Saturday, August 24, 2013

Masih sendiri.

 ~tq to google~








Bismillah. Assalamualaikum.


Semakin kita dewasa, begitu banyak perkara yang perlu ditempuh sendiri.

Adakalanya ia menguji. Adakalanya rasa tidak mampu. Adakalanya rasa begitu sayu, sepi, terasing.

Bila kita bersendirian. Ia nyata memberi kesan terhadap jiwa.

Allahuakbar.

Saya juga pernah begitu. Sejak sekolah, saya selalu perlu pergi ke mana-mana sendiri. Ia adalah pilihan yang dibuat sendiri tanpa paksaan, semata-mata untuk mengejar kecemerlangan prestasi peringkat sekolah.

Saya pernah ke satu majlis penerimaan anugerah di KL. Tanpa guru pengiring mahupun pelajar lain dari sekolah sendiri. Saya bersendirian!

Saya perlu menaiki satu bas yang sama dengan pasukan bola sepak (sekolah negeri) yang kesemuanya lelaki.

Dan guru pengiring sekolah tersebut juga adalah lelaki. Aduh, sudah pasti pemandu bas juga merupakan seorang lelaki.

Ya ALLAH, perjalanan dari Pahang-KL ketika itu dirasakan cukup lama dan mendebarkan.

Namun itu adalah pilihan sendiri. Hati berasa sedikit sedih, tetapi tiada yang harus dipersalahkan.

Semakin menginjak dewasa, makin banyak pula pilihan yang perlu dibuat. Dan banyak ketika, pilihan2 itu menuntut saya bersendirian. Merata-rata.

Allahuakbar, ia adalah pilihan sendiri, namun masih terselit kesedihan yang berbaki. Kerana adakalanya jauh di sudut hati tidak mahu namun keadaan serta kewajipan memaksa.

Lama-kelamaan hati mula meningkah. Mengapa aku perlu selalu bersendirian? Mengapa perlu bersusah-payah begini? Mengapa tidak boleh sentiasa seperti orang lain?

Mengapa tidak sahaja melepaskan segala2 dan bersama menjadi arus yang melalui jeram.

Mengapa perlu bersusah payah menjadi setitik air embun yang sering berada di hening pagi dalam sunyi sepi?

Tambahan pula, dalam satu tahap kehidupan saya menyertai Rancangan Da'i.

Allah.. Lebih banyak keadaan menuntut untuk sendiri. Terlalu banyak. Hati sering meningkah dan menangis.

Cabarannya besar. Tidak hanya apa yang dipaparkan, bahkan ia lebih daripada itu. Biarlah hanya ALLAH mengetahui.

Satu saat pada minggu2 akhir yang sangat menghampiri final, saya menelefon kak long.

" I can't stand it anymore. I wanna quit!"

Allahuakbar.

Hati begitu lemah ketika itu. Segalanya dirasakan serba tak kena. Dunia berpusing-pusing.

" Sikit je lagi. Cuba hang ingat balik matlamat untuk dakwah..."

Jawapan kak long sangat pendek dan bersahaja.

Saya meletakkan telefon.

Ya, jawapan kak long benar. Namun bukan itu yang saya mahukan!

Hati semakin kucar-kacir. Jiwa terasa lemah.

Saya masuk ke bilik penginapan. Menatap keseluruhan bilik yang sunyi sepi. Otak sedang berfikir-fikir lagi tentang tugasan final yang saya rasakan sangat  mencabar serta beberapa perkara lain yang sering menjadi pertarungan sengit dalam jiwa.  Saya harus menempuh segalanya.

ALLAH ya ALLAH, saya sendiri lagi!

Malam itu saya tidak lena tidur. Mata tidak mahu terpejam.

Lantas saya bangun menghamparkan sejadah. Saya memerlukan 'seseorang' yang memahami untuk mengadu segala-galanya yang saya alami. 

Akhirnya, air mata yang sering ditahan-tahan selama itu mencurah-curah.

Rasa hati yang dipendam langsung diluahkan seluruhnya kepadaNYA.

Subhanallah. Hati terasa sangat tenang.

Astaghfirullah, rupanya sudah lama tidak mengadu pada ALLAH.
Sudah lama 'perasan' bahawa diri ini cekal tanpa memerlukan sesiapa. Sudah lama rupanya tidak benar2 meletakkan pergantungan seluruhnya pada ALLAH.Sudah lama tidak bermunajat dan bercerita segala suka duka kepada ALLAH.

Saat itu saya mengerti bahawa ALLAH memberikan kita ruang untuk menghadapi beberapa perkara sendiri supaya kita benar-benar merasai keberadaanNYA di dalam hati.

Meletakkan seluruh pergantungan hanya padaNYA dan tidak kepada makhluk.

Rupa-rupanya ALLAH memberi kenikmatan bersendiri untuk kita selalu berkomunikasi hanya denganNYA. Mengadu segala permasalahan hanya padaNYA. Kesusahan, kesedihan, kebimbangan, kegembiraan, kesyukuran segalanya dikembalikan kepada ALLAH dengan jiwa penuh kehambaan.

ALLAH, rupanya situasi bersendirian yang ALLAH takdirkan sebelum ini juga adalah latihan untuk hamba ini menghadapi apa yang akan berlaku di hadapan. Nyata, sekarang lebih kerap perlu menghadapi pelbagai perkara sendiri. Benarlah, ALLAH Maha Mengetahui sedang kita tidak tahu. ALLAH menyediakan ujian-ujian yang lalu sebagai satu latihan untuk mengukir jiwa supaya cekal apabila menghadapi perkara yang mendatang.

Sekarang, lebih kerap perlu bersendiri menghadapi pelbagai situasi. Namun Alhamdulillah, bersendiri itu tidak lagi menyedihkan, kerana formulanya sudah ditemui.

Bersendirian memberi banyak ruang memuhasabah diri, merenung kekuasaan ALLAH, berdoa sebanyak-banyaknya, menghindarkan percakapan serta perbualan yang sia-sia serta menjadikan buku teman yang terbaik.

Subhanallah, rupanya dalam bersendirian itu ada kenikmatan, jika kita benar-benar mengimani serta menghayati yang ALLAH sentiasa ada di sisi.


" Dan apabila hambaKU bertanya kepadamu mengenai KU maka sesunggunya AKU (ALLAH) sentiasa hampir kepada mereka...."                                                                                         (Al-baqarah: 186)




p/s: Saya menulis artikel ini ketika duduk bersendirian. Sudah hampir dua hari tanpa ada yang menemani. Alhamdulillah, ia tidak lagi menjadi satu perkara yang menyedihkan.

Allah ya Allah kita tidak akan pernah sunyi sebenarnya, kerana terlalu banyak perkara yang boleh dilakukan.

Semoga kita sentiasa diberi hidayah serta petunjuk dari ALLAH. 



1 comment:

  1. Alhamdulillah...kak dibah untungnya kamu kerana mudah bangkit selepas jatuh..terus setia dlm dakwah walau di uji duka..tq coz tulis blog ni untuk mnjadi tatapan saya n semue...bile sy bace blog ni seolah-olah saye rase kak dibah kat dpn sy..tq sgt2 sbb tls blog ni..skrg2nye sy blh improve diri dr mase ke semase

    ReplyDelete