadirat yang hadir supaya terus hadir walaupun sibuk nak exam. Alhamdulillah sebenarnya masa yang ada untuk study tu cukup ja. Tak caya cuba buat. :)

Dan di sini saya nak kongsikan juga serba sedikit beberapa perapa yang kita boleh praktikkan sebagai usaha untuk melindungi diri daripada gangguan manusia, jin dan syaitan (dengan izin Allah):

1) Membaca ayat al-Kursi.

Lazimi membaca ayat ini setiap kali selepas solat, ketika hendak tidur dan ketika hendak keluar rumah. Bacalah bila-bila pun takde masalah. Ia adalah ayat Al-Quran jadi memag bagus lazimi lidah kita dengan kalamullah. InshaaALLAH sentiasa berada dalam peliharaan Allah.

2) Baca 3 Qul.

3) Baca (dan yakin ya, penting!) surah Al-Fatihah

4)Membaca dua ayat terakhir dari Surah Al-Baqarah

5) Selawat tafrijiyah

6) Menjaga kebersihan (buat wanita, darah2 dan kotoran seumpama janganlah di biar tak bercuci lama-lama ya)

7) Memohon perlindungan dari ALLAH.

8) Membaca

Tok aki selalu pesan supaya membacanya apabila keluar rumah


Dan ada banyak lagi sebenarnya yang boleh kita praktikkan. Paling penting, kita kena pupuk perasaan takut kita hanya pada ALLAH, tidak pada makhlukNYA terutama jin dan syaitan.

Semoga kita terhindar dari gangguan-gangguan sebegini dan jikalau ia menimpa diri kita, bersabarlah, mohon keampunan dan kesembuhan dariNYA serta berikhtiarlah dengan cara yang betul, hindari pawang, dukun, atau pengamal perubatan yang tidak mengikut syariat, menggunakan perantaraan jin untuk merawat. Kesembuhan itu ada pada ALLAH dan dia Yang Maha Menyembuhkan.

Hakikatnya, kejadian histeria di sekolah memberi kami seribu satu pengalaman dan pengajaran. Takutlah kita hanya kepada ALLAH, tiada yang dapat memberikan kita mudharat atau manfaat tanpa izin dariNYA.

Allahuakbar. 



Saturday, June 6, 2015

Monolog seorang atuk

Ketika saya berada di  Darjah Satu,
Saya dipesan oleh orang sekeliling untuk belajar pandai-pandai,
Kata mereka biar periksa hujung tahun saya dapat markah cemerlang,
supaya bila tiba hari anugerah kecemerlangan saya boleh naik pentas,
Supaya ibu ayah saya bangga dengan saya.

Setiap pagi ibu akan kejut saya,
laungnya "bangun!! bangun!! nanti lewat ke sekolah!!"
Saya pun bingkas bangun dan mandi.

Tapi ketika hari minggu,
saya dapat tidur lebih sedikit,
kadang-kadang sehingga jam 10, 11 pagi pun,
emak tidak kisah,
melainkan jika emak ingin mengajak ke sawah,
bergelumang dengan selut bendang. 

Jika tidak, emak tidak kisah pun saya tidur sampai pukul berapa.
Emak tidak kisah sangat jika saya tak bangun Subuh,
Mungkin sebab saya masih kecil.
Mungkin.

Kemudian bila saya naik ke darjah yang lebih tinggi,
Orang-orang sekeliling selalu pesan pada saya,
"belajar rajin-rajin, biar cemerlang dalam ujian!"
Jika bertemu dengan atuk, jiran-jiran dan saudara mara,
mereka akan pesan perkara yang sama.

Ibu dan ayah apatah lagi,
mereka rajin sekali menghantar saya belajar,
dan kadang-kadang saya penat sangat,
saya selalu tidur pada waktu tengah hari,
kadang-kadang, bahkan selalu juga
saya tidak solat zuhur.
Pada waktu malam pula,

Saya terlalu mengantuk dan penat untuk solat Isya',
Emak tidak cakap apa-apa,
tidak juga bertanya.
Sebelum tidur mereka cuma pesan,
"Belajar rajin-rajin, biar dapat cemerlang tau!"
Dan saya tidur dengan bermimpikan keputusan yang gemilang.

Akhirnya setelah berpenat lelah dan berhempas pulas,
saya berjaya mendapat apa yang diidamkan,
terpancar kebanggaan pada wajah ayah dan ibu,
Saudara mara dan rakan-rakan mengucapkan tahniah,
Nama saya dijulang sebagai budak pintar,
Saya bangga sekali.
keputusan PDL adalah kebahagiaan dan kebanggan saya!

Kemudian saya mendapat tempat di sekolah berasrama yang baik,
Apabila pulang ke kampung,
saudara mara, atuk nenek dan ibu ayah selalu berpesan,
"Belajar rajin-rajin, biar dapat cemerlang dalam SRP!"
Saya angguk-angguk dengan penuh keazaman.
Saya mesti cemerlang dalam SRP.

Ibu dan ayah belikan apa sahaja keperluan saya untuk belajar,
setiap kali mereka datang melawat,
saya akan diingatkan akan harapan tersebut,
Cemerlang dalam SRP!

Akhirnya saya mendapat keputusan yang baik,
ibu ayah tersenyum lebar,
dan saya meneruskan pelajaran di peringkat menengah atas.

Kali ini, apabila saya pulang ke kampung,
saudara mara, atuk nenek, dan ibu ayah selalu berpesan,
"Belajar rajin-rajin, biar dapat cemerlang dalam SPVM!"
Ibu ayah menambah skrip,
"Bagi kami bangga dengan kamu, SPVM mesti cemerlang!"

Akhirnya dalam SPVM saya menjadi pelajar yang cemerlang,
wajah saya ceria bersama pelajar-pelajar cemerlang yang lain,
Ibu dan ayah sungguh bangga dengan pencapian saya,
Kata mereka, tidak sia-sia segala pengorbanan selama ini,
matlamat hidup saya sudah tercapai.

Kemudian saya ke universiti pula,
Setiap kali menelefon ayah,
Ayah akan berpesan supaya saya belajar rajin-rajin,
Biar dapat keputusan yang baik,
Buat ibu dan ayah bangga.

Akhirnya pada hari graduasi,
saya benar-benar membuat mereka bangga,
semasa bergambar kenang-kenangan,
ibu dengan air mata yang berlinang,
berbisik pada telinga saya,
"Along sudah capai matlamat along, matlamat ibu dan ayah."
Saya tersenyum, membayangkan kerjaya yang baik menanti di hadapan.

Saya mendapat kerja yang baik,
dikelilingi rakan sekerja yang lain,
kami sering diingatkan untuk meningkatkan kualiti kerja kami,
bos selalu mengulang sebut,
"Kita menuju negara maju!"
Kerja..kerja..dan kerja!!
Biar prestasi kita melonjak naik.

Saya membina keluarga,
dengan dia yang saya cinta,
kami dikurniakan anak-anak,
dan saya mewariskan pesan yang sama.

Pada along, belajar rajin-rajin: biar dapat 4 rata, cemerlang macam papa dahulu,
Pada angah, belajar rajin-rajin; biar cemerlang macam papa dahulu,
Pada uda, belajar rajin-rajin; PMR mesti dapat 8A
Pada achik, belajar rajin-rajin, 5A mesti dalam genggaman.
Pada adik, belajar rajin-rajin, nanti hujung tahun papa nak tengok adik naik pentas.

Dan mereka cemerlang,
naik pentas dengan bergaya,
buat saya rasa bangga.

Kini mereka sudah besar,
saya sudah pencen.

Setiap hari saya akan berulang ke masjid,
Pada waktu ini,
tiada siapa lagi yang menyuruh saya untuk capai itu dan ini.

Hari-hari saya ke sini untuk kuliah zuhur,
kuliah maghrib dan kadangkala,
kuliah Duha.

Ustaz-ustaz suka benar menyebut-nyebut tentang amalan, mati, akhirat, kubur, syurga dan neraka.
Saya akan memilih tiang untuk duduk bersandar,
tetapi lama-lama kebiasaan itu saya tinggalkan,
saya memilih ke depan,
paling hampir dengan ustaz.

Hari-hari saya beriktikaf di surau,
Hari-hari saya dengar pesanan-pesanan,
Anehnya tiada satu pun pesanan-pesanan begini,
pernah diperdengarkan kepada saya ketika saya kecil,
ketika saya muda.

Hakikatnya pada saat dan tika ini,
Segala pesanan-pesanan inilah,
yang saya rasakan paling penting,
untuk menempuh hidup yang abadi.

Pada satu senja yang syahdu,
saya terkenang,
pesan saya pada anak-anak saya.

Sepatutnya saya menambah;

Along, jadilah hamba yang soleh,
Angah, pelihara aurat,
Uda, jadilah insan yang bermanfaat,
Achik, bacalah Al-Quran,
Adik, mari belajar solat, cuba solat dengan baik.

Saya merenung jauh.

Alangkah bagusnya jika,
peringatan-peringatan ini diberikan kepada anak-anak,
supaya mereka biasa hidup seperti 'orang tua',
yang sentiasa merasai mati itu sudah dekat,

Yang akhirnya tahu,
hakikat kehidupan itu terbatas,
akhirat itu sungguh luas.

Dan pada usia ini,
untuk memutar waktu pastilah mustahil,
tetapi untuk mengubah pesan-pesan dan nasihat saya pada anak cucu,
masih berkudrat untuk saya jalankan.

Selepas Isya',
saya bernekad,
nombor along saya dail,
Suara kecil menyambut panggilan,
"Atuk, atuk... atuk nak tahu tak, tadi kan Alisya dapat hadiah paling cemerlang tau... ramai kawan-kawan, cikgu pun semua puji Alisya."

Tekak yang terasa perit, 
saya gagahkan untuk mengeluarkan suara,

" Alhamdulillah, bagus cucu atuk,
 ermm. Alisya, ada belajar solat di sekolah? Alisya sudah pandai solat tak?"


Airmata mengalir perlahan.
Ya ALLAH, izinkan aku memperbetul keadaan! 



~pic's taken from noorizamsabran.com~

Thursday, June 4, 2015

Apakah kebebasan itu kita ertikan pada mendedahkan tubuh badan?

Bismillah.

Haritu saya terbaca satu petikan  mengenai wanita dan kebebasan. Saya terkeliru dengan satu kenyataan yang mengatakan bahawa perbuatan mendedahkan anggota badannya adalah satu manifestasi kebebasan, kita berhak memakai apa yang kita sukai. Orang tidak boleh sewenangnya menghalang.

Sedih, benar-benar sedih jika kita terfikir segala benda boleh kita benarkan atas  nama kebebasan.
Lantas saya tertanya-tanya lagi. Milik siapakah bumi yang sedang kita huni seenaknya ini?

Kadangkala terdetik bimbang akan segala gerakan 'pembebasan wanita', 'menegakkan hak wanita' dan yang seangkatan dengannya. Sejujurnya sebagai wanita, seorang muslimah saya mengakui bahawa di dalam Islam kedudukan wanita telahpun digariskan dengan baik sekali. :)

Tiada isu ketidaksamaan taraf.
Bahkan wanita itu perlu diperlakukan dengan baik dan dipelihara dari kejahatan dan segala syariat yang telah ditimbulkan juga adalah bertujuan untuk kebaikan.

Hanya orang-orang tertentu yang menyatakan Islam mengongkong wanita, lantas mempromosi perbuatan-perbuatan yang jelas bertentangan dengan syariat atas nama Membebaskan Wanita.
Asas perbuatan ini cukup mengarut, yang tidak bebas bukanlah apabila wanita mematuhi syariat, tetapi yang tidak bebas ialah apabila wanita tidak memandang syariat sebagai peraturan hidup yang menyediakan jalan yang cukup indah untuk menjalani kehidupan dengan baik, tenang dan selamat.

Perkara berkaitan 'perjuangan' pembebasan wanita ini telah lama difikirkan. Semakin lama, dilihat semakin ramai wanita berani tampil menyuarakan persoalan dan kemahuan ini. Ia menimbulkan hairan. Hendak bebas apa lagi?

Lainlah jika perjuangan itu solidariti menentang kezaliman terhadap wanita, atau hamba-hamba yang diperlakukan dengan zalim seperti di Mauritania, ataupun untuk membela nasib ibu-ibu tunggal atau para isteri yang dinafikan hak nafkahnya oleh suami, itu soal yang lain.
 Itu soal menentang kezaliman terhadap manusia, terhadap wanita.

Tetapi jika datangnya 'perjuangan' yang berakar dari kefahaman hak-hak wanita perlu ditegakkan dari aspek yang tidak wajar, keliru juga jadinya.

Tidak cukupkah Al-Quran dan sunnah menjadikan kita cukup bebas sebagai seorang insan?

Saya harap kita tidak akan terpengaruh dengan fahaman-fahaman sebegini.

Menang dan disanjung dalam mempertahankan perkara yang salah adalah jauh lebih memalukan jika tidak terpandang oleh manusia dalam usaha mempertahankan hidup berlandas syariat.

Wanita sekalian, jiwa kita akan bebas sebebasnya dengan memperbanyak menuntut ilmu yang membawa kita dekat dengan amal soleh, memandu kita hampir kepada ALLAH.

Kita sebenarnya sudah bebas tanpa perlu mendedahkan walau seinci pun kulit badan kita.

Kerana kebebasan itu sebenarnya bermula dari hati dan minda yang murni,


 Jika kebebasan itu pada mendedahkan tubuh badan, masakan Felixia Yeap lebih memilih untuk berhijab dan bahagia sekarang.

Semoga kita sentiasa dikurniakan hidayah, tetap atas landasan kebenaran. 


Kita akan terpenjara jika tunduk  hawa nafsu dan syaitan. (google pic)

Sunday, May 31, 2015

Kuala Lumpur International Hijab Fair 2015: Auratku

Bismillah.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah hujung minggu haritu, saya ke KLIHF yang diadakan di PWTC. Kalau ikutkan, saya bukan jenis rajin sangat pergi event-event macam ni. hehe. Tapi sebab ada slot di booth Raudhah  tv9,maka hari Sabtu haritu bertolaklah saya dari Melaka dan sampai di PWTC hampir jam 4 petang. Banyak sungguh kereta parking di bahu jalan. Akhirnya saya parking di bangunan Putra yang berhadapan dengan bangunan pwtc, dan bergegas ke Hall 3, lokasi booth Raudhah dan segala macam booth jualan. Mak aih, masuk-masuk aja berpinar-pinar mata disambut dengan macam-macam jenis baju.

KLIHF 2015


Tapi disebabkan saya sudah insaf dan bernekad untuk tidak begitu berbelanja dengan banyak dan membazir macam zaman sekolah dan asasi dulu-dulu, jadi selamatttt.

Slot yang sepatutnya bermula jam 4, dianjak ke jam 5. Saya suka sangat ianya dianjak sebab memberi laluan untuk solat Asar. Macam nilah baru bagus. Watu solat dijaga dengan baik. Seandainya event-event lain juga aplikasi perkara yang sama mesti best! :D

Jadi pukul 5 tu, kita pun mulakanlah kongsi sedikit-sedikit tentang 'Kunci Bahagia'. Gitu.
Tajuk haruslah catchy. Sebenarnya buntu juga, apalah tajuk yang nak diberikan padahal saya nak cakap tentang solat dan Al-Qurah.

Esoknya pula, slot bermula jam 11 pagi. Disebabkan parking selalunya penuh dan sesak pula tu, saya naik KTM sahaja dari Shah Alam ke PWTC. Berhenti di KTM Hentian Putra. Dan sebab saya dah terlajak masa sedikit, saya pun nekad untuk tidak menggunakan jejantas, berlari-lari melintas jalan tanpa menghiraukan sesiapa lagi!

Akhirnya jam 11.15 saya selamat masuk ke dalam dewan dengan termengah-mengah. Bilalah saya ni nak mula belajar merancang perjalanan. Selalu terkejar-kejar! T_T

Booth linnisa' (gambar dipinjam dari fb da'i hadhari)


Dan apabila sampai sahaja ke dalam dewan, slot terus dimulakan. Orang sudah mula ramai membanjiri booth-booth jualan. Sambil-sambil menyampaikan perkongsian, mata sempat lagi menjeling-jeling booth-booth yang berada di sekeliling. Banyak sale dan ada pakaian yang semalam harganya rm190, harini dah turun jadi RM99. Wah, peluang ini tidak harus dilepaskan!

Tapi bukankah saya sudah tak mahu lagi beli banyak baju?

Jadi hasrat tersebut saya simpan sahaja di dalam hati. Dan teruskan bagi ceramah dengan bahagia. Tapi lepas habis, sebenarnya saya cepat-cepat meluru ke booth terbabit dan beli baju tu. Tsk... Tapi mesti saya guna, cuma mungkin sekali-sekala sahaja sebab bukan 'jenis' saya sangat. Bila saya jalan-jalan melihat booth-booth yang lain, Alhamdulillah saya tengok banyak rekaan baju yang longgar-longgar dan labuh. Serta banyak juga yang sebaliknya.

Jadi dalam penyampaian, ada diselitkan juga sedikit panduan mengenai ciri-ciri pakaian yang seharusnya seorang wanita Islam titik beratkan. Yelah, dalam perkembangan 'fesyen muslimah' sekarang ini, banyak rekaan-rekaan pakaian yang disandarkan atas nama 'pakaian muslimah'. Namun adakah ianya benar-benar sesuai untuk dikenakan oleh kita?

Nama dan label sahaja belum cukup untuk membenarkan kita mengenakan pakaian tersebut ketika berada di luar rumah. Jadi, kalau kita sendiri tahu senanglah kita nak bezakan, kan?

Saya nak kongsikan sedikit sebanyak tentang ciri-ciri pakaian muslimah yang banyak sekali saya rujuk dari buku kecil dan ringkas oleh Al-Fadhil Ustaz Hj. Aminuddin.

Jom kita ambil tahu kalau benar-benar ingin bergaya dengan busana muslimah. :D


1)  Pakaian mestilah menutup seluruh aurat
     - Menurut kebanyakan ulama', aurat perempuan adalah seluruh badan, kecuali muka dan kedua tangan     (sehingga pergelangan tangan).

2) Pakaian mestilah tidak terlalu nipis/ jarang sehingga menampakkan warna kulit dan rambut. 

Takut sungguh yang ini. Sebab sekarang kan, banyak material kain yang lembut dan nipis. Jadi kita kena hati-hati dalam pemilihan. Sebolehnya, elakkan kain yang nipis. Walaupun pakai inner di dalam, bentuknya tetap kelihatan sebab inner masih melekap di badan.

Begitu juga dengan tudung yang kita pakai. Ada yang materialnya terlalu nipis sehingga menampakkan leher dan rambut jika memakai skaf atau anak tudung separuh. Sebaiknya, jika ingin memakai tudung cuba tengok dulu atau tanya kawan sama ada nampak atau tidak leher kita. Terutama di bawah terik matahari.

Kalau nak pakai juga, mungkin boleh lapikkan dengan tudung lain di dalam. Leceh?
Kalau leceh carilah yang kain tebal. Kan senang? :)

3) Pakaian tersebut mestilah longgar iaitu tidak terlalu ketat. 

Haaa yang ini pun perlu kita perhatikan lebih sedikit ya. Sebab adakalanya pakaian kita tu fabrik nya sudah tebal, tetapi aduhhh ketatlah pula. Jadi lebih baik kita cuba untuk kenakan dahulu dan lihat kesesuaian dengan saiz badan kita.

Kalau ada sesetengah anggota badan yang agak menyerlah, maka lebih baik kita longgarkan lebih sedikit. Tidaklah sampai menggelebeh, tetapi biarlah bila kita berjalan atau bergerak pun,bentuknya tidak terlalu kelihatan.

Begitu juga jika mengenakan pakaian dari kain lycra, kalau boleh kita elakkan untuk pakai dari jenis lycra yang memang sangat nipis itu. Harganya memang murah-dan tersangat murah kadang-kadang. Namun sangatlah melekap pada badan. Wah, segannya rasa!
Selain itu, potongan baju lycra juga memainkan peranan penting. Pandai-pandailah kita pilih atau jahit baju supaya potongannya kembang dan sesuai dengan kita.

Selain tu, ada juga jeans yang memang sangat ketat dan melekap di kaki kita. Bukan legging, tetapi jeans. Kalau cik adik dan cik kak sekalian ada seluar jenis ini, mari kita renungkan balik. Sebenanrnya adakah jeans tersebut menampakkan bentuk kaki kita secara jelas atau tidak? Jika ya, maka pakai di rumah sahajalah ya. :) Segan tau pakai ketat-ketat ni sebab seharusnya tubuh badan wanita yang indah ini dilindungi dari pandangan-pandangan lelaki ajnabi.

Perkasakan malumu duhai muslimah. Selepas ini, no more ketat-ketat ya. Lagi longgar, lagi selesa. Pengudaraan pun lebih baik. haha.

4) Pakaian tersebut bukan pakaian untuk menonjolkan kemasyhuran dan menarik perhatian, membangkitkan rasa sombong dan takbur.

Huisshh, terasa sungguh yang ini. Yelah, kadang-kadang kita melaram pun memang untuk tunjuk pakaian kita. Kadang-kadang bila hadiri apa-apa majlis, makan malam dan sebagainya barangkali terselit juga sedikit-sedikit nak tunjuk pakaian kita yang merelip relap tu kan.

Kadang-kadang bila pergi kenduri, nak juga kita ber'jangok' lebih sedikit. Almaklum, sesuai dengan standard kita sebagai orang itu dan orang ini. Tapi rupa-rupanya perasaan begitu sangatlah perlu kita tangkis bila mengenakan pakaian.

Marilah kita berbalik kepada niat asal berpakaian. Memelihara aurat sebagai memenuhi tuntutan sebagai seorang muslimah. Kalau tiba-tiba menjelma sahaja perasaan tersebut ketika kita memilih baju, mengenakan baju  maka beristighfarlah dan mohonlah perlindungan dariNYA.

Biarlah apa yang kita pakai bukan untuk tunjuk pada orang, apatah lagi berbangga-bangga dengannya. Siapa pun kita, akhirnya nanti akan dipakaikan dengan kafan putih juga. Tiada ruang untuk menunjuk-nunjuk lagi.

5) Pakaian mestilah tidak menyerupai pakaian khusus bagi lelaki.

Pakailah seperti mana yang biasanya dipakai oleh wanita setempat. Jangan bila kita pakai pakaian itu, orang yang memandang pun keliru  kita ini lelaki ke perempuan? Dan lebih sedih jika mereka memanggil kita 'abang'|. Oh, sedih kan.


6) Pakaian tidak menyerupai pakaian perempuan kafir. 

Untuk yang ini, kita perlu lebih teliti dalam membuat pemilihan. Jangan asal cantik dan kena di mata kita, terus kita sambar. Lihat dan teliti dahulu. Tidak semua fesyen terbaru itu murni dan sesuai untuk kita. Jadilah muslimah bijaksana yang bijak membuat pertimbangan dn memilih apa yang baik dan tidak buat dirinya.


Ini adalah antara syarat-syarat yang ingin dikongsikan.

Semoga kita semua dapat berusaha memilih pakaian yang sesuai untuk dikenakan. Biarlah bila kita pilih sesuatu itu, kita membuat pilihan berdasarkan syariat, bukan kehendak kita semata-mata.

Sekali-sekala, buatlah 'ops almari' untuk lihat balik ke dalam wardrobe kita, mana baju yang sesuai dipakai di luar rumah dan yang mana lebih sesuai dikenakan di dalam rumah, di hadapan suami dan mahram sahaja.

Nak ubah barangkali agak sukar, terutama jika kita sudah biasa mengenakan pakaian-pakaian yang masih belum menepati syarat-syarat yang telah dinbentangkan di atas ini. Namun yakin dan percayalah, jika kita berniat untuk lakukan keranaNYA, pasti ada jalan dan kemudahan!

Jom kita memaknakan HIJAB yang telah disyariatkan buat wanita-wanita yang beriman.
Ia bukan lambang penyekatan dan diskriminasi,
Tetapi ianya adalah satu betuk pemeliharaan dan penghormatan.

Terpulang sahaja, bagaimana kita memaknakannya.

Tiada lagi yang ketat, jarang, nipis, melekap, berbangga-bangga untuk kita pakai di luar rumah.
Moga dengan memilih pakaian yang baik, kita dapat terus guna pakaian tersebut untuk solat tanpa mengenakan telekung.

Simple dan mudah sangat. Semoga berjaya! :)