Tuesday, February 4, 2014

Kisah yang menarik

' Apa kata kita khabarkan kepada mereka bahawa Muhammad merupakan seorang penyair?'

'Bagaimana pula jika kita mengaitkannya dengan seorang yang gila? Semua kata-katanya itu di luar akal yang waras, bukan? '

'Mungkin dengan pertuduhan bahawa Muhammad itu seorang penyajak? Ajakannya itu tidak lebih dari sekadar jalinan ayat berbunga yang menjadi halwa telinga!'

' Ah, semua itu tidak begitu tepat. Ayat-ayatnya tidak kedengaran seperti kebanyakan syair arab, gaya bahasanya ternyata berbeza!'

'Baik, jikalau begitu apa kata kita beritakan kepada semua yang hadir berkunjung ke Baitullah itu bahawa Muhammad merupakan seorang penyihir? Yang mempunyai jampi yang boleh mengakibatkan perpisahan antara ahli keluarga, suami isteri dan memecah belahkan ramai orang?'

'Tidak! Bukankah selama ini Muhammad yang kita kenali bukan orang seperti itu? Muhammad tidak pernah dilihat mengamalkan sihir.'

'Ahh, namun menurut perkiraanku itu yang paling sesuai untuk kita gelarkan padanya. Sudah! Kita putuskan sahaja di sini. Muhammad sebagai seorang penyihir, yang menyampaikan ajaran sonsang, menghina agama nenek moyang kita, menidakkan latta dan uzza yang selama ini kita sembah. Dia patut dijauhi, dan kata-katanya patut diingkari!'

Maka berkejar-kejarlah kaum musyrikin makkah yang buta mata hati berusaha menghentikan penyebaran agama oleh junjungan mulia, Nabi Muhammad sallallahu 'alaih wasallam.

Perbincangan yang diadakan di tempat Al-Walid bin Al-Mughirah telah mencapai kata sepakat yang keji.

Mereka mesti menghalang usaha dakwah Muhammad!

By hook or by crook!

Lantas ketika baginda Nabi Muhammad sallallahu 'alaih wasallam mendekati golongan yang datang ke Makkah untuk menyebarkan agama Islam, langkahnya turut dijejak oleh Abu Jahl, yang berteriak dengan nyaring menidakkan ajaran baginda.

Tidak cukup itu, mereka mengancam pula agar baginda menghentikan usaha dakwah itu. Tidak puas dengan cara kasar seperti melempar batu, perut unta, najis, dan meletakkan duri di laluan baginda, mereka juga menggunakan cara halus dengan menawarkan baginda harta, pangkat, kedudukan supaya baginda meninggalkan seruan dakwah yang agung itu. Bahkan ada si dungu yang menawarkan agar diamalkan agama islam dengan anutan mereka secara bergilir-gilir.

Baginda enggan.

Para pembesar Quraisy bingung.

Mereka yang melafaz syahadatain  semakin meningkat.

Meninggalkan berhala-berhala sembahan yang tidak mampu berbuat apa-apa.

Mereka tidak berputus asa. Langkah diatur menuju bapa saudara baginda yang amat mengasihi ank saudaranya.

Dibawa bersama seorang pemuda bernama 'Umarah Al-Walid

'Wahai Abu Talib, lihat ini. Beliau merupakan seorang pemuda yang cerdas, cergas dan kau boleh mengambilnya sebagai anakmu. Kau bebas menggunakan tenaga mudanya, dia ini pemuda yang penuh potensi.

Nah, ambillah dia sebagai ganti kepada Muhammad. Serahkan anak saudaramu yang sudah tidak berguna itu kepada kami! Dia telah menghina ajaran kita, menidakkan tradisi nenek moyang kita. Dan dia telah menyesakkan kehidupan kamu duhai Abi Talib!'

Abu Talib membalas dengan tegas.

'Kau memberikan anakmu untuk aku membesarkannya, namun aku memberikan anakku kepadamu untuk dibunuh. Apakah itu perkiraan yang adil?!'

'Sungguh, aku tidak akan menyerahkan Muhammad kepada kamu. Pergilah!'


Bersambung.......

2 comments:

  1. Muhammad, daripada penyair kepada penyihir. Segala gelaran diberi, daripada mereka yang dengki. Belum disambung kan kisah yang menarik ini?

    ReplyDelete
  2. wahhhh akak sambung lah cerita ni :)))
    -syikin-

    ReplyDelete