Saturday, January 18, 2014

Moga hatiku lembut dengan kebaikan

Bismillah. Assalamualaikum.

Siapa antara yang sedang membaca ini, dia rasa hati dia sangat susah untuk cenderung kepada kebaikan? Bila pergi majlis ilmu panas punggung je nak balik cepat. Bila dengar rakaman mengaji je, cepat-cepat rasa nak dengar lagu yang lebih 'dekat di hati' katanya. Apabila dengar ada 'alim / ulama' meninggal, tak rasa sedih apapun?

Kadang2, dalam kehidupan ini kita perlu ambil masa untuk merenung ke dalam diri sendiri.

Terutama apabila kita sudah besar, dah berapa dah umur kita sekarang ni kan..
Kalau ikut tahun masihi, saya sudah pun hampir berusia 22 tahun.

Dahulu saya target 22 tahun nak kahwin dah, tapi nampak gayanya macam tak je. Sebab sampai saat ini saya rasakan terlalu banyak perkara dalam hidup, dalam diri yang sangat perlu diperbaiki. Dan masa makin-makin menghimpit.

Hampir 22 tahun sudah berlalu dalam kehidupan saya di dunia, dan saya selalu tertanya-tanya agaknya berapa lamakah masa yang masih berbaki?

Dan dengan sikap saya yang sebegini, dengan begitu banyak kelemahan dalam pelbagai sudut, memikirkan kematian boleh menjadi satu peringatan yang cukup menginsafkan.

Lantas apabila kita merasakan bahawa masa sudah semakin berarak pergi, kita akan sedar bahawa tiada satu saat pun yang patut dibazirkan.

Dan apabila kita menyedari bahawa malaikat izrail bila-bila masa sahaja akan menjengah dengan jemputan ajalnya, kita akan segera sedar bahawa yang menanti di hadapan adalah ketidakpastian. Justeru waktu sekarang adalah masa terbaik untuk dimanfaatkan.

Marilah kita bersama-sama memelihara solat, menjaga aurat, menyantuni ibu bapa dengan baik,perbaiki hubungan dengan mereka dan yang lainnya.

Kerana kita tidak tahu berapa lama lagi masa yang masih berbaki. Dan kita masih lagi lalai dan terus lalai menghabiskan waktu berharga dengan membeli belah lama-lama, menonton video satu demi satu, bergelak tawa bersama rakan-rakan untuk berjam lamanya, dating bersama teman yang menarik disenangi oleh nafsu dan keinginan dan sebagainya.

Kita mungkin boleh menyembunyikan dosa-dosa serta maksiat kita dari pandangan manusia, namun ingatlah tiada satu apapun yang terlepas dari pandangan ALLAH Tabaraka wata'ala.

Hatta saat saya sedang menulis ini pun Ya ALLAH, (Engkau) mengetahui apa yang bersarang dalam hatiku. Dan ALLAH memerhatikan tiap jari jemariku yang sedang menekan kekunci demi kekunci ini.

Moga kita tidak terusan terleka dengan dunia. Moga saya dapat mengurangkan perkataan serta gurauan yang tidak mendatangkan kebaikan. Kerana tiap apa yang ada dalam kehidupan ini, ianya adalah anugerah pinjaman dari ALLAH. Dan di akhirat kelak, tiap2 sesuatu akan dihisab tentang pengguannnya di atas dunia.

Allah ya Allah. Kami ingin termasuk dalam golongan yang beruntung di akhirat nanti,
Namun lemahnya kami kerana begitu sekali dihanyutkan dengan godaan dunia yang sementara ini.

Ampunkan kami Ya ALLAH Yang Maha Pengampun.
Ampunkanlah kami Ya ALLAH,
dan kami memohon sekeping hati yang lunak akan perkara kebaikan.

Agar kami sentiasa berlumba-lumba mengerjakannya.

p/s: Untuk yang berada di sekitar lembah kelang (esp. shah alam), saya mendapati begitu banyak kuliah maghrib dan majlis ilmu yang diadakan di sini. MashaaALLAH Subhanallah. Rebutlah peluang ini. Di masjid seksyen 13 yang cantik itu pun ada kuliah dhuhaa setiap sabtu dan ahad.

Suraunya pula sejuk dan nyaman sahaja. Maka apa lagi keselesaan yang kita pinta?

2 comments:

  1. Subhanallah. Kita punya umur yg sama dan saudari menyuntik semula semangat utk menulis apa jua kebaikan. (tetibe rasa baku. Huhu)

    Semoga redho Allah ke atas mu.
    Btw, tetibe terjumpa dan terminat baca blog awak
    - Syahidah

    ReplyDelete