Tuesday, October 27, 2015

Pernahkah kita benar-benar kesunyian?



Pagi itu saya dan rakan-rakan dikejutkan dengan satu berita sedih. Ibu sahabat kami yang telah bertahun-tahun berjuang dengan penyakit kanser akhirnya dijemput menghadap Ilahi. Ketabahan ibunya sering dikagumi. Terus-terusan berikhtiar untuk sembuh tanpa putus asa. Wajahnya putih bersih saat menghembuskan nafas terakhir. 

“Innalillah wa inna ilaihi raajiun. Mari kita pergi melawat keluarganya. Jam 11 kita bertolak ke Melaka.”

Kami merancang demikian. 

Harapannya agar kami sempat bersama-sama menunaikan solat sunat jenazah dan menyaksikan majlis pengebumian arwah. Lebih penting, hati kami meronta ingin bertemu dan memeluk sahabat yang sedang bersedih. Menjelang tengah hari kami sudah pun sampai ke Kampong Kandang. 

Rupanya rumah nenek rakan yang juga merupakan ibu arwah sangat berdekatan dengan tanah perkuburan. Syukur, kami sempat menunaikan solat jenazah sebagai hadiah terakhir buat ibu kepada sahabat yang dicintai. Selanjutnya kami turut serta melangkah ke tanah perkuburan, menyaksikan saat-saat akhir sebelum jasad dikebumikan dan berpisah selamanya dengan ahli keluarga di atas dunia. 

Tatkala mayat dikebumikan, saya berada beberapa meter dari liang lahad. Mata menyoroti satu persatu wajah ahli keluarga allahyarhamah. Mereka kelihatan tenang, redha akan pemergian satu-satunya isteri, ibu dan anak yang dikasihi. Sambil menunggu urusan pengebumian selesai, saya melihat di sekitar kawasan tanah perkuburan tersebut. Baru saya sedar, sudah terlalu lama diri ini tidak menjejaki kubur. Seringkali hanya memandu sahaja melepasi tanah perkuburan sambil mengucap salam buat arwah. 

Tanah perkuburan tersebut masih lagi dilitupi banyak pepohon hijau menjadikan kawasan tersebut sangat redup, seredup perasaan kami tika itu. Kami berteduh bawah naungan redup pepohon sambil hati tidak berhenti melantunkan doa dan pengharapan supaya rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan mendapat keampunan serta rahmat ALLAH. Perlahan-lahan hati menginsafi betapa sunyinya hidup di alam barzakh. Sentiasa sendiri tanpa berteman. 

Mata melihat-lihat  lagi di sekitar tanah perkuburan. Masih banyak ruangan yang kosong. Batu nisan yang terpacak atas kuburan lain terdapat dalam pelbagai rupa dan bentuk. Ada yang menggunakan batu sungai, ada yang ditmpah khas beserta tulisan khat yang cantik dan ada juga yang sudah begitu lusuh diiselaputi debu-debu tanah. Hakikatnya, bagaimana rupa bentuk batu nisan dan hiasan kubur (jika ada yang melakukannya) tidaklah mempengaruhi bagaimana keadaan roh kita di alam kubur. Hati digigit oleh perasaan pilu dan sebak, membayangkan bagaimana agaknya diri akan bersendirian. Saat berada di alam barzakh tiada siapa  yang akan menemani. Ibu yang merupakan teman paling rapat buat seorang anak juga tidak dapat bersama menenangkan anaknya jika ketakutan di alam tersebut. Rakan taulan yang biasanya menemani dan setia saat susah dan senang juga tidak akan ikut bersama.

Saat itulah, diri terkenang betapa pentingnya untuk kita sentiasa sedar dan meningkatkan amalan yang boleh membantu ketika berada di alam kubur. Tiada manusia yang dapat menentukannya, melainkan ALLAH semata-mata. Kerana kasih dan rahmatNYA, Dia memberikan panduan buat hambaNYA untuk diusahakan di atas dunia. 

Al-Quran akan menjadi rakan  di dalam kubur buat yang akrab dengannya di atas dunia.  
Solat sunat akan membuatkan ruangan kubur bercahaya buat yang selalu mengerjakannya ketika jasad masih bernyawa.
Amal soleh yang dikerjakan ketika hidup akan menjadi penentu kepada lancar gagap roh menjawab soalan munkar dan nakir. 

Allahuakbar. 

Jiwa berasa sangat gusar dan takut apabila terkenang bagaimana nanti diri ini yang akan ditinggalkan sendiri di dalam tanah. Jika tidak diusahakan amal di atas dunia alangkah ruginya kita. Tika itu tiada lagi amal soleh yang boleh diusahakan. Tempoh bekerja telah tamat, tinggal menuai hasilnya sahaja. 

Bacaan talkin dari ustaz sangat menggegarkan jiwa. Benarlah, ia peringatan buat yang hidup. Telinga menangkap esak tangis saat ayat demi ayat dibacakan. Nyata ramai yang berkongsi rasa yang sama. Benarlah hadir ke kuburan itu sangat mengingatkan anak adam akan detik kematian yang hampir, mendekatkan jiwa dengan akhirat dan mengalirkan keinsafan dalam jiwa yang kontang terbuai oleh dunia. 

“Ya ALLAH, kuatkanlah kami untuk beramal selagi nafas masih ada. Kasihanilah kami Ya Allah, janganlah kami terpesona dengan dunia yang sementara sehingga mengabaikan akhirat yang abadi selamanya.Kami mohon agar diluaskan rahmatMU ke atas kami. Ampunilah segala dosa-dosa kami ya ALLAH.”

Tatkala kaki melangkah keluar dari tanah perkuburan, mata kami masing-masing berkaca. Tidak hanya kerana berkongsi kesedihan rakan yang telah kehilangan ibunya, tetapi lebih-lebih menginsafi bagaimana kehidupan sendiri nanti di alam yang sunyi terpisah dengan dunia. 
Saat roh kita terpisah dari jasad, ada yang bergembira, ada yang bersedih. Biarlah orang lain bersedih sedang kita gembira-

gembira untuk bertemu dengan ALLAH, yang menjadi sumber ketaatan kita ketika hidup di dunia.
Kurniakanlah kami petunjukMU Ya ALLAH. 


"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." 

(Ali Imran : 185)


Renungilah pula ayat ini. Perhatikan bagaimana setiap tindak tanduk dan amalan akhirnya dipaparkan kembali serta dibalas dengan setimpal.


 Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan (serta membalasnya) ."

(Al-Jumu'ah: 8) 





~deviantart~






Al-Fatihah buat ibu sahabat saya. Seorang isteri, anak dan ibu yang sangat dikasihi ramai. Moga tenanglah rohnya di sana. Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment