Bismillah
Selama ini, aku sering tertanya-tanya, siapakah dia jodoh
yang ALLAH telah tetapkan buatku? Aku mengimpikan dia sebagai seorang yang
soleh. Agar dengan bersamanya, langkah kakiku akan menapak hamper kepada ALLAH.
Supaya dengan menjadi temannya di dunia ini, aku akan semakin dekat dengan
ALLAH. Dia mencintaiku, dan aku mencintainya. Aku menjaga diriku. Aku tidak
pernah bercinta. Aku memelihara diriku sungguh2, kerana sejak sekian lama aku
telah didendangkan dengan hakikat bahawa yang solehah akan berada di samping
yang soleh, dan begitulah sebaliknya.
Semakin aku dewasa, rasa ingin tahu siapakah dia yang telah
dijanjikan buatku itu semakin meluap-luap. Hari demi hari, aku teguh memegang
prinsip yang telah dibina. Apa yang dipegang teguh sedari dulu, tidak aku biarkan
ia tergugah. Harapanku, ingin aku menghadiahkan hak2 istimewa untuk dirinya.
Aku memelihara diriku, agar aku mendapat yang terpelihara. Aku solat di awal
waktu supaya aku jua mendapat pasangan yang serupa. Aku bertekad tidak melayan
lelaki ajnabi tanpa urusan penting kerana aku ingin mendapat si dia yang juga
cukup memelihara pergaulannya.
Namun, semakin lama aku sedar, tatkala mata hati terpaku
pada satu hadith yang telah sekian lama aku pelajari. Sentiasa beralun di
bibir, dilafaz dalam tazkirah. Ia hadith yang biasa didengar. Hadith pertama
dalam himpunan 40 Hadith yang terkenal.
Berkaitan niat, dan tujuan melakukan sesuatu perkara. Hatiku
terketuk oleh pesanan Rasulullah bahawa siapa yang melakukan sesuatu kerana
ALLAH, maka beliau akan mendapat kasih sayang dan redha ALLAH, tetapi
barangsiapa yang melakukan sesuatu kerana manusia atau perkara lain yang selain
dari ALLAH, dengan izin ALLAH beliau
akan mendapat apa yang diingininya. Aku terfikir, selama ini aku melakukan
begitu banyak perkara niatnya kerana apa?
Ingin mendapat ALLAH, atau ingin mendapat lelaki soleh?
Ingin mendapat ALLAH, atau ingin mendapat lelaki soleh?
Astaghfirullah. Rupa2nya dalam harapan yang tampak murni dan
islamik, aku tertipu dengan mainan nafsu dan syaitan. Pasangan hidup yang soleh
adalah salah satu medium sahaja untuk aku mendekati ALLAH, bukannya ALLAH
adalah medium untuk mendapatkan pasangan yang soleh untuk hidup di dunia yang
fana ini semata-mata
.
.
ALLAH adalah tujuan hidupku. Menjaga diri kerana menurut
perintah ALLAH, menjaga pergaulan kerana ingin meraih redha ALLAH, solat di
awal waktu kerana ingin mendapat keredhaan ALLAH dan segala-galanya adalah kerana ALLAH. Mungkin ianya sukar kerana tujuan itu tidak
terlihat secara nyata. Ia tersembunyi namun kesannya nyata mempengaruhi cara
memandang kehidupan ini. Keasyikannya tersembunyi di celahan hati. Subhanallah.
Mendapat pasangan yang baik adalah salah satu jalan mendapat
keredhaan, ia bukannya tujuan. Jika tiada pun tidak mengapa. Kerana sesiapa
yang memiliki ALLAH di dalam hatinya, dia telah memiliki seluruh kehidupan ini!
Segala-galanya mencukupi. Dan setiap keadaan; baik kurang
mahupun lengkap pada pandangan zahir manusia, ia disambut dengan syukur.
Allahuakbar. Semoga hati ini kuat untuk memaknakannya dalam kehidupan.
No comments:
Post a Comment