Saturday, June 6, 2015

Monolog seorang atuk

Ketika saya berada di  Darjah Satu,
Saya dipesan oleh orang sekeliling untuk belajar pandai-pandai,
Kata mereka biar periksa hujung tahun saya dapat markah cemerlang,
supaya bila tiba hari anugerah kecemerlangan saya boleh naik pentas,
Supaya ibu ayah saya bangga dengan saya.

Setiap pagi ibu akan kejut saya,
laungnya "bangun!! bangun!! nanti lewat ke sekolah!!"
Saya pun bingkas bangun dan mandi.

Tapi ketika hari minggu,
saya dapat tidur lebih sedikit,
kadang-kadang sehingga jam 10, 11 pagi pun,
emak tidak kisah,
melainkan jika emak ingin mengajak ke sawah,
bergelumang dengan selut bendang. 

Jika tidak, emak tidak kisah pun saya tidur sampai pukul berapa.
Emak tidak kisah sangat jika saya tak bangun Subuh,
Mungkin sebab saya masih kecil.
Mungkin.

Kemudian bila saya naik ke darjah yang lebih tinggi,
Orang-orang sekeliling selalu pesan pada saya,
"belajar rajin-rajin, biar cemerlang dalam ujian!"
Jika bertemu dengan atuk, jiran-jiran dan saudara mara,
mereka akan pesan perkara yang sama.

Ibu dan ayah apatah lagi,
mereka rajin sekali menghantar saya belajar,
dan kadang-kadang saya penat sangat,
saya selalu tidur pada waktu tengah hari,
kadang-kadang, bahkan selalu juga
saya tidak solat zuhur.
Pada waktu malam pula,

Saya terlalu mengantuk dan penat untuk solat Isya',
Emak tidak cakap apa-apa,
tidak juga bertanya.
Sebelum tidur mereka cuma pesan,
"Belajar rajin-rajin, biar dapat cemerlang tau!"
Dan saya tidur dengan bermimpikan keputusan yang gemilang.

Akhirnya setelah berpenat lelah dan berhempas pulas,
saya berjaya mendapat apa yang diidamkan,
terpancar kebanggaan pada wajah ayah dan ibu,
Saudara mara dan rakan-rakan mengucapkan tahniah,
Nama saya dijulang sebagai budak pintar,
Saya bangga sekali.
keputusan PDL adalah kebahagiaan dan kebanggan saya!

Kemudian saya mendapat tempat di sekolah berasrama yang baik,
Apabila pulang ke kampung,
saudara mara, atuk nenek dan ibu ayah selalu berpesan,
"Belajar rajin-rajin, biar dapat cemerlang dalam SRP!"
Saya angguk-angguk dengan penuh keazaman.
Saya mesti cemerlang dalam SRP.

Ibu dan ayah belikan apa sahaja keperluan saya untuk belajar,
setiap kali mereka datang melawat,
saya akan diingatkan akan harapan tersebut,
Cemerlang dalam SRP!

Akhirnya saya mendapat keputusan yang baik,
ibu ayah tersenyum lebar,
dan saya meneruskan pelajaran di peringkat menengah atas.

Kali ini, apabila saya pulang ke kampung,
saudara mara, atuk nenek, dan ibu ayah selalu berpesan,
"Belajar rajin-rajin, biar dapat cemerlang dalam SPVM!"
Ibu ayah menambah skrip,
"Bagi kami bangga dengan kamu, SPVM mesti cemerlang!"

Akhirnya dalam SPVM saya menjadi pelajar yang cemerlang,
wajah saya ceria bersama pelajar-pelajar cemerlang yang lain,
Ibu dan ayah sungguh bangga dengan pencapian saya,
Kata mereka, tidak sia-sia segala pengorbanan selama ini,
matlamat hidup saya sudah tercapai.

Kemudian saya ke universiti pula,
Setiap kali menelefon ayah,
Ayah akan berpesan supaya saya belajar rajin-rajin,
Biar dapat keputusan yang baik,
Buat ibu dan ayah bangga.

Akhirnya pada hari graduasi,
saya benar-benar membuat mereka bangga,
semasa bergambar kenang-kenangan,
ibu dengan air mata yang berlinang,
berbisik pada telinga saya,
"Along sudah capai matlamat along, matlamat ibu dan ayah."
Saya tersenyum, membayangkan kerjaya yang baik menanti di hadapan.

Saya mendapat kerja yang baik,
dikelilingi rakan sekerja yang lain,
kami sering diingatkan untuk meningkatkan kualiti kerja kami,
bos selalu mengulang sebut,
"Kita menuju negara maju!"
Kerja..kerja..dan kerja!!
Biar prestasi kita melonjak naik.

Saya membina keluarga,
dengan dia yang saya cinta,
kami dikurniakan anak-anak,
dan saya mewariskan pesan yang sama.

Pada along, belajar rajin-rajin: biar dapat 4 rata, cemerlang macam papa dahulu,
Pada angah, belajar rajin-rajin; biar cemerlang macam papa dahulu,
Pada uda, belajar rajin-rajin; PMR mesti dapat 8A
Pada achik, belajar rajin-rajin, 5A mesti dalam genggaman.
Pada adik, belajar rajin-rajin, nanti hujung tahun papa nak tengok adik naik pentas.

Dan mereka cemerlang,
naik pentas dengan bergaya,
buat saya rasa bangga.

Kini mereka sudah besar,
saya sudah pencen.

Setiap hari saya akan berulang ke masjid,
Pada waktu ini,
tiada siapa lagi yang menyuruh saya untuk capai itu dan ini.

Hari-hari saya ke sini untuk kuliah zuhur,
kuliah maghrib dan kadangkala,
kuliah Duha.

Ustaz-ustaz suka benar menyebut-nyebut tentang amalan, mati, akhirat, kubur, syurga dan neraka.
Saya akan memilih tiang untuk duduk bersandar,
tetapi lama-lama kebiasaan itu saya tinggalkan,
saya memilih ke depan,
paling hampir dengan ustaz.

Hari-hari saya beriktikaf di surau,
Hari-hari saya dengar pesanan-pesanan,
Anehnya tiada satu pun pesanan-pesanan begini,
pernah diperdengarkan kepada saya ketika saya kecil,
ketika saya muda.

Hakikatnya pada saat dan tika ini,
Segala pesanan-pesanan inilah,
yang saya rasakan paling penting,
untuk menempuh hidup yang abadi.

Pada satu senja yang syahdu,
saya terkenang,
pesan saya pada anak-anak saya.

Sepatutnya saya menambah;

Along, jadilah hamba yang soleh,
Angah, pelihara aurat,
Uda, jadilah insan yang bermanfaat,
Achik, bacalah Al-Quran,
Adik, mari belajar solat, cuba solat dengan baik.

Saya merenung jauh.

Alangkah bagusnya jika,
peringatan-peringatan ini diberikan kepada anak-anak,
supaya mereka biasa hidup seperti 'orang tua',
yang sentiasa merasai mati itu sudah dekat,

Yang akhirnya tahu,
hakikat kehidupan itu terbatas,
akhirat itu sungguh luas.

Dan pada usia ini,
untuk memutar waktu pastilah mustahil,
tetapi untuk mengubah pesan-pesan dan nasihat saya pada anak cucu,
masih berkudrat untuk saya jalankan.

Selepas Isya',
saya bernekad,
nombor along saya dail,
Suara kecil menyambut panggilan,
"Atuk, atuk... atuk nak tahu tak, tadi kan Alisya dapat hadiah paling cemerlang tau... ramai kawan-kawan, cikgu pun semua puji Alisya."

Tekak yang terasa perit, 
saya gagahkan untuk mengeluarkan suara,

" Alhamdulillah, bagus cucu atuk,
 ermm. Alisya, ada belajar solat di sekolah? Alisya sudah pandai solat tak?"


Airmata mengalir perlahan.
Ya ALLAH, izinkan aku memperbetul keadaan! 



~pic's taken from noorizamsabran.com~

No comments:

Post a Comment