Sunday, May 31, 2015

Kuala Lumpur International Hijab Fair 2015: Auratku

Bismillah.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah hujung minggu haritu, saya ke KLIHF yang diadakan di PWTC. Kalau ikutkan, saya bukan jenis rajin sangat pergi event-event macam ni. hehe. Tapi sebab ada slot di booth Raudhah  tv9,maka hari Sabtu haritu bertolaklah saya dari Melaka dan sampai di PWTC hampir jam 4 petang. Banyak sungguh kereta parking di bahu jalan. Akhirnya saya parking di bangunan Putra yang berhadapan dengan bangunan pwtc, dan bergegas ke Hall 3, lokasi booth Raudhah dan segala macam booth jualan. Mak aih, masuk-masuk aja berpinar-pinar mata disambut dengan macam-macam jenis baju.

KLIHF 2015


Tapi disebabkan saya sudah insaf dan bernekad untuk tidak begitu berbelanja dengan banyak dan membazir macam zaman sekolah dan asasi dulu-dulu, jadi selamatttt.

Slot yang sepatutnya bermula jam 4, dianjak ke jam 5. Saya suka sangat ianya dianjak sebab memberi laluan untuk solat Asar. Macam nilah baru bagus. Watu solat dijaga dengan baik. Seandainya event-event lain juga aplikasi perkara yang sama mesti best! :D

Jadi pukul 5 tu, kita pun mulakanlah kongsi sedikit-sedikit tentang 'Kunci Bahagia'. Gitu.
Tajuk haruslah catchy. Sebenarnya buntu juga, apalah tajuk yang nak diberikan padahal saya nak cakap tentang solat dan Al-Qurah.

Esoknya pula, slot bermula jam 11 pagi. Disebabkan parking selalunya penuh dan sesak pula tu, saya naik KTM sahaja dari Shah Alam ke PWTC. Berhenti di KTM Hentian Putra. Dan sebab saya dah terlajak masa sedikit, saya pun nekad untuk tidak menggunakan jejantas, berlari-lari melintas jalan tanpa menghiraukan sesiapa lagi!

Akhirnya jam 11.15 saya selamat masuk ke dalam dewan dengan termengah-mengah. Bilalah saya ni nak mula belajar merancang perjalanan. Selalu terkejar-kejar! T_T

Booth linnisa' (gambar dipinjam dari fb da'i hadhari)


Dan apabila sampai sahaja ke dalam dewan, slot terus dimulakan. Orang sudah mula ramai membanjiri booth-booth jualan. Sambil-sambil menyampaikan perkongsian, mata sempat lagi menjeling-jeling booth-booth yang berada di sekeliling. Banyak sale dan ada pakaian yang semalam harganya rm190, harini dah turun jadi RM99. Wah, peluang ini tidak harus dilepaskan!

Tapi bukankah saya sudah tak mahu lagi beli banyak baju?

Jadi hasrat tersebut saya simpan sahaja di dalam hati. Dan teruskan bagi ceramah dengan bahagia. Tapi lepas habis, sebenarnya saya cepat-cepat meluru ke booth terbabit dan beli baju tu. Tsk... Tapi mesti saya guna, cuma mungkin sekali-sekala sahaja sebab bukan 'jenis' saya sangat. Bila saya jalan-jalan melihat booth-booth yang lain, Alhamdulillah saya tengok banyak rekaan baju yang longgar-longgar dan labuh. Serta banyak juga yang sebaliknya.

Jadi dalam penyampaian, ada diselitkan juga sedikit panduan mengenai ciri-ciri pakaian yang seharusnya seorang wanita Islam titik beratkan. Yelah, dalam perkembangan 'fesyen muslimah' sekarang ini, banyak rekaan-rekaan pakaian yang disandarkan atas nama 'pakaian muslimah'. Namun adakah ianya benar-benar sesuai untuk dikenakan oleh kita?

Nama dan label sahaja belum cukup untuk membenarkan kita mengenakan pakaian tersebut ketika berada di luar rumah. Jadi, kalau kita sendiri tahu senanglah kita nak bezakan, kan?

Saya nak kongsikan sedikit sebanyak tentang ciri-ciri pakaian muslimah yang banyak sekali saya rujuk dari buku kecil dan ringkas oleh Al-Fadhil Ustaz Hj. Aminuddin.

Jom kita ambil tahu kalau benar-benar ingin bergaya dengan busana muslimah. :D


1)  Pakaian mestilah menutup seluruh aurat
     - Menurut kebanyakan ulama', aurat perempuan adalah seluruh badan, kecuali muka dan kedua tangan     (sehingga pergelangan tangan).

2) Pakaian mestilah tidak terlalu nipis/ jarang sehingga menampakkan warna kulit dan rambut. 

Takut sungguh yang ini. Sebab sekarang kan, banyak material kain yang lembut dan nipis. Jadi kita kena hati-hati dalam pemilihan. Sebolehnya, elakkan kain yang nipis. Walaupun pakai inner di dalam, bentuknya tetap kelihatan sebab inner masih melekap di badan.

Begitu juga dengan tudung yang kita pakai. Ada yang materialnya terlalu nipis sehingga menampakkan leher dan rambut jika memakai skaf atau anak tudung separuh. Sebaiknya, jika ingin memakai tudung cuba tengok dulu atau tanya kawan sama ada nampak atau tidak leher kita. Terutama di bawah terik matahari.

Kalau nak pakai juga, mungkin boleh lapikkan dengan tudung lain di dalam. Leceh?
Kalau leceh carilah yang kain tebal. Kan senang? :)

3) Pakaian tersebut mestilah longgar iaitu tidak terlalu ketat. 

Haaa yang ini pun perlu kita perhatikan lebih sedikit ya. Sebab adakalanya pakaian kita tu fabrik nya sudah tebal, tetapi aduhhh ketatlah pula. Jadi lebih baik kita cuba untuk kenakan dahulu dan lihat kesesuaian dengan saiz badan kita.

Kalau ada sesetengah anggota badan yang agak menyerlah, maka lebih baik kita longgarkan lebih sedikit. Tidaklah sampai menggelebeh, tetapi biarlah bila kita berjalan atau bergerak pun,bentuknya tidak terlalu kelihatan.

Begitu juga jika mengenakan pakaian dari kain lycra, kalau boleh kita elakkan untuk pakai dari jenis lycra yang memang sangat nipis itu. Harganya memang murah-dan tersangat murah kadang-kadang. Namun sangatlah melekap pada badan. Wah, segannya rasa!
Selain itu, potongan baju lycra juga memainkan peranan penting. Pandai-pandailah kita pilih atau jahit baju supaya potongannya kembang dan sesuai dengan kita.

Selain tu, ada juga jeans yang memang sangat ketat dan melekap di kaki kita. Bukan legging, tetapi jeans. Kalau cik adik dan cik kak sekalian ada seluar jenis ini, mari kita renungkan balik. Sebenanrnya adakah jeans tersebut menampakkan bentuk kaki kita secara jelas atau tidak? Jika ya, maka pakai di rumah sahajalah ya. :) Segan tau pakai ketat-ketat ni sebab seharusnya tubuh badan wanita yang indah ini dilindungi dari pandangan-pandangan lelaki ajnabi.

Perkasakan malumu duhai muslimah. Selepas ini, no more ketat-ketat ya. Lagi longgar, lagi selesa. Pengudaraan pun lebih baik. haha.

4) Pakaian tersebut bukan pakaian untuk menonjolkan kemasyhuran dan menarik perhatian, membangkitkan rasa sombong dan takbur.

Huisshh, terasa sungguh yang ini. Yelah, kadang-kadang kita melaram pun memang untuk tunjuk pakaian kita. Kadang-kadang bila hadiri apa-apa majlis, makan malam dan sebagainya barangkali terselit juga sedikit-sedikit nak tunjuk pakaian kita yang merelip relap tu kan.

Kadang-kadang bila pergi kenduri, nak juga kita ber'jangok' lebih sedikit. Almaklum, sesuai dengan standard kita sebagai orang itu dan orang ini. Tapi rupa-rupanya perasaan begitu sangatlah perlu kita tangkis bila mengenakan pakaian.

Marilah kita berbalik kepada niat asal berpakaian. Memelihara aurat sebagai memenuhi tuntutan sebagai seorang muslimah. Kalau tiba-tiba menjelma sahaja perasaan tersebut ketika kita memilih baju, mengenakan baju  maka beristighfarlah dan mohonlah perlindungan dariNYA.

Biarlah apa yang kita pakai bukan untuk tunjuk pada orang, apatah lagi berbangga-bangga dengannya. Siapa pun kita, akhirnya nanti akan dipakaikan dengan kafan putih juga. Tiada ruang untuk menunjuk-nunjuk lagi.

5) Pakaian mestilah tidak menyerupai pakaian khusus bagi lelaki.

Pakailah seperti mana yang biasanya dipakai oleh wanita setempat. Jangan bila kita pakai pakaian itu, orang yang memandang pun keliru  kita ini lelaki ke perempuan? Dan lebih sedih jika mereka memanggil kita 'abang'|. Oh, sedih kan.


6) Pakaian tidak menyerupai pakaian perempuan kafir. 

Untuk yang ini, kita perlu lebih teliti dalam membuat pemilihan. Jangan asal cantik dan kena di mata kita, terus kita sambar. Lihat dan teliti dahulu. Tidak semua fesyen terbaru itu murni dan sesuai untuk kita. Jadilah muslimah bijaksana yang bijak membuat pertimbangan dn memilih apa yang baik dan tidak buat dirinya.


Ini adalah antara syarat-syarat yang ingin dikongsikan.

Semoga kita semua dapat berusaha memilih pakaian yang sesuai untuk dikenakan. Biarlah bila kita pilih sesuatu itu, kita membuat pilihan berdasarkan syariat, bukan kehendak kita semata-mata.

Sekali-sekala, buatlah 'ops almari' untuk lihat balik ke dalam wardrobe kita, mana baju yang sesuai dipakai di luar rumah dan yang mana lebih sesuai dikenakan di dalam rumah, di hadapan suami dan mahram sahaja.

Nak ubah barangkali agak sukar, terutama jika kita sudah biasa mengenakan pakaian-pakaian yang masih belum menepati syarat-syarat yang telah dinbentangkan di atas ini. Namun yakin dan percayalah, jika kita berniat untuk lakukan keranaNYA, pasti ada jalan dan kemudahan!

Jom kita memaknakan HIJAB yang telah disyariatkan buat wanita-wanita yang beriman.
Ia bukan lambang penyekatan dan diskriminasi,
Tetapi ianya adalah satu betuk pemeliharaan dan penghormatan.

Terpulang sahaja, bagaimana kita memaknakannya.

Tiada lagi yang ketat, jarang, nipis, melekap, berbangga-bangga untuk kita pakai di luar rumah.
Moga dengan memilih pakaian yang baik, kita dapat terus guna pakaian tersebut untuk solat tanpa mengenakan telekung.

Simple dan mudah sangat. Semoga berjaya! :)












No comments:

Post a Comment