Tuesday, December 11, 2012

Durian dan bas; Satu penyeksaan mental.

Ada satu hari, aku rasa teringin gila nak makan durian. Apatah lagi bila aku telefon rumah, kakak aku dok canang "eh, ang nak tau, mama buat pulut durian.." juga "kak long baru balik kebun tok, pergi kutip buah durian. Banyak gilaaa".

Aku takde lah obses sangat dengan durian, tapi tak tahu kenapa minggu lepas aku rasa teringin gila nak makan durian dengan pulut durian. Pulut durian versi mak aku adalah; pulut nasi kosong, dicurah dengan santan cair, ditabur gula pasir, kemudian dihidang dengan isi durian. Ada orang pulut durian digaul sekali dengan kuah/serawa durian, dan macam2 lagi lah.Yang pasti, persamaannya adalah jumlah kalori yang hampir menyamai satu hidangan snack plate KFC. Apapun bagi aku versi pulut durian mama adalah yang  paling sedap di dunia ini.


Pulut durian versi mama ala2 macam nilah. Kuahnya santan semata-mata. 
Cuba bayangkan lemaknya?? Haha..
 ~google pics~


Then, disebabkan aku teringin sangat nak makan durian, ditambah pula dengan kerinduan yang membuak-buak akan kampung halaman, apatah lagi setelah digiat oleh kakakku menggambarkan seolah-olah rumahku sudah jadi seperti gudang durian, aku pun cepat2 ambik tiket balik Pahang hari sabtu.
Aku plan, Ahad balik shah Alam semula.

Bila tiba hari Ahad, mama pun bekalkan aku durian yang dah siap di keluarkan isinya untuk dibawa balik ke kolej. Bagi kawan2 makan katanya. Mama letak dalam dua bekas plastik yang berasingan. Bersungguh mama belah durian. Ala2 samurai wanita dah. Sungguhlah, betapa kasih seorang ibu. Aku harap kalau diizinkan aku jaga mama bila mama dah tua nanti, aku diberikan kesabaran serupa untuk melayan mama, memenuhi segala permintaannya, dan menggembirakannya sebagaimana yang mama cuba usahakan buat anak-anaknya sekarang ini.

Kemudian, bila sampai stesen bas, aku pun bergegaslah naik ke dalam bas dengan menjinjit beg plastik yang berisi bekas durian itu tadi. Oleh kerana aku tak pernah bawak bekal durian, dan 'begitu cerdik' pula, aku gi bawak durian yang of course semerbak baunya itu ke dalam bas yang berhawa dingin. Maka terhasillah tindak balas antara udara dan bau-bauan buahan tempatan tersebut.

Bersemarak tebarlah ia ke serata bas. Maka, tercetuslah tindak balas yang menghasilkan reaksi spontan para penumpang bas. Aku di seat yang ke-5, sebelah aku perempuan muda. Aku rasa dia perasan yang aku bawa durian dalam bekal, tapi dia cool je. Yang menjadi masalah adalah orang yang duduk di seat nombor 2, maksudnya setentang berhadapan dengan aku. Lelaki. Buat kacau sungguh. Dia membuatkan aku rasa bersalah seperti telah membuat kesilapan yang besar sangat, sebab dia begitu bersungguh cover hidung dia dengan sweater.

Orang di seat sebelah lagi satu pun tidak kurangnya, dia asyik kipas2 tangan berdekatan hidung menandakan ada bau kurang senang yang menghantui sistem pernafasannya. Itu belum cukup menyeksakan lagi, tiba2 pemandu bas pulak cakap, eh, bukan cakap.. tetapi dia melaung.."Siapalah yang bawak durian masuk bas ni!!!" Hwaaaaaa.... Waktu ni aku dah rasa macam duri durian sedang mencucuk-cucuk hatiku. Dan again, aku rasa loser sebab tak ada kekuatan nak mengaku. Bahkan di dalam hati aku berdoa sungguh-sungguh supaya pemandu tersebut tidak memaksa yang tertuduh membawa durian mengaku dan apalah nasib durianku ini jika hal itu terjadi.

Aku berperang dengan perasaanku sendiri. Adakah aku patut turun dan meletakkan bekas durianku ini ke bawah bas, atau diamkan sahaja dan terseksa sepanjang perjalanan kerana telah menyebabkan ramai orang terganggu. Oh, tetapi malang sekali, sebelum sempatku berfikir lebih panjang, bas terlebih dahulu telah bergerak, dan secara automatiknya aku telah memilih pilihan yang kedua; Meneruskan perjalanan yang menyeksakan selama 4 jam dengan rasa takut jika rahsia durianku terbongkar dan dibelit rasa bersalah kerana telah menyebabkan penumpang lain tak selesa. Dalam hati, aku tidak berhenti memohon ampun.

Sepanjang perjalanan, orang di seat selang bersebelahan dan lelaki yang berada di seat nombor 2 asyik memandang ke arah bekasku. (Nota: Bekas berisi durian dibungkus dalam plastik putih susu, jadi tak nampak apa yang ada di dalamnya). Aku rasa, mereka sedari awal sudah mengesyaki bahawa akulah dalangnya. Tapi aku berpura-pura cool, padahal hati aku sudah berpeluh-peluh dengan dahsyatnya.

Aku rasa macam suspek penjenayah yang sedang melarikan diri dan dua orang lelaki tersebut adalah polis yang sedang menyamar. Mata mereka tidak lepas dari memandang ke arah ku. Dan aku terus-terusan dibelenggu rasa bersalah dan bimbang sepanjang perjalanan. Maka itu telah menjadi satu sejarah dalam hidupku; Perjalanan yang mencatatkan masa tidur paling minima, kerana aku tidak berani melelapkan mata walau untuk seketika. Namun jauh di sudut hatiku, aku bertekad, durian ini akan aku pertahankan sebaik mungkin!! Aku risau sangat, kalau2 tetiba ada penumpang yang tak tahan bau durian lalu termuntah atau pengsan. Pelbagai andaian buruk berlegar di fikiran.


Akhirnya Alhamdulillah,aku selamat tiba di Shah Alam. Aku pun cepat2 turun dari bas sambil menjinjit bungkusan berisi durian berharga tersebut. Aku tidak henti mengucap syukur di dalam hati. Akhirnya, misi membawa durian sudah terlaksana, namun aku tetap lagi rasa bersalah, sebab aku yakin, bau durian tersebut pasti masih melekat di dalam bas tersebut buat beberapa ketika. Apatah lagi aku telah membuat beberapa orang tidak selesa dengan baunya. Jauh di sudut hati, aku rasa kesal juga dengan diri sendiri sebab tak berani mengaku dan minta maaf pada penumpang yang terganggu tu.

Bayi tidak mungkin berbuat kesalahan seperti aku. 
Mereka masih belum memahami nilai signifikan durian dalam kehidupan.. Tskk


Lain kali, aku bertekad takmo bawa durian lagi masuk ke perut bas. Aku akan lebih bijak dalam merangka strategi untuk meng'handle' durian. Namun untuk peristiwa yang kunamakan 'Peristiwa Durian Jalanan' ini, aku sebenarnya dapat belajar beberapa perkara setelah aku refleks baik diri aku.,

Mungkin ALLAH Ta'ala nak uji aku, sejauh mana aku berani tanggung risiko untuk  berkata benar, walaupun tahu consequence nya mungkin kurang bagus. Dan untuk ini, rasanya aku masih belum pass. Astaghfirullah..

Mungkin juga ALLAH nak ajar aku, tentang hubungan sesama manusia. Habluminannaas, tapi aku sampai sudah tak minta maaf dengan penumpang2 semua yang terganggu tu. Astaghfirullah..

Aku juga terketuk dengan satu kisah  famous tentang seorang ulama', Syeikh Abdul Qadir Jailani yang mengaku depan perompak tentang kantung berisi wang tersorok yang dibawanya..Allah... Banyak yang ALLAH nak ajar aku melalui peristiwa ini, DIA ingin aku sedar, banyak lagi kelompangan yang ada dalam diri ini. ALLAH ingin aku refleks balik kejujuran dan keberanian untuk mengatakan yang Haq.

Selepas ini, durian bukan lagi sekadar sejenis buah bermusim yang digemari, tetapi ia lebih dari sekadar itu. Ia mengajarkanku tentang hidup sebagai seorang Muslim, akan kekurangan yang masih banyak perlu diperbaiki.

Ia juga boleh jadi satu perantara, antara hamba dengan penciptanya, selagi mana kita ingin melihat apa yang ingin dihulurkannya. Subhanallah.. Allahuakbar...


4 comments:

  1. hehe..cikgu, jemputlah ke rumah saya. Jom kita makan durian! :)

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas undangan tu.. walaupun saya sangat2 suka durian, namun atas sebab2 kesihatan saya terpaksa melupakannya. Minta mama adibah buat tempoyak, blh gulai masam patin..saya suka (kuahnya saja, ikan patin x)

    ReplyDelete