Monday, December 23, 2013

Drama

Bismillah. Assalamualaikum.


Haritu kami ada drama. Ia adalah 'Drama wajib' yang bermarkah. Kami membawakan cerita adaptasi dari novel tulisan Jane Austen, "Pride & Prejudice". Kami telah menukar setting nya kepada masyarakat melayu. Nama hero+heroinnya pula telah dimelayukan menjadi Daud+Lijah. Ia merupakan satu pengalaman yang menarik. Terima kasih semua.



Ada gaya tak era 80-an?? hehe...

 

Pentasnya dilengkapi dengan tirai yang boleh ditutup/buka.

Sewaktu drama bermula, seawal tirai dibuka perlahan, pasti semuanya suspen, berdebar, ingin melakukan yang terbaik. Cuba2 mengulang-ulang skrip dalam kepala.

Ada yang menarik nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan. Ada yang membaca al-fatihah dan basmalah berkali-kali sambil mengurut dada yang dipalu debar. Ada juga yang membuat latihan vokal secara peribadi dengan suara yang perlahan.Ada juga yang berlatih ekspresi muka sambil menggenggam jari-jemari yang dingin.

Tatkala tirai pentas dibuka, semua berdebar. Namun cuba yang terbaik untuk sedia.

Sedang persembahan di atas pentas berlangsung, semua cuba memainkan peranan yang telah diberikan.
Namun adakalanya ada yang dirancang tidak menjadi. Ada yang terlupa skrip, ada yang tersasul, ada yang tersalah babak, ada aksi yang tidak jadi, dan pelbagai lagi. Ada juga yang berjaya beraksi di atas pentas dengan cukup baik.

Kemudian, setelah berhempas pulas menjayakan segalanya, pementasan pun tiba ke penghujungnya.

Tirai perlahan-lahan ditutup kembali.

Di sebalik tirai yang indah, ada wajah-wajah yang kecewa, ada yang tidak berpuas hati, ada yang menggigit jari jemari menyesali kealpaan skrip, ada yang berkerut-kerut wajah mengenangkan babak yang tidak jadi.

Dan ada pula yang tersenyum senang dan puas hati, kerana dapat menjayakan lakokan sebaik mungkin.

Namun gembiranya tidak lama, kerana mengenangkan rakan-rakan sepasukan lain yang kecewa.

Pementasan drama yang dicoretkan pelbagai warna, di saat akhirnya menyaksikan jiwa2 bahagia dan duka.

Apatah lagi pentas dunia.

Yang tatkala tirainya tertutup, tidak sedikit yang kesal serta kecewa dengan 'persembahan' yang tidak seberapa di atas dunia.

Yang memegang watak sebagai seorang 'hamba', tidak benar-benar menjiwai wataknya. Di pentas sebentar tadi, tiba-tiba bertukar menjadi orang kaya yang angkuh sombong. Maka menyesallah ia di ceruk pentas kerana menyesali pembawaan karakter nya yang tidak menjadi.

Yang memegang watak sebagai seorang 'khalifah' juga sedang meraup-raup wajahnya penuh tekanan, mengenang kealpaannya dalam menuturkan skrip ketika pementasan. Seharusnya dia menuturkan skrip yang menunjukkan ia mengajak manusia ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran, namun sebaliknya dia telah terleka ketika berada di atas pentas dalam tempoh masa yang singkat sebentar tadi, sehingga tidak terluah skripnya itu. Aduh, kini dia menyesal tak sudah.





 Bagaimanakah kita ingin tirai pentas kehidupan ini dilabuhkan?


Jawapannya terkandung pada persembahan kita semasa pementasan masih berlansung. 


Allah ya Allah, moga kita berjaya menjadi 'pelakon' yang dapat membawa watak dengan baik, supaya apabila tirai pentas ini dilabuhkan, kita boleh tersenyum bahagia tanpa sebarang kekesalan di hati.


 Sabda Rasulullah shallalllahu'alaihi wasallam:

"Di padang mahsyar kelak, kedua-dua kaki seorang hamba tidak dapat berganjak sama ada menuju ke syurga ataupun neraka. Sehinggalah beliau ditanya berkenaan umurnya, bagaimana umurnya dihabiskan. Beliau juga ditanyakan berkenaan ilmunya, apa yang dilakukan dengan ilmu itu. 

Beliau juga ditanya berkenaan hartanya, daripada mana ia diperolehi dan ke mana ia dibelanjakannya. Beliau juga ditanya berkenaan tubuh badannya, bagaimana beliau menggunakannya."

(Direkodkan oleh Tirmizi; hasan sahih) 



Ya ALLAH, kami memohon kebaikan di dunia serta akhirat. Jadikanlah kami dalam kalangan orang yang beramal soleh.
 






No comments:

Post a Comment