Monday, July 23, 2012

Buat wanita yang mendamba lelaki yang Soleh sebagai suami.

Bismillah..

Assalamualaikum.

Sebenarnya, aku agak segan silu sedikit nak tulis tajuk seperti di atas. Bab teman2 hidup ni, tertutup sikitlah aku nak bincang, biasalah perempuan..
Segan aii. tapi dalam hati, amboi kemain lagi kann..haha.. tapi aku tak..aku takkkk.

 Tapi yelah, aku taknak pulak sampai segan aku tu jadi segan tak bertempat, sampai menghalang aku untuk menyampaikan pendapat serta pandangan aku. Maka, aku gagahkan juga jari jemariku yang tak berapa nak runcing ini untuk berkawad di atas keyboard. Sebab, aku rasa ia sangat penting untuk aku sampaikan.

Tajuknya mungkin agak klise, atau tipikal. Berlambak dah orang dok post kat fb fasal teman hidup yang soleh mahupun solehah ini, tapi aku hari ini akan membawa anda semua mengupas isu ini dari satu sudut pandang yang agak berbeza. Aku harap ianya bermanfaat. Sebelum bermula, aku ingin ingatkan sekali lagi, bahawa segala apa yang aku bakal tulis ini adalah pendapat dan pandangan aku semata-mata. Kalau ada yang bercanggah dengan pendapat anda atau ada yang menyentap, aku minta maaf.

Mari bermula..Bismillah..

Lelaki soleh.

Ia idaman setiap wanita. Aku yakin akan perkara itu. Hal yang sama berlaku kepada lelaki. Aku agak kebanyakan daripada mereka juga mengharapkan perempuan yang baik untuk menjadi teman hidup mereka, dan menjadi ibu kepada anak2 mereka yang berwajah comell <---- (confirm tak ikut muka ayah).

Sebagai perempuan, tipulah kalau aku kata aku tak pernah terfikir tentang pasangan hidup ini. Walaupun umur aku baru 20 tahun, tapi aku tak rasa ia umur yang terlalu muda untuk aku mula berfikir tentang jodoh. Ia satu ketetapan.

Ianya satu topik yang selalu hangat diperkatakan oleh remaja atau mereka yang berada di peringkat awal dewasa. Namun, tiadalah pula aku terfikir akan sesiapa yang aku nak jadikan suami, ataupun rumah si polan mana yang aku nak aim untuk hantar tepak sirih. Tiada sebarang nama yang spesifik. Ianya umum, namun ada kriteria tersendiri yang telah dijadikan batu ukur. Iya, aku mengakui, jika aku tidakdirkan mempunyai suami di dunia ini, aku mengharapkan dia adalah seorang lelaki yang soleh.Aku berharap suami aku ialah Lelaki yang soleh...


Aku percaya ia impian hampir setiap wanita (sepertimana yang dah di'mention' di atas). Kerana, aku melihat banyaknya fotografik dan hasil karya yang menterjemah keindahan atau ke'sweet'an pasangan yang soleh dan solehah yang mempertahankan serta merasai manisnya cinta selepas kahwin. Alhamdulillah. Ia merupakan satu usaha yang bagus untuk mendekati para remaja dan menyampaikan mesej supaya menjauhi couple dan lebih memilih untuk bercinta selepas kahwin.


Namun, semakin aku dewasa, aku terfikir bahawasanya apabila kita menyelak realiti di sebalik peranan lelaki yang soleh tersebut, impian untuk memiliki mereka sebagai imam dalam hidup kita, sebenarnya menuntut persediaan yang tidak sedikit. Ianya bukan sekadar mempersiapkan diri untuk menjadi wanita solehah agar ALLAH mempertemukan kita dengan yang terbaik juga, tetapi bagaimana ingin mempersiapkan diri kita untuk menjadi pendamping lelaki soleh yang mewakafkan dirinya ke jalan ALLAH semata.


Membayangkan diri menjadi isteri kepada seorang lelaki yang soleh memang indah, mereka boleh menjadi asbab dan memudahkan laluan kita ke syurga, mereka jua boleh memimpin tangan kita untuk menuju redhaNYA, mereka boleh menjaga kita sebaiknya, melindungi dengan keterbatasan kudrat yang ada, juga mengasihi kita dan anak2 dengan segenap jiwa yang diletakkan ALLAH, Rasul dan ibu bapa terdahulu di atasnya.

Namun, kita harus sedar bahawa, realitinya tidak begitu indah pada kehendak dan keinginan nafsu kita. Apabila bercakap berkaitan nafsu, ia bukan terbatas untuk hal2 di bilik tidur sahaja (bukan lucah, tapi aku mention untuk biar jelas.), tetapi kita mempunyai keinginan untuk dia berada di samping kita setiap hari, menemani kita ke mana2,sentiasa ada jika kita perlukan mereka, membelanjakan sedikit wangnya untuk kita sekali-sekala, menemani kita membaca Al-Quran, meminjamkan bahu mereka di saat kita menangis kerunsingan mahupun kegembiraan, bersama2 untuk berkongsi pelbagai cerita, menghabiskan masa berkualiti bersama berdua, dan jika ada, turut bersama anak2, serta  pelbagai lagi.

Kerana jika benar mereka lelaki yang soleh, aku percaya dalam keadaan umat islam yang membimbangkan pada hari ini, tempat lelaki2 yang soleh ini banyaknya di luar sana. Merekalah lelaki2 soleh yang berjuang untuk membantu agama ALLAH. Sudah adat berjuang, mereka harus berpergian, biarpun medan tempur mereka bukan di padang pasir mahupun medan perang.

Kerana itu, di saat kita mula mengimpikan untuk seorang lelaki soleh sebagai suami, kita sendiri sudah perlu menggerakkan langkah pertama ke arah kesediaan. Kita tidak boleh sangat berharap mereka berada di samping kita sepanjang masa. Kita tidak boleh mengangankan mereka untuk menemani kita shopping setiap hujung minggu dan tiap2 waktu makan, duduk makan bersama.

Realitinya tidak begitu santai, ia tidak seringkas itu.


 Kerana, sebagai 'pakaian' seorang lelaki soleh, itu bermakna kita perlu siapkan hati untuk berlapang dada dengan kesibukannya, merelakan setiap pemergiannya dengan muka yang manis, menenangkannya di saat dia terluka, dan barangkali juga kita harus mempersiapkan diri untuk lebih banyak lelah dan penat, berbanding senang dan rehat selepas hidup bersamanya.


Namun, aku yakin kalau kita benar2 beriman dan ingin bersama2 lelaki soleh itu beriringan mencapai tujuan hidup, yakni menjadi hamba ALLAH dan khalifah, kita akan sentiasa tersenyum setiap kali menyambutnya pulang walaupun untuk sedetik waktu, kita akan berlapang dada setiap kali dirinya terpaksa berada jauh walaupun kita merinduinya, kita akan berasa senang walaupun wangnya lebih banyak dihabiskan untuk jalan juangnya, kerana kita yakin, kebahagiaan yang abadi ada tersedia untuk kita, dan dia sebenarnya sedang membawa kita menuju ke sana.


Selepas menyedari akan hakikat ini, aku bertanya kepada diri. Layakkah aku mengimpikan lelaki  yang soleh?

Soalan tersiratnya ialah: "Adakah aku sudah bersedia untuk mengasihinya, mentaatinya, mendampinginya, menyokong perjuangannya, bahkan bergerak seiring dengannya?"

Mendamba lelaki soleh, ianya bukan sekadar mendamba kelebihan yang ada padanya sebagai hamba ALLAH yang baik, namun ianya menuntut pengorbanan dan kesediaan yang tinggi!

Dan sejujurnya, untuk bertanya kepada diri adakah aku sudah cukup bersedia...

Jawapanku adalah, "Hanya ALLAH yang mengetahui kemampuanku". Adakah aku mampu untuk membantu perjuangannya, ataukah aku sekadar menjadi perencat langkahannya, hanya kepada ALLAH aku mohon perlindungan dari berada dalam kategori yang kedua!












No comments:

Post a Comment