Friday, August 30, 2013

Pilihan dalam hidup

Bismillah. Assalamualaikum.

Post ini terlalu random. Ia tiada topik khas.


Dalam hidup, kita akan begitu banyak membuat pilihan.

Adakalanya, ia mudah. Namun seringkali sukar dan meresahkan.

Penawar yang terbaik adalah dengan berserah kepada ALLAH, melakukan segala-galanya hanya kerana ALLAH, serta bertawakkal sepenuh hati setelah segala usaha dikerahkan mengikut kadar kudrat yang terbatas.

Sesungguhnya apabila kita melepaskan sesuatu yang terasa dekat di hati itu pergi kerana memikirkan lebih banyak perkara yang perlu diberi perhatian buat masa ini, diri pasti terkesan.

Namun ALLAH itu sentiasa mendengar. Lepaskanlah ia pergi buat sementara waktu. Jika ia adalah yang terbaik pasti ALLAH mengembalikannya dalam keadaan yang lebih baik lagi.

Jika ia bukan yang terbaik, maka pasti ALLAH akan datangkan yang lebih sesuai.

Ia sangat subjektif serta penuh teka-teki.

Itulah kehidupan.

Persoalan masa hadapan yang tidak jelas dalam pengetahuan manusia yang terbatas ini, menjadikan kita hamba yang benar-benar meletakkan seluruh jiwa raga di tangan ALLAH.


Teka teki seiring denyut nadi.

Terkadang menghumban diri ke dalam dilema tidak bertepi. 

 ALLAH Maha Mengetahui.


Saturday, August 24, 2013

Masih sendiri.

 ~tq to google~








Bismillah. Assalamualaikum.


Semakin kita dewasa, begitu banyak perkara yang perlu ditempuh sendiri.

Adakalanya ia menguji. Adakalanya rasa tidak mampu. Adakalanya rasa begitu sayu, sepi, terasing.

Bila kita bersendirian. Ia nyata memberi kesan terhadap jiwa.

Allahuakbar.

Saya juga pernah begitu. Sejak sekolah, saya selalu perlu pergi ke mana-mana sendiri. Ia adalah pilihan yang dibuat sendiri tanpa paksaan, semata-mata untuk mengejar kecemerlangan prestasi peringkat sekolah.

Saya pernah ke satu majlis penerimaan anugerah di KL. Tanpa guru pengiring mahupun pelajar lain dari sekolah sendiri. Saya bersendirian!

Saya perlu menaiki satu bas yang sama dengan pasukan bola sepak (sekolah negeri) yang kesemuanya lelaki.

Dan guru pengiring sekolah tersebut juga adalah lelaki. Aduh, sudah pasti pemandu bas juga merupakan seorang lelaki.

Ya ALLAH, perjalanan dari Pahang-KL ketika itu dirasakan cukup lama dan mendebarkan.

Namun itu adalah pilihan sendiri. Hati berasa sedikit sedih, tetapi tiada yang harus dipersalahkan.

Semakin menginjak dewasa, makin banyak pula pilihan yang perlu dibuat. Dan banyak ketika, pilihan2 itu menuntut saya bersendirian. Merata-rata.

Allahuakbar, ia adalah pilihan sendiri, namun masih terselit kesedihan yang berbaki. Kerana adakalanya jauh di sudut hati tidak mahu namun keadaan serta kewajipan memaksa.

Lama-kelamaan hati mula meningkah. Mengapa aku perlu selalu bersendirian? Mengapa perlu bersusah-payah begini? Mengapa tidak boleh sentiasa seperti orang lain?

Mengapa tidak sahaja melepaskan segala2 dan bersama menjadi arus yang melalui jeram.

Mengapa perlu bersusah payah menjadi setitik air embun yang sering berada di hening pagi dalam sunyi sepi?

Tambahan pula, dalam satu tahap kehidupan saya menyertai Rancangan Da'i.

Allah.. Lebih banyak keadaan menuntut untuk sendiri. Terlalu banyak. Hati sering meningkah dan menangis.

Cabarannya besar. Tidak hanya apa yang dipaparkan, bahkan ia lebih daripada itu. Biarlah hanya ALLAH mengetahui.

Satu saat pada minggu2 akhir yang sangat menghampiri final, saya menelefon kak long.

" I can't stand it anymore. I wanna quit!"

Allahuakbar.

Hati begitu lemah ketika itu. Segalanya dirasakan serba tak kena. Dunia berpusing-pusing.

" Sikit je lagi. Cuba hang ingat balik matlamat untuk dakwah..."

Jawapan kak long sangat pendek dan bersahaja.

Saya meletakkan telefon.

Ya, jawapan kak long benar. Namun bukan itu yang saya mahukan!

Hati semakin kucar-kacir. Jiwa terasa lemah.

Saya masuk ke bilik penginapan. Menatap keseluruhan bilik yang sunyi sepi. Otak sedang berfikir-fikir lagi tentang tugasan final yang saya rasakan sangat  mencabar serta beberapa perkara lain yang sering menjadi pertarungan sengit dalam jiwa.  Saya harus menempuh segalanya.

ALLAH ya ALLAH, saya sendiri lagi!

Malam itu saya tidak lena tidur. Mata tidak mahu terpejam.

Lantas saya bangun menghamparkan sejadah. Saya memerlukan 'seseorang' yang memahami untuk mengadu segala-galanya yang saya alami. 

Akhirnya, air mata yang sering ditahan-tahan selama itu mencurah-curah.

Rasa hati yang dipendam langsung diluahkan seluruhnya kepadaNYA.

Subhanallah. Hati terasa sangat tenang.

Astaghfirullah, rupanya sudah lama tidak mengadu pada ALLAH.
Sudah lama 'perasan' bahawa diri ini cekal tanpa memerlukan sesiapa. Sudah lama rupanya tidak benar2 meletakkan pergantungan seluruhnya pada ALLAH.Sudah lama tidak bermunajat dan bercerita segala suka duka kepada ALLAH.

Saat itu saya mengerti bahawa ALLAH memberikan kita ruang untuk menghadapi beberapa perkara sendiri supaya kita benar-benar merasai keberadaanNYA di dalam hati.

Meletakkan seluruh pergantungan hanya padaNYA dan tidak kepada makhluk.

Rupa-rupanya ALLAH memberi kenikmatan bersendiri untuk kita selalu berkomunikasi hanya denganNYA. Mengadu segala permasalahan hanya padaNYA. Kesusahan, kesedihan, kebimbangan, kegembiraan, kesyukuran segalanya dikembalikan kepada ALLAH dengan jiwa penuh kehambaan.

ALLAH, rupanya situasi bersendirian yang ALLAH takdirkan sebelum ini juga adalah latihan untuk hamba ini menghadapi apa yang akan berlaku di hadapan. Nyata, sekarang lebih kerap perlu menghadapi pelbagai perkara sendiri. Benarlah, ALLAH Maha Mengetahui sedang kita tidak tahu. ALLAH menyediakan ujian-ujian yang lalu sebagai satu latihan untuk mengukir jiwa supaya cekal apabila menghadapi perkara yang mendatang.

Sekarang, lebih kerap perlu bersendiri menghadapi pelbagai situasi. Namun Alhamdulillah, bersendiri itu tidak lagi menyedihkan, kerana formulanya sudah ditemui.

Bersendirian memberi banyak ruang memuhasabah diri, merenung kekuasaan ALLAH, berdoa sebanyak-banyaknya, menghindarkan percakapan serta perbualan yang sia-sia serta menjadikan buku teman yang terbaik.

Subhanallah, rupanya dalam bersendirian itu ada kenikmatan, jika kita benar-benar mengimani serta menghayati yang ALLAH sentiasa ada di sisi.


" Dan apabila hambaKU bertanya kepadamu mengenai KU maka sesunggunya AKU (ALLAH) sentiasa hampir kepada mereka...."                                                                                         (Al-baqarah: 186)




p/s: Saya menulis artikel ini ketika duduk bersendirian. Sudah hampir dua hari tanpa ada yang menemani. Alhamdulillah, ia tidak lagi menjadi satu perkara yang menyedihkan.

Allah ya Allah kita tidak akan pernah sunyi sebenarnya, kerana terlalu banyak perkara yang boleh dilakukan.

Semoga kita sentiasa diberi hidayah serta petunjuk dari ALLAH. 



Monday, August 19, 2013

Mahar atau wang hantaran; Mengapa ia perlu mahal?

Bismillah. Assalamualaikum.


Disebabkan perihal hantaran kahwin yang tinggi tiba2 menjadi isu yang hangat diperkatakan ketika ini, saya pun turut 'terjebak' dalam memikirkannya.

Apatah lagi sebagai pelajar yang berada di universiti, kawan-kawan pastilah ramai menyebut-nyebut masalah yang dihadapi untuk berkahwin. TAKDAK DUIT DIK NON OIII.

Baiklah, tadi setelah 'asar saya duduk termenung di surau mawar. Ketika itu, hati tergerak untuk memikirkan perkara ini secara lebih mendalam. Ia tidak pernah menjadi isu peribadi buat diri sebelum ini. Namun rasanya tidak terlalu awal untuk memikirkannya secara spesifik.

Saya membuat sedikit catatan di atas kertas. Mula mencerna dan menulis sekadar ikut logik akal.

Saya berbalik kepada persoalan paling asas: Apakah yang saya harapkan dari sebuah perkahwinan sebagai seorang muslimah????

Jawapannya: Mendekati ALLAH, mendapat keredhaan ALLAH, mengumpul amal kebajikan yang diperolehi melalui perkahwinan, mengikut sunnah nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam,  bersama-sama suami saling tegur menegur serta memperbaiki diri.

Pendek kata, (bagi sayalah) perkahwinan ini ibarat satu 'kilang proses', di mana dalam 'lawatan sementara'  kita di dunia ini, kita akan memasukinya. Di dalamnya terdapat pelbagai jenis proses untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat berbanding sebelumnya.

Kerana itu yang paling penting sebelum kita bincang bab wang hantaran; harus jelas dan kenalpasti kenapa kita ingin berkahwin? Kerana nafsu semata? atau kerana sekadar follow the flow dan berseronok?

Allahuakbar. Sungguh rugi jika kita tidak mempunyai matlamat yang jelas dalam sesebuah perkahwinan.

Baiklah, pertama sekali menurut islam yang wajib adalah MAS KAHWIN atau MAHAR, dan hantaran kahwin adalah cenderung kepada adat2 melayu.

Pendek kata, kalau nak nikah settle dah kalau bagi mas kahwin menurut syarak, tapi agak janggal dan pelik lah pulak  bagi masyarakat melayu. Karang makcik2 tanya ni dulang berapa berbalas berapa??? Haaa...nak jawab apa beb?

Lagi satu, kebiasaannya masyarakat melayu adalah mengisytiharkan/ mewar-warkan hantaran yang diberikan. Tudiaaaa kalau hantaran tinggi maka pengantin akan dianggap sangat bertuah, dan kalau sebaliknya pasti ada mulut mencebik.. cikitnyeee. Bukan pengantin pompuan tu ada  degree ke?

Astaghfirullah. Mohon dijauhkan dari buruk sangka, namun itu antara hakikat sebenar yang berlaku sekarang ini.

Bagi saya pula, mari kita 'relate' dengan hadith yang sangat popular dan selalu diwar-warkan terutamanya oleh kaum lelaki kepada kaum perempuan:

"Mas kahwin yang paling baik adalah yang paling mudah"

Ia hadith riwayat Imam Al-Hakim

Kalau kita lihat, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sangat menghargai dan menyayangi para wanita, maka sudah pastilah apa yang dipesan oleh baginda adalah amalan yang paling bagus serta baik untuk diikuti. Tinggal lagi ia berkaitan keyakinan serta permainan hawa nafsu yang sering menimbulkan rasa tidak puas hati.

Mudah di sini bermaksud tidak memberatkan mana-mana pihak terutamanya pihak lelaki yang perlu memberinya.

Mudah di sini bermaksud ia mengikut kapasiti kemampuan tanpa menyebabkan kemudharatan semata-mata kerana ingin melunaskan mas kahwin tersebut. Sebagai contoh terpaksa pinjam duit banyak dari bank atau lagi parah dari along.

Mudah di sini bermaksud ia bersifat relatif menurut kadar ekonomi masing-masing.

Kalau lelaki tu memang kaya dan banyak harta, mungkin 20,000 dan rantai emas 916 wah chan  seberat 1 kg itu  MUDAH bagi beliau.

Mungkin bagi seorang lelaki yang baru hendak mula kerja, baru habis belajar, baru nak stabilkan hidup,  tiap2 bulan bayar ptptn, nak bayar motor/kereta lagi, nak prepare untuk bajet kenduri belah lelaki lagi, RM 5,000 pun BELUM TENTU MUDAH bagi beliau.
 

Sebab itu dalam islam tiada jumlah mutlak dan tetap, kerana definisi mudah itu berbeza mengikut keadaan, tempat serta zaman. Subhanallah, benarlah islam itu bersifat syumul, 'alamiyah, sentiasa relevan  dan mengandungi hikmah untuk sepanjang kehidupan.

Dan wang hantaran pula adalah wang yang biasanya diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan sebagai hadiah. Wang hantaran ini tidak menjadi hak mutlak milik isteri menurut syarak. Kalau mas kahwin yes, ianya milik mutlak isteri. Biasanya digunakan untuk buat biaya kenduri sebelah perempuan.

Dan inilah fokus kita pada hari ini: WANG HANTARAN

Sebagai seorang perempuan (ni yang perempuan terutamanya sila ambil perhatian ya ), kita perlu fikir panjang dan rasional. Fikir long-term punya biar extend  sampai ke akhirat, inshaaALLAH.

Pertama sekali, niatlah untuk kahwin kerana ALLAH. Yang kita harapkan pada sesebuah perkahwinan itu bukanlah untuk mendapat keuntungan dunia, bahkan yang kita harapkan adalah keuntungan di akhirat.

Ada juga yang berpendapat kalau murah sangat, macam mudah sangat je nak dapat. Biarlah mahal2 sikit, baru dia hargai.

Allah ya Allah. Maaf saya katakan, tetapi saya kurang bersetuju dengan pendapat ini.

Pendapat saya adalah, kalau kita memilih seorang lelaki kerana keimanannya, maka kita perlu yakin bahawa beliau akan melayan seorang isteri dengan baik sebab dia tahu itulah perintah ALLAH dan termasuk dalam amal soleh yang sangat dituntut. Bukan kerana mahal/murah 'harga' yang dilaburkan seawal perkahwinan menentukan kelas layanan mereka. Tetapi yang menentukannya adalah keimanan serta ketaqwaannya.

Berapa ramai orang bercerai hari ini, tak jadi bercerai sebab terfikir dulu bayar mahal nak kahwin dengan dia ni dulu.. ishhh...tak jadilah pulak nak cerai. Rugi!!"

Maaf, tapi rasanya tiada kes sebegini. Kalau ada pun, mungkin kes2 yang sangat terpencil.

Nyata, hantaran kahwin itu terguna pakai secara nyata untuk satu tempoh masa yang tidak lama. Yang menjadi penentu hala tuju serta situasi dalam sesebuah rumahtangga adalah keimanan para penghuninya. Kerana iman akan mengawal tingkah laku, akhlak, peribadi serta hati. Bukan wang yang menentukannya

Jadi, kalau kita berkahwin mahal2 tetapi tiada keimanan rumahtangga akan mudah goyah dan terjatuh.

Namun, kita tak boleh lari dari kenyataan yang sangat rasional bahawa kita memerlukan duit untuk terus hidup. Ya, kalau hidup dengan cinta semata-mata, nak makan maggi pun tak lepas abang oiii. 

Tapi, itu juga bukan bergantung pada jumlah hantaran kahwin yang mampu disediakan, ia bergantung kepada 'financial stability' lelaki terbabit. Kalau difikirkan, apabila lelaki tersebut terpaksa menggunakan sebahagian besar wangnya dan jika sampai terpaksa meminjam untuk membayarnya, maka itu lagilah menjejaskan 'financial stability' selepas berkahwin.

So rasanya lebih relevan kalau parents soal siasat dan cakna lebih sedikit kepada kematangan serta perancangan hidup lelaki terbabit berbanding fokus bincang 'sebutharga' untuk anak mereka.

Maaf kalau ada yang tak setuju, tapi saya rasa ini yang paling ideal untuk dilakukan. Lelaki yang punyai matlamat yang jelas dan pandai mengurus serta merancang kehidupan inshaaALLAH akan tahu bagaimana ingin bertanggungjawab terhadap isteri yang dinikahinya dan merancang kehidupan berumahtangga yang stabil.

Apalah gunanya, bila buat kenduri besar-besaran, mewah, lip lap, tapi lepas kahwin takde duit...tskk...

Lagilah sedih kalau wang hantaran tersebut kita gunakan untuk buat kenduri besar besaran dengan niat untuk ditunjukkan kepada orang lain ataupun kerana malu nak bersederhana. "Apa pulak kata orang nanti nii...I retisss kott!"

Tidak menjadi masalah jika memang benar2 mampu, tetapi ia menjadi sebaliknya kalau sampai MEMBERATKAN PIHAK LELAKI untuk menyediakannya.

Allahurabbi.

Biarlah untuk walimah, kita niatkan untuk menjamu orang ramai dengan niat infaq.

Biarlah untuk mengadakan kenduri, kita adakan untuk mengikut kadar kemampuan masing-masing. Pedulikan kata orang. Dan juga kalau boleh sebagai anak jika ibu bapa belum faham jangan cepat melenting dan salahkan mereka dahulu.

Tolong sedikit sedikit secara hikmah beri mereka penjelasan dan banyakkan berdoa agar ALLAH kurniakan petunjuk dan lembutkan hati mereka. Subhanallah, ALLAH Muqollibal Quluub. ALLAH tidak akan membiarkan hambaNYA yang berdoa dengan penuh ikhlas tergapai-gapai begitu sahaja. Pasti ada jalan..



PANDANGAN PALING PERIBADI (random )

Ini pula pandangan paling peribadi dari hati saya (inshaaALLAH).

Sebagai seorang perempuan, saya fikir begini:

Perkahwinan ini saya harapkan dengannya saya akan semakin hampir dengan ALLAH serta melaluinya saya dapat meningkatkan ketaqwaan serta amal soleh.

Saya inginkan ia perkahwinan yang benar-benar menjadi laluan menuju ALLAH.

Justeru, saya fikir pembinaan rumahtangga yang diberkati perlu sedari awal proses nya perlu diperhalusi mengikut syariat dan biarlah ia dipenuhi dengan elemen-elemen kebaikan semata-mata.

Contohnya begini. Kalau diikutkan saya ingin rancang untuk berkahwin dalam tempoh 2-3 tahun lagi dan JIKALAU saya sudah ada calonnya sekarang (contoh k..). Jadi, boleh dikatakan tempoh bertahun itu adalah masa untuk membuat persiapan serta persediaan dari segenap aspek.

Kalau saya mengenakan mahar/wang hantaran yang tinggi, saya fikir tentulah lelaki terbabit akan berusaha memenuhinya. Beliau mungkin akan berusaha menyimpan wang sungguh-sungguh.

Alhamdulillah ia bagus, namun saya cukup khuatir jikalau kerana sibuk mengumpul wang untuk berkahwin, beliau jadi kurang bersedekah dan infaq.

Saya jadi bimbang jikalau beliau sibuk mengumpul wang untuk berkahwin, maka praktis amal solehnya terganggu.

Saya tidak boleh terima jikalau kerana sibuk bekerja mengumpul wang untul berkahwin, beliau terlalai dari amal fardhunya terutama solat 5 waktunya di masjid.

Saya zalim jikalau saya sampai tahap memberatkannya, menyusahkan hidup satu jiwa muslim. Menyebabkan fokusnya lebih kepada pengumpulan harta berbanding pengislahan diri.

Serta yang paling teruk adalah saya tidak ingin jika sampai kerana ingin berkahwin, fokusnya terhadap akhirat terjejas dan lebih menumpu terhadap dunia saban hari.

Kerana ingin melunaskan wang hantaran yang di luar batas kemampuannya.

Allahurabbi. Maka ia tidak akan mencapai maksud perkahwinan yang diidamkan. Sedari awal ia sudah hancur berkecai hanya kerana sebuah 'sebutharga'.

Biarlah wang hantarannya sederhana dan tidak menyusahkannya. Biarlah itu di dalam kemampuannya.
Biarlah tempoh sebelum berkahwin itu fokusnya lebih kepada mencari bekalan akhirat berbanding dunia. Kerana saya ingin dia bawa saya ke sana bersama-samanya.

Lagipun jika saya ingin berkahwin kerana ALLAH, mengapa saya sanggup pula (secara tidak langsung) menyebabkan kehidupannya disibukkan oleh urusan dunia?

Tidak dapat saya bayangkan jikalau kerana saya beliau terpaksa mengorbankan masanya untuk menuntut ilmu agama, menunaikan ibadah sunat serta melakukan amal kebajikan yang lain.

Saya ingin menjadi wanita yang bermanfaat untuk dinikahi. Maksudnya, sedari awal proses lagi beliau mendapat manfaat serta kesenangan melalui saya, bukannya mendapat mudharat kerana permintaan yang memberat-beratkannya.

Kerana saya yakin dan percaya bahawa nilai seorang perempuan tidak akan pernah ditentukan oleh nilai wang hantarannya, namun ia ditentukan oleh keimanan serta taqwa.

Dan....perempuan yang beriman serta bertaqwa pastilah ingin menjadikan hadith nabi serta perintah ALLAH sebagai bekalan untuk sepanjang perjalanan hidupnya.

Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya di antara kebaikan seorang wanita ialah mudah lamarannya, mudah mas kahwinnya dan mudah rahimnya (yakni mudah melahirkan anak).”

 (Riwayat Imam Ahmad).


Allah ya Allah. akhirnya kita kembali padaNYA. InshaaALLAH yakin dan percayalah bahawa kita tidak akan pernah rendah kerana wang hantaran/ mas kahwin yang mudah.

Apa yang penting adalah kita perlu faham dan jelas apakah yang kita inginkan dalam sebuah perkahwinan dan kita berkahwin kerana ALLAH semata-mata.

Ingatlah,  Perkahwinan itu ibarat satu pintu gerbang. Walau bagaimana mahal dan indah pun ia, kita akan sekadar melaluinya untuk seketika waktu, namun apa yang penting adalah yang dibalik pintu gerbang itu.



Baitul muslim yang bakal dibina, coraknya tidak ditentukan oleh mahal murahnya pintu gerbang yang sudah kita lewati, namun nilainya yang kita dasari berdasarkan keimanan serta ketaqwaan lah yang akan kita bawa untuk bertemu Ilahi.


Dan last sekali, perlu ulang yang kita perlu pandai dan berhikmah untuk menerangkan pada ibubapa. Kita perlu ambil kira serta fikirkan tahap kefahaman dan pemikiran mereka. Cuba jernihkannya dengan perbincangan yang baik serta tidak putus2 berdoa pada ALLAH. :)

Dan last sekali, kita perlu yakin untuk menyatakan:

"Saya berbesar hati untuk mempermudah urusan perkahwinan ini dengan tidak membebankan orang yang bakal saya kasihi, taati, hormati kerana bersama beliaulah saya melangkah lebih laju menuju ALLAH ta'ala, inshaaALLAH."

Dalam sesebuah perkahwinan, ada 'give and take', beri dan terima (macam pelik je in b.m.), dan biarlah kita berniat dan bertekad untuk tidak berkira dalam memberi tanpa mengharapkan balasan dari manusia kerana kita memberi kerana ALLAH.  Biarlah kita lebih menumpukan terhadap tugas serta tanggungjawab sebagai isteri, berbanding hak kita terhadap suami. Begitu jua sebaliknya.

Saya yang menulis ini pun,  masih lagi bertatih dalam proses menetapkan hati. 
Menulisnya memang mudah, namun untuk melaksanakannya memerlukan satu kekuatan serta kefahaman yang sentiasa berpaksi pada ALLAH. 

Moga ALLAH izinkan kita menjadi wanita solehah yang menjadi penyejuk mata dan jiwa, inshaaALLAH.


Mari berusaha mengumpul  mata ganjaran dari ALLAH sedari awal proses perancangan perkahwinan!


Dan  buat para lelaki, keimanan lah merupakan mahar yang tidak ternilai harganya. Bawalah rumahtangga ke arah jalan yang diredhai ALLAH. Tentukan corak rumahtangga bagaimana yang ingin dibina bagi untuk mengundang rahmat ALLAH.  Niatlah berkahwin untuk mendapatkan keberkatan. Gunakan segenap masa yang ada untuk bersedia dari sudut kerohanian, ilmu, fizikal serta kewangan.

Persiapkan diri dari sudut keilmuan serta kemantapan hati. Ambil tahu serta jelaskan kefahaman terhadap tanggungjawab seorang suami. Biarlah kita berniat ingin menjadikan perkahwinan sebagai salah satu sumber pahala yang tidak bertepi agar dengannya kita akan mendekati ALLAH dan mati dalam keadaan beriman.


Errr... tapi kan..kalau memang berkemampuan, bagi jelah tinggi2 tade hal. Niatkan ia sebagai hadiah untuk isteri kalian. Perempuan afterall, suka je kalau diberikan hadiah..lol. 








Friday, August 16, 2013

Nadia Zahari; pemergiannya satu motivasi



Saya dikejutkan dengan kematian seorang sahabat. Nyata, saya baru mengenalinya setelah beliau tiada. Saya mengetahui berita pemergiannya melalui status seorang sahabat di Uitm; k.faradiba anuar.

Namun ada sesuatu yang sukar saya gambarkan lewat pemergiannya. Usaha-usaha dakwahnya melalui kemahiran yang dimiliki. Berkemahiran dalam bidang fotografik, arwah dalam usaha menghasilkan header cover photo makna-makna bacaan dalam solat.

Subhanallah, usaha beliau terhenti setakat surah al-fatihah.

 ALLAH ya ALLAH. 

Lihatlah bagaimana ALLAH memandang dan mengangkat usahanya ini. Setelah beliau tiada, page jom solat yang beliau wujudkan bagi memuat turun segala rekaan header cover photo mula mendapat perhatian; lebih lagi berbanding ketika beliau ada.

 Logiknya, boleh saya katakan kematiannya menjadi satu publisiti besar buat usaha-usaha dakwahnya yang sebelum ini mungkin ramai yang tidak tahu.

Subhanallah…Subhanallah..Subhanallah…

Apakah lagi bekalan terbaik yang mampu kita bawa ke akhirat melainkan amal soleh yang berterusan pahalanya?

Melalui akal yang kerdil dan terbatas ini, saya memandangnya sebagai salah satu tanda ALLAH memuliakan usahanya.

Allahuakabar.

 Dan saya percaya ia menyuntik semangat daripada ramai lagi insan2 lain untuk tetap dan terus berdakwah walau sekecil mana pun ia dilihat di sisi manusia. 

Gunakan apa sahaja kemahiran yang kita miliki. Jikalaupun tangan kita cukup keras untuk membuat lukisan atau lakaran yang cantik (seperti saya), 

Mungkin kita mampu merangkai ayat-demi ayat. 

Walaupun kita tidak cukup ‘berbahasa’ untuk menulis, mungkin kita boleh menggunakan kemahiran berkomputer untuk membuat rekaan-rekaan grafik yang menarik. 

Jika kita mahir berkamera, ia boleh menjadi sumber kerja dakwah yang menarik. 

Jika kita mampu berkata-kata, menyanyi, mengaji, bertarannum atau apa sahaja, segala-galanya asalkan selari dengan syariat, boleh kita jadikan modal untuk berdakwah!



"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus-menerus pahalanya adalah lebih baik di sisi Tuhanmu dan lebih baik untuk menjadi harapan.."

(Al-Kahfi: 46)


ALLAH ya ALLAH, izinkanlah kami menghabiskan sisa-sisa hidup ini dengan perbuatan amal soleh ya ALLAH. Sesungguhnya itulah bekal terbaik untuk kami bawa buat bertemuMU ya ALLAH...



Al-fatihah buat allhyarhamah Nadia Zahari.

page jom solat yang diasaskan arwah 


Wednesday, August 14, 2013

MesirKU...

Bismillah. Assalamualaikum.

Saat ini, mata tidak mahu terpejam. Mencari-cari di manakah lagi maklumat dari sumber paling dipercayai yang boleh dibaca. Semakin dibaca, semakin diteliti berita-berita yang disampaikan, semakin berdesir hati ini.

YA ALLAH, saudara2 kita sedang dihadapkan dengan ujian yang cukup besar dan jelas terlihat secara fizikal.

Hati dan minda saya tidak tahan melihat foto2 yang sadis, maka saya memilih untuk tidak melihat koleksi gambar yang dikirim, cukup sekadar membaca, dan terus membaca. Moga2 segala maklumat yang disalurkan itu adalah maklumat yang benar dan tidak menzalimi mana-mana pihak.

Persoalan as-Sisi, puak2 kudeta, darurat, syahid, hospital yang dibakar,  silih ganti berlegar-legar. Bercelaru.

Tidak dapat dibayangkan betapa hebatnya jiwa mereka yang berhadapan dengan ujian sebegini berat. Semoga dicampakkan oleh ALLAH keberanian dan ketenteraman dalam jiwa saudara2 kita di sana. Itu bukan 'Mesir' mereka sahaja, bahkan itu adalah 'Mesir' kita semua.

1 jiwa muslim yang ditembak, seluruh umat Islam merasai pedihnya.

Mungkin kita begitu begang dengan Sisi serta pengikutnya, namun yakinlah dalam hati orang yang berbuat zalim itu tidak akan pernah ada ketenangan. Mari kita doakan untuk hidayah ALLAH.

Begitu juga, mungkin kita begitu bersimpati dengan Dr. Mursi serta para pro-legitimas, yang menyokong kepimpinan dr.mursi atas nama ALLAH dan kebaikan, namun yakinlah inshaaALLAH bendera kemenangan mereka sedang berkibar di sisi ALLAH. Allahuakbar.



"Janganlah kamu mengira orang-orang yang gugur di jalan ALLAH itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka, dengan mendapat rezeki"                                                   
(Ali-'imran: 169)


 "And never think of those who have been killed in the cause of Allah as dead. Rather, they are alive with their Lord, receiving provision"
 (Ali-'Imran: 169)


Kita sebagai umat Islam juga, harus jelas dan faham akan situasi yang berlaku. Mari cuba sehabis baik untuk mengikuti maklumat terkini, berdoa, serta melakukan apa sahaja yang terjangkau melalui apa sahaja cara yang diizinkan ALLAH.

Namun ternyata yang paling penting, kita terlebih dahulu harus membina kefahaman serta jelas mengapa kita beria-ia marah akan pembunuhan beramai-ramai serta rampasa kuasa ini.

Mari lakukan dengan penghayatan. Isu di Mesir, ia bukan sekadar satu ikut-ikutan.

Bukan sekadar kekejaman rejim Sisi terhadap penyokong Mursi..

Namun ada yang ingin diuji ALLAH buat kita di sini!

Ayuh berdoa sahabat2 semua.


 "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta-benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam (kitab- kitab) Taurat dan Injil, serta Al Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."
(At-Taubah:111)

"Allah hath purchased of the Believers their persons and their goods for theirs (in return) is the Garden (of Paradise): they fight in His Cause, and slay and are slain: a promise binding on Him in Truth, through the Law, the Gospel, and the Quran. And who is more faithful to his covenant than Allah? Then rejoice in the bargain which ye have concluded: that is the achievement supreme."
(At-Taubah:111)

Allahummansur Islam wal muslimin fil Misr...


  


Nota: Saya banyak merujuk di fb Mesir Kini untuk mendapatkan maklumat terkini.

InshaaALLAH selepas solat Jumaat esok masjid2 negeri di seluruh negara akan mengadakan solat hajat perdana khas buat Mesir KITA.
Ayuh luangkan masa untuk menyertainya dan solat sunat hajat sendiri juga pada bila2 masa. 

Rujukan: Tulisan maksud ayat Al-Quran versi BM & BI itu saya pinjam dari sini. Syukran.


Sunday, August 11, 2013

Kisah seorang perempuan yang bercinta

Bismillah. Assalamualaikum.

Selamat Hari Raya.Taqabbalallah minna wa minkum.


 Kullu 'aam wa antum bi kher.

Sya mohon maaf di atas segala salah dan silap.

Kali ni, saya nak share satu kisah percintaan daripada seorang sahabat.
Kisah ini diceritakan telus darinya. Saya mohon kongsikan di sini untuk kita mengambil pengajarannya.

Btw, Semenjak dua menjak ni i fefeeling macam Dr. Cinta pulak sebab tak habes2 post pasai benda macam ni. Bukan apa, saya rasa ia sangat perlu dikongsi. Luarbiasa kekuatan cinta ini boleh membawa kita menjadi seorang hamba yang taat.



Kisah sahabat 1



" Saya mencintai seorang lelaki. Kami satu universiti. Beliau -pada pandangan saya-  adalah seorang yang baik, tidak begitu kacak, namun punyai pesona yang tersendiri. Apa yang penting, saya sangat menyenanginya, di sebalik setiap kekurangan beliau yang pernah terserlah pada pandangan saya.

Rasa ini aneh. Selama ini, saya bertemu dan berurusan dengan ramai lelaki yang mempunyai kelebihan melangkaui dirinya. Lebih kaya, lebih kacak, mempunyai nama, lebih 'kelihatan soleh', namun hati saya masih tidak dapat beralih daripadanya. Bahkan, ia semakin mendalam hari demi hari.

Namun, saya tiada kekuatan untuk memberitahunya. Tiada kekuatan untuk 'meminang'nya, tiada kekuatan untuk menjadi kawannya di fb. Juga tiada kekuatan untuk mengusir perasaan ini agar hati saya kembali tenteram semula.

 Dua tahun saya memendam perasaan ini. Perasaan bersalah sering mendatangi, namun saya tidak berupaya untuk mengusirnya, membuangnya jauh dari hati. Adakalanya, apabila melihat apa sahaja yang mempunyai walau sedikit perkaitan dengannya, ingatan ini akan terus-menerus teringatkannya. Bahkan pernah hampir setiap detik waktu dalam kehidupan, saya mengenangnya. Mengingatinya tanpa jemu.

Ia sangat memedihkan. Kerana saya ini melalui proses didikan agama. Saya mengetahui batas-batas yang perlu dijaga, termasuklah dalam soal hati. Saya mengetahui bahawa mengingati si dia yang bukan mahram itu perlu ada aturannya. Saya sangat arif bahawa mendekati zina itu ditakrifkan melalui pelbagai cara.

Namun saya buntu. Jiwa adakalanya terasa sesak. Rasa itu terus mengasak.Saya mencintainya sepenuh hati. Jikalau ada nama yang sering diulang sebut didalam doa hingga bercucuran air mata ini membasahi telekung, nama itu adalah nama dia...


Ada ketika, saya akan merinduinya sungguh-sungguh. Saya tidak berhubung dengannya. Tidak pernah saya luahkan rasa yang satu ini pada sesiapa, hatta kepada sahabat perempuan yang paling rapat dengan saya. Saya terlalu malu, dan rasa bersalah tetap juga menyinggah apabila perasaan ini marak bagai dinyalakan oleh cinta yang datang dari hati yang terdalam.

Apa yang boleh saya lakukan, saya akan melihat laman fb nya. Status-status yang dikemaskini olehnya dirasakan seperti sedang berbicara kepada saya. Apabila melihat gambarnya yang tersenyum, saya akan turut gembira dan merasakan kebahagiaan.

Selama bertahun ini, saya menjadi pelawat tetap fb nya. Menatap setiap bait kata yang diutus, seperti tidak siuman merasakan setiap kata-katanya ditujukan khas buat saya. Malunya saya untuk mengakui, namun itulah hakikatnya.

Jika ada nasihat atau saranan daripadanya, pasti saya akan semat di hati sungguh-sungguh, saya akan ingat dan cuba untuk mengamalkannya. Setiap kata-katanya jadi begitu bermakna. Saya akan mengangguk berseorangan di hadapan skrin laptop dan terus cuba mengamalkan apa yang dikatakannya dalam kehidupan. Mujur dia seorang yang baik, maka status-statusnya juga banyak mengajak ke arah kebaikan.

Saya ingat dan aplikasikannya sungguh-sungguh. Kerana saya mencintainya...Saya menghargai apa sahaja yang dipesan olehnya. Rasanya, nilainya pada saya melebihi harta yang saya ada. Barangkali dia juga tidak akan pernah menyangka, ada yang mencintainya sebegini. Adakah dia mempunyai rasa yang serupa? Kadangkala hati ini tertanya-tanya. Namun cepat pula kesedaran meningkah. Dia tidak mungkin sukakan saya, mungkin memandang saya pun tidak. Mungkin sahaja, selama bertahun ini tangan saya seorang yang bertepuk melagukan iramanya. Tetapi tidak dia. Namun rasa ini tidak pernah kisah akan semua itu. Ia tetap setia.

Hinggalah satu saat tiba-tiba ALLAH detikkan dalam hati saya. Di saat saya benar-benar teringatkannya, teringat pesan-pesan di fb nya, dan baru ingin mengamalkan satu pesanan terbarunya. Tiba-tiba saya tersedar, saya ini seolah-olah sudah sangat taksub dengannya. Bagaikan orang yang angau (na'udzubillah), saya benar-benar ingin mengamalkannya, mengikutinya, mentaatinya.

Kerana saya mencintainya.

Bahkan penghayatan saya sangat mendalam membaca statusnya, berbanding membaca hadith nabi serta ayat al-Quran.

Ya ALLAH! Saat itu saya seolah-olah baru sahaja ditampar oleh hakikat, bahawa saya telah melampau dalam meletakkan cinta padanya.

Saya letakkan tangan di dada. Kedua-dua belahnya. Cuba merasai benar-benar perasaan saya. Sesungguhnya, saya telah menzalimi diri saya sendiri. Saya menderanya dengan perasaa cinta yang begitu kuat itu, tanpa memberikan hak yang sebenar padanya. Haknya untuk mencintai ALLAH yang telah menciptakannya.

Saya terfikir, betapa bersungguhnya saya apabila cuba mengamalkan saranan serta pesanannya, namun tidak pernah begitu bersungguh saya mengamalkan apa yang tertulis di dalam hadith dan ayat Al-Quran,

Betapa hati saya bergetar membaca statusnya, tetapi hati saya tidak bergetar begitu ketika mendengar ayat2 ALLAH,

Betapa saya menanti-nanti update terbaru daripadanya untuk mengetahui apa yang ingin disampaikan, tetapi mengapa saya tidak begitu dengan wahyu ALLAH, dengan pesanan Rasulullah?

Jawapannya cuma satu: Cinta.

Dalamnya cinta saya pada dia, menyebabkan saya menghargai apa sahaja yang datang daripadanya. Menghayatinya sepenuh hati. Mengamalkannya sepenuh daya. Mempertaruhkan kebahagiaan seluruhnya.

Astaghfirullah. Saya sedar saya khilaf. Saya mohon keampunan dari ALLAH.

Saya cuba membaca ayat Quran, serta hadith dengan membawa 'rasa' yang sama. Saya ingin mencintai ALLAH dan Rasul, lebih dari mencintai dirinya.

Syukur ALLAH membuatkan saya sedar. Syukur ALLAH tidak mengambil nyawa saya di saat saya masih memeluk rasa yang satu itu. Syukur ALLAH masih sayangkan saya, menyuntim hidayah di saat saya begitu zalim dengn hati sendiri.

Sekarang, rasa itu masih lagi berbaki. Saya masih belum berhenti berharap, mencintai dirinya.

Namun saya cuba mengawalnya, dengan apa sahaja cara yang saya mampu. Mungkin dia adalah jodoh saya, mungkin juga tidak. Untuk memberitahunya, saya tiada kekuatan.

Namun saya yakin tanpa ragu, ALLAH akan beri yang terbaik.

Namun, sekarang saya sedang cuba menyalurkan rasa cinta yang terdalam itu kepada ayat-ayat Al-Quran panduan dari ALLAH yang selama ini saya baca tanpa rasa, hadith-hadith Rasulullah shallalallahu 'alaih wasallam yang sudah lama dihayati tanpa azam dan tekad untuk benar2 saya amalkan.

Saya mohon keampunan dari ALLAH.  Selama ini, status-status fb nya saya letakkan lebih makna berbanding ayat-ayat ALLAH dan pesan Rasulullah, padahal cinta pada dua perkara inilah yang akan bawa saya pada ALLAH!





****Kisah ini ditulis oleh saya, namun inshaaALLAH isinya tidak lari dari kisah sahabat kita ini. Saya sangat value kisah ini kerana ia sangat dekat dan relevan. Persoalannya adalah, bagaimana kita menghalakan cinta dalam kehidupan?

Cinta yang ALLAH anugerahkan inilah, yang menjadi kekuatan kepada para mujahidin untuk mara di medan jihad.

Cinta yang ALLAH anugerahkan inilah, yang menjadi tunjang kekuatan kepada para pejuang agama Islam.

Cinta yang ALLAH anugerahkan inilah, yang menghapuskan ketakutan dalam hati2 umat Islam di palestin untuk mempertahan baitul maqdis.

Cinta yang ALLAH anugerahkan inilah, yang menjadi sumber daya untuk kita mengamalkan segala yang telah ALLAH perntahkan sehabis baik, sesempurna mungkin dengan diiringi kesabaran serta pengharapan.

Ia adalah cinta, namun kisah ini benar-benar buat saya terfikir mungkin yang membuatkan kita memandang kosong kepada helaian mushaf yang dibaca, kerana kite terlupa akan cinta yang belum wujud di dalam hati. Carilah ia... sebelum terlambat..





" Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebutkan nama ALLAH, bergetarlah hati mereka, apabila dibacakan ayat-ayatNYA  bertambahlah iman mereka, dan kepadaNYAlah mereka bertawakkal."       

(Al-Anfal: 2)




 It hurts, when we put it not at the right place. Move it.


~pic by google~